SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Friday, January 30, 2009

Gerhana matahari 26 jan lalu....!


Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.
[Al Qur'an, Yunus(10):

Tuesday, January 27, 2009

Asbabul Nuzul; Satu Ilmu Memahami Tafsir Al-Quran


Mungkin sebilangan kita tertanya-tanya, adakah ayat-ayat Al-Quran yang turun beransur-ansur itu turun begitu sahaja tanpa sebab atau peristiwa tertentu? Sebenarnya, sebahagian ayat Al-Quran akan melalui beberapa peristiwa atau sebab untuk menjadikannya sah dan sesuai ketika diturunkan. Walaupun sebahagian besar dari ayat Al-Quran diturunkan secara umum, iaitu tanpa sebarang sebab atau peristiwa, tetapi ada juga yang mengalami sebab-sebab khusus ketika penurunannya.






Dalam kehidupan para sahabat bersama Rasulullah, ia telah merakamkan beberapa peristiwa penting, bahkan ada diantara peristiwa itu memerlukan penjelasan khusus dari Allah untuk menjelaskannya. Ada juga diantara mereka bertanya kepada Rasulullah tentang hukum-hakam Islam, maka Allah menurunkan wahyuNya sebagai jawapan. Peristiwa-peristiwa seperti inilah yang dikenali sebagai Asbabun Nuzul, atau kata mudahnya bermaksud sebab-sebab penurunan ayat Al-Quran.







MENGAPA ANDA PERLU MENGETAHUINYA?






Supaya kita lebih mudah memahami tafsiran ayat Al-Quran dengan tepat maka di sini dibawakan satu contoh supaya kita lebih jelas mengetahuinya. Kita akan memahaminya melalui firman Allah ini :







Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah …. Surah Al-Baqarah, 115






Sekali imbas, ayat ini mengharuskan kita mengadap ke mana-mana arah ketika hendak solat. Jika anda memahaminya tanpa berpandukan Asbabun Nuzul, anda tentu akan tersilap besar. Solat anda bakal tidak akan diterima, kerana salah satu dari syarat sah solat ialah mengadap kiblat.






Ternyata setelah memahaminya melalui Asbabun Nuzul, nampaknya ayat ini hanyalah diturunkan kepada mereka yang bermusafir. Mungkin didalam perjalanannya, mereka tidak mengetahui arah kiblat yang tepat, dan terpaksa berijtihad sendiri untuk menentukannya. Maka dalam hal ini, ke mana juga arah mereka, ia dikira sebagai arah kiblat, dan solatnya diterima. Ringkasnya, ayat ini tidak bersifat umum, tetapi hukumnya hanya khusus diaplikasikan pada situasi mereka yang tidak mengetahui arah kiblat ketika sedang bermusafir.








ANTARA CONTOH MUDAH MENGENAI ASBABUN NUZUL :







Dalam Surah Al-Masad yang dimulai dengan ‘Tabbat Yadaa Abii Lahabiw Watabb’ sebenarnya mengandungi kecaman dan kemarahan Allah yang tidak terhingga terhadap Abu Lahab, sehinggakan, dia menjadi satu-satunya manusia yang dijamin masuk neraka! Dan jaminan ini pula diketahui ketika dia masih hidup! Sangat malang, tragis dan merana sekali hidupnya. Dikecam didunia, tidak diterima lagi taubatnya, dan ‘comfirm’ masuk neraka di akhirat kelak. Mari kita perhalusi Asbabul Nuzul bagaimana Abu Lahab mendapat penghinaan yang tidak terhingga ini sebagaimana kisahnya :









Pada satu hari yang tenang, Rasulullah telah menerima wahyu yang membawa perintah yang cukup mulia, iaitu arahan untuk menyebarkan Islam secara terang-terangan. Jika sebelum ini, ia disebarkan secara senyap-senyap, nampaknya ayat 214 dari surah As-Syuara’ yang bermaksud ‘Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat’ ini telah memberikan mesej jelas : Perkenalkan ajaran kebenaran itu ke seluruh pelosok dunia ! Dan ia dimulai dengan sanak saudara, ipar duai serta kerabat terdekat Rasulullah dahulu.







Ketika ini, Rasulullah dengan wajah yang berseri-seri pergi memanjat Bukit Safa untuk membuat satu pengumuman penting buat kaumnya. Bagi mereka yang pernah menunaikan haji atau umrah di Makkah, anda tentu mengetahui letaknya bukit yang pernah dipijak tanahnya oleh kaki Rasulullah yang mulia. Setelah sampai ke puncaknya yang tidak begitu tinggi itu, Rasul pun memulakan ucapannya, ditujukan khas kepada kaum kerabatnya yang sedang berkumpul beramai-ramai di hadapan Kaabah, tidak jauh dari situ.







‘Wahai kaumku sekelian!’ teriak Rasulullah. Kaumnya yang sedang dipenuhi dengan perasaan ingin tahu itu terus mendekati Baginda. Ketika itu, Rasulullah memang memiliki tarikan kuat umpama ‘magnet’ kepada mereka. Memang hidupnya begitu, umpama magnet kebenaran yang begitu kuat dan berkuasa, sehingga gelaran ‘Al-Amin’ yang membawa maksud ‘yang paling dipercayai’ disandang oleh Baginda.







Menyedari taktik Baginda sudah mengena, Rasulullah meneruskan lagi “bagaimana pendapatmu semua jika aku memberitahu kamu bahawa terdapat sepasukan musuh berkuda yang ingin menyerangmu disebalik bukit ini, percayakah kamu terhadap kata-kataku ini?”








Bagi penduduk Mekah yang memang mengenali hati budi Baginda, mereka tanpa ragu-ragu lagi menjawab ‘kami memang tidak pernah mendapati kamu berdusta’. Kepercayaan mereka itu terus disambut dengan seruan Nabi ‘aku memperingatkan kepada kamu akan azab yang pedih’. Ternyata, Rasulullah mampu menguasai suasana hari itu hanya dengan beberapa patah perkataannya.








Tetapi, kegembiraan itu tidak lama berkekalan. Di saat sebahagian besar yang lain sedang mula terbuka hati kepada ajakan itu, Abu Lahab, seorang pemuka Quraisy, ketua ‘gangster’ besar Mekah telah melakukan perkara yang menukarkan suasana ceria kepada tegang. Abu Lahab bukan tidak menyedari kebenaran Nabi Muhammad itu, tetapi memang menjadi lumrah hidup, apabila emosi dan kesombongan mengambil tempat, manusia yang rasional mudah sahaja menjadi emosional. Ternyata, Abu Lahab yang sejak dahulu amat tidak menyukai Rasulullah menunjukkan tanda kemarahannya yang begitu membara. “Celakalah engkau, apakah engkau mengumpulkan kami hanya untuk urusan ini? Nabi Muhammad nyata terdiam. Diamnya bukanlah bermaksud ketakutan, tetapi pada waktu itu juga turunnya ayat untuk membalas kembali kutukan Abu Lahab. Bagi kita semua, Allah telah mewahyukan kepada Rasul jawapan kepada celaan Abu Lahab. Itulah surah Al-Masad yang bermaksud :








Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan isterinya, pembawa kayu api. Di lehernya ada sejenis tali dari tali yang dipintal. (Surah Al-Masad, ayat 1-5)









BAGAIMANA CARA UNTUK MENGETAHUI KESELURUHAN ASBABUN NUZUL?








Ia banyak dinyatakan dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Bahkan terdapat sebilangan ulama yang mengarang kitab-kitab khusus untuk mengumpulkan Asbabul Nuzul sahaja. Antara yang selalu menjadi rujukan ialah :






1 : Asbabul Nuzul, karangan Al-Wahidi (M 427H)






2 : Asbabul Nuzul karangan Ibnu Hajar Al-Asqolani (M 852H)






3 : Lubab Al-Manqul Fi Asbab An-Nuzul, karangan Imam As-Suyuti (M 911H)





Untuk menambahkan keceriaan anda bagi memahami Asbabun Nuzul ini, dinyatakan, kitab berbahasa arab ini, terutamanya kitab yang ketiga sudah ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Kini, kita hanya perlu mendapatkannya di kedai berhampiran. Dan mudah-mudahan, dengan memahami Asbabun Nuzul, kita akan lebih mudah memahami kandungan Al-Quran Al-Karim. Di samping itu kita boleh menerangkan secara ringkas sewaktu pengajaran terutama apabila terdapat ayat yang mempunyai sebab nuzul tentang peri pentingnya ilmu berkaitan dalam mentafsir dan memahami ayat keseluruhannya. wallahu a'lam

Thursday, January 22, 2009

Teknik Hafazan satu marhalah ilmu


Menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran memerlukan perancangan dan istiqamah untuk memelihara hafazan. Bagi para pelajar yang masih fresh akal fikiran untuk menghafaz gunakanlah waktu ini untuk memperbanyak dan meneruskan hafasan anda. Dari tinjauan pendapat yang diperolehi walaupun PLBS dilaksanakan dalam pengajaran kita masih belum ada eviden yang membuktikan pelajar kita menggunakan waktu emas mereka untuk terus menghafaz surah yang ditetapkan iaitu Surah Yaasin dan Al-Sajdah apatahlagi kepada surah-surah lainnya. Ayuh kita selami pendekatan menghafaz berikut yang dicadangkan;


1 hari hafaz 5 hingga 10 ayat. Cuba dengan yang sedikit dahulu atau terus konsisten pun tidak mengapa iaitu paling biasa sebanyak 5 ayat.
Maka 90 hari atau 3 bulan kemudiannya akan berhasil hampir 5 juz daripada Al Quran. Apa pun kira-kiranya, usaha dengan 5 ayat itu perlu dimulakan. Bimbang jika bilangan ayat terlalu banyak dihafaz akan memberatkan otak untuk aktiviti storan maklumat.




Masa yang dicadangkan pula adalah:
Sebelum Subuh: Hebat waktu ni, tinggal mahu dan mampu isunya - 5.00am hingga 5.30am.
Pagi: Selepas solat Subuh - 6.00 am hingga 6.30 am - sesuai sebelum ke tempat kerja.
Tengahari: Selesai solat Zohor atau sebelumnya jika menunggu waktu - 12.30 pm hingga 1.00 pm/adjust nanti.
Petang: Selesai solat ‘Asar - 5.00pm hingga 5.30 - lepas tu boleh riadhah
Malam: Selesai solat Maghrib - 7.45pm hingga 8.15pm
Sebelum Tidur: Di antara 12.00am hingga 12.30am jika tidur awal.


Namun begitu ia boleh disesuaikan mengikut kecenderungan kita. Ada pula yang berpendapat masa tidur dan makan juga perlu diawasi serta menu makanan harus dilihat teliti. Pelbagai teknik menghafaz Quran disarankan antaranya teknik ‘chunking‘ iaitu teknik memisahkan hafazan ayat panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut kesesuaian makna ayat, selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai, surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita, juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu’, cerita dan sebagainya dan pisahkan Al-Qur’an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.




Teknik ‘keyword‘ juga bagus sebab saya turut ingat surah ayat yang panjang dengan mengingati ayat atau kata istimewa dalam satu-satu surah. Teknik -tasmi’- penting sebab ianya adalah teknik bersama penyemak bacaan tentang apa yang telah kita hafazkan. Penyemak bacaan kita akan betulkan tajwid dan makhraj bacaan kita. Elok juga jika ada teman yang bersama menghafaz untuk konsisten usaha menghafaz dan beramal bersama.




Teknik ‘writing‘ atau menulis semula apa yang telah dihafaz juga agak menarik. Tidak tertinggal juga teknik ‘mindmapping‘ dengan membuat peta minda.



Antara beberapa langkah mengekalkan hafazan adalah seperti berikut;

1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.

2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.

3. Kerjakan solat hajat kepada Allah. (Adik Yong Jin Dian selalu ingatkan saya, moga Islam dia sedikit masa lagi)

4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.

5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.

6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.

7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau mengantuk.

8. Menulis setiap ayat yang mutasyabih.

Dengan ini adalah diharapkan hafazan kita tidak hilang dan berturutan dengan amalan dalam hidup yang berbaki. Moga tidak hanya tinggal menjadi teori dalam entri ini.
Untuk memudahkan hafazan, perlu juga kepada pengetahuan tajwid agar bacaan itu tepat dan betul makhraj (tempat keluar) hurufnya pada bacaan. Sedikit ilmu itu boleh dilihat di sini. (Hukum Tajwid - klik)

Mudah-mudahan info ini amat berguna dalam perkaedahan pengajaran dan pembelajaran

Wednesday, January 21, 2009

Pembetulan Teks Hadith











Friday, January 16, 2009

Cadangan Aktiviti PLBS







Perkasakan pentaksiran sekolahAyuh para guru PQS kita mengorak langkah kea rah memperkasakan dan menterjemahkan hasrat steak holder dalam melestarikan kelangsungan wahana pendidikan dengan cara;




1. Mengupayakan sekolah dan guru untuk mengendalikan pentaksiran berkualiti tentang dan untuk pembelajaran murid mereka. Pentaksiran sekolah akan diberi pengiktirafan yang sewajarnya.
2. Melaksanakan pentaksiran tentang penyertaaan, penglibatan dan prestasi murid dalam aktiviti kokurikulum dan ekstrakurikulum secara sistematik dan objektif.







Maka adalah dicadangkan supaya para guru sekelian dapat memberi respon untuk membuat manual untuk dijadikan panduan berdasarkan aktiviti yang dicadangkan berikut;






  1. PLBS sebelum PNP



  2. Majlis Bacaan Yaasin



  3. Meminta pelajar menjadi Imam solat di surau asrama



  4. Penilaian dalam MTQ



  5. Membaca Al-Quran dalam majlis rasmi



  6. PLBS Bacaan Hadis sebelum PNP



  7. Program Bacaan Hadis



  8. Memberi tazkirah di asrama



  9. Minggu Penghayatan Hadis



  10. Guru menjalankan ujian hafazan surah al-Sajdaah



  11. Aktiviti Tadsmi’ berpasangan



  12. Penyertaan dalam MTQ



  13. dan lain lain yang telah dan akan dilaksanakan mengikut keperluan di sekolah



Ketua Pentaksir Kebangsaan 2008

Tuesday, January 13, 2009

MIRI LAGI........







Mesyuarat penataran Kerja kursus PLBS bagi matapelajaran PQS diadakan di Hotel Dynasti Miri , Sarawak dari 13-15 Jan 2008

Sunday, January 04, 2009

Selamat Kembali Ke Sekolah!!!Sesi Persekolahan Baru 2009


Selamat kembali ke sekolah buat semua guru khasnya pengunjung Mypqs.blogspot. Bagi mereka yang di Sebelah pantai Timur dan sebahagian Utara persekolahan telah bermula pada 4 januari 2008 manakala di pantai barat persekolahan bermula Isnin ini. InsyaAllah semoga tahun baru ini menjanjikan 1001 pengharapan dan kejayaan buat anda semua. Kepada pelajar-pelajar diharapkan anda sudah mula bersedia dengan menerima ilmu dari para guru yang ikhlas menabur bakti mencurah ilmu buat semua anak didik tersayang.

Doakan Kehancuran Israel Dengan Kemukjizatan Al Quran









Assalamualaikum Alhamdulillah, kita jauh dari peperangan yang melanda di Asia Barat.Tetapi, hati meronta-ronta mengenangkan saudara-saudara kita disana. Mungkin ada yang berkata"Kalau lah aku ada sebuah jet pejuang, akan ku bedil kafirunYahudi". Mungkin ada yang berkata "Kalaulah aku ada magik, akan ku hapuskan rejim zionis satu persatu "Dan bermacam-macam lagi, ramai yang mengharapkan kemenangan Islam. PELIK TAPI BENAR!!!!!!
Tuan-tuan, Dengan izin Allah dan dengan penuh keyakinan dan keimanan, saya mohon tuan tuan berdoa kepada Allah memohon bantuan. RAHSIA MUKJIZAT AL QURAN Mari kita bertafakur, Dengan penuh keyakinan, fahami terjemahan danmaksud surah Al-Fil.............Bacakan surah tersebut di bibir dengan hati mengingati peristiwa kehancurantentera Bergajah.KEMUDIAN BERDOALAH BEGINI:-"Ya Allah!! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada muYa Allah........ turunkan lah bantuan mu kali ini kepada orang orang Islam di Lubnan, hancurkanlah rejim zionis......... amin...." (kemudian dibaca surah Al Fil sambil membayangkan kehancuran tentera Yahudi -dihancurkan dengan Izin Allah)InsyaAllah sesungguhnya Allah maha pemurah lagi mengasihani, mendengar doa kita. Jika tidak keberatan doakan pada sujud akhir solat kita supaya dihancurkan rejim zionis dan sekutunya berikan kekuatan dan keselamatan pada mujahidin di Palestin. Adalah dialu-alukan kepada sesiapa yang berinisiatif menterjemahkan dalam bahasa Inggeris untuk dihantar ke saudara Islam di UK dan US serta pelusuk dunia.

Saturday, January 03, 2009

Islam Sempurna Tanpa Campur Aduk Khurafat, Syirik

Muslim wajib tuntut ilmu bersumberkan al-Quran, hadis elak bertentangan syariah ISLAM adalah al-Din yang diredai Allah dan suatu cara atau panduan hidup lengkap mengatur kehidupan manusia sejagat. Sejajar ciri kesempurnaan dan kesyumulan yang menghiasi Islam, maka tidak perlu penambahan atau pengurangan dalam ajaran Islam kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia. Umat manusia sewajarnya menerima Islam sebagai teras yang mendasari ruang lingkup kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi, hanya Islam sajalah yang menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup manusia sejagat.
Firman Allah yang bermaksud:“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” – (Surah Ali-Imran, ayat 85)
Serentak itu, umat Islam sewajibnya memelihara kesucian Islam daripada dinodai sebarang ajaran sesat mahupun khurafat atau bidaah yang akan mencacatkan kesempurnaan Islam yang suci. Justeru, umat Islam bertanggungjawab memelihara kesucian Islam daripada dicemari anasir bertentangan dengan syarak.
Islam itu tertegak atas tiga tonggak utama iaitu Rukun Iman, Rukun Islam dan ihsan. Ketiga-tiga tonggak inilah yang menghiasi sahsiah Mukmin dan Muslim sejati yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Sebarang penambahan atau pengurangan daripada ajaran Islam adalah suatu perkara yang dilarang Allah. Perlu ditegaskan bahawa antara punca kesesatan dan kebinasaan sesuatu kaum atau bangsa adalah kerana menokok tambah atau mengubah ajaran agama yang diutuskan Allah kepada umat manusia.
Sebagai renungan, Allah merakamkan kisah kesesatan kaum Yahudi dalam firman-Nya yang bermaksud:“ Di antara orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): Kami mendengar, (sedang mereka berkata dalam hati): Kami tidak akan menurut. (Mereka juga berkata): Tolonglah dengar, tuan tidak diper-dengarkan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan): Berilah layanan kepada kami; (Tujuan kata-kata mereka itu) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan jika mereka berkata: Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit saja (di antara mereka).” (Surah al-Nisa', ayat 46).
Maksud ayat itu menjelaskan laknat Allah menimpa kaum Yahudi akibat perbuatan mereka menambah dan mengubah ajaran agama yang diutuskan Allah kepada mereka melalui pesuruh-Nya. Natijahnya, mereka berada dalam kesesatan yang nyata dan pastinya jauh daripada rahmat Allah. Tafsir Pimpinan Al-Rahman ada dijelaskan bahawa orang yang sesat itu adalah orang yang tidak berpengetahuan agama betul kerana dipelajarinya dengan tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.
Jadi, untuk mengenal pasti sama ada sesuatu ajaran dan amalan dilakukan itu selari atau bercanggah dengan Islam adalah merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, sumber ajaran Islam sebenarnya. Oleh itu, apabila umat Islam tidak berpegang teguh dengan kedua-dua sumber berkenaan, maka tidak hairanlah ajaran sesat itu mula mengakari dan menjalari dalam setiap sendi masyarakat Islam kini. Meninjau senario umat Islam kini, masih ada banyak ajaran sesat dan khurafat serta bidaah yang sukar hendak dipisahkan daripada hidup mereka. Amalan seumpama memuja dan memohon sesuatu selain daripada Allah seperti keramat di kuburan, percaya kepada batu keramat yang boleh membawa manfaat dan mudarat, menilik nasib, amalan kebal, percaya pada semangat dan sebagainya masih lagi menebal dalam adat dan budaya hidup umat Islam. Padahal, amalan seumpama itu boleh merosakkan iman seseorang dan membawa kepada kesesatan serta kekufuran.
Keadaan itu berlaku apabila kejahilan terhadap ajaran Islam sebenarnya masih lagi menunjangi ruang lingkup kehidupan umat Islam. Mereka jahil mengenai konsep iman dan Islam yang menuntut ketundukan serta kepatuhan tulus semata-mata kepada Allah. Begitu juga mereka tidak arif mengenai batas iman dan Islam yang menghampirkan mereka ke sempadan kesesatan hingga tidak menyedari bahawa amalan khurafat dan ajaran sesat itu bertentangan dengan Islam. Sebenarnya, Islam diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya, Rasulullah SAW membawa mesej rahmah untuk sekalian alam. Selain itu, ajaran Islam cukup mudah dan senang difahami serta seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Lebih istimewa, Islam sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Maka, dengan keistimewaan dan keunikan Islam, tidak wajar ajaran Islam yang sempurna lagi lengkap ini diselewengkan dan disalahgunakan pihak tidak bertanggung jawab.
Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam al-Quran akan nasib orang yang beriman kepada-Nya dan akibat buruk orang yang kufur kepada-Nya melalui firman yang bermaksud: "Sekiranya penduduk negeri itu, beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."(Surah al-A'raf, ayat 96) Justeru, setiap Muslim diwajibkan supaya menimba ilmu Islam daripada sumbernya tulen iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Dalam hal ini, terserlah peranan ulama sebagai pewaris para Nabi dalam menyebarkan ilmu Islam di kalangan masyarakat Islam. Pada masa sama, pihak kerajaan sewajarnya berganding bahu bersama ulama menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat dan amalan khurafat. Dengan adanya permuafakatan yang padu antara umara dan ulama, barulah usaha memartabatkan Islam berjaya.
FREE PALESTINE

My Blog List