“Barangsiapa yang mengenal dirinya, dia akan sibuk untuk memperbaiki diri daripada sibuk mencari-cari aib dan kesalahan orang lain”. (Ibnul Qayyim)
“Di antara ciri-ciri kebahagiaan dan kemenangan seorang hamba adalah; bila ilmu pengetahuannya bertambah, bertambah pula kerendahan hati dan kasih sayangnya. Setiap bertambah amal-amal soleh yang dilakukan, bertambah pula rasa takut dan hati-hatinya dalam menjalankan perintah Allah. Semakin bertambah usianya, semakin berkuranglah cita-cita keduniaannya. Ketika bertambah hartanya bertambah pula kedermawanan dan pemberiannya kepada sesama manusia. Jika bertambah tinggi kemampuan dan kedudukannya, bertambahlah kedekatannya pda manusia dan semakin rendah hati kepada mereka. Sebaliknya ciri-ciri kecelakaan adalah; ketika bertambah ilmu pengetahuannya, semakin bertambah kesombongannya. Setiap bertambah amalnya, kian bertambah kebanggaannya pada diri sendiri dan penghinaannya kepada orang lain. Semakin bertambah kemampuan dan kedudukannya, semakin bertambah pula kesombongannya”. (Al-Fawaid, Imam Ibnul Qayyim)
Saudaraku,
Suasana apa yang terakam dalam jiwa kita ketika membaca kalimah-kalimah tersebut? Bilakah kita berada dalam senarai orang yang berbahagia dan menang? Atau celaka? Semoga Allah SWT membimbing hati dan langkah kita untuk tetap memiliki karakter orang-orang yang berbahagia dan menang. Semoga Allah menjauhkan hati dan langkah kita daripada karakter orang-orang yang terpedaya oleh ilmu, amal dan kemampuannya. Amiin.
Saudaraku,
Salah satu pesanan yang boleh kita petik daripada petua Ibnul Qayyim r.a. itu adalah, kedalaman ilmunya tentang lintasan perasaan-perasaan jiwa. Ibnul Qayyim r.a. yang banyak berguru kepada Imam Ibnu Taimiyyah itu, Berjaya mengenali karakter jiwa kemanusiaannya, sehingga beliau pun kemudian banyak mengeluarkan nasihat yang maknanya sangat dalam dan menyentuh tentang jiwa.
Saudaraku,
Mengenali diri memang penting. Rasulullah SAW juga mengajarkan kita untuk lebih banyak bercermin dan menilai diri sendiri, berbanding bercermin dan menilai orang lain. Orang yang sibuk oleh aib dan kekurangannya, kata Rasulullah lebih beruntung berbanding orang yang sibuk memperhatikan kekurangan orang lain.
Dan memang, manfaat menjalani nasihat Rasulullah SAW ini adalah seperti dikatakan Ibnul Qayyim, “Barangsiapa yang mengenal dirinya, dia akan sibuk untuk memperbaiki diri daripada sibuk mencari-cari aib dan kesalahan orang lain”.
Saudaraku, genggam erat-erat tali keimanan kita,
Kenalilah diri. Fahamilah kebiasaannya. Rasakan setiap getaran-getarannya. Lalu berhati-hati dan kawallah kemahuan dan kecenderungannya. Waspada kekurangannya dan manfaatkan kelebihannya. Berdoalah kepada Allah agar Dia menyingkapkan ilmu-Nya tentang diri. Sebagaimana senandung doa yang dilantunkan Yusuf bin Asbath, murid Sufyan Ats Tsauri: “Allahumma arrifni nafsii”., Ya Allah kenalkan aku dengan diriku…
Jiwa manusia banyak menyimpan rahsia. Misteri hati dan jiwa manusia sukar dikenali dengan baik kecuali dengan bantuan Allah SWT kepada kita. Kerana itu ulama terkenal yang ahli dalam masalah kejiwaan Sahal bin Abdillah mengatakan bahawa mengenali diri sendiri itu lebih sukar dan lebih halus daripada mengenali musuh. Ertinya, aib dan kekurangan yang terselubung dalam diri sangat sukar dikesan, dan harus dibuka oleh Allah agar seseorang dapat membersihkan diri dan jiwanya.
Jika seseorang telah berjaya mengenal dan mengetahui bagaimana keadaan jiwanya, maka dia dengan mudah mengawal dan mengawasi keinginan-keinginan buruknya. Inilah yang dikatakan ulama Mekah bernama Wuhaib bin Ward. “Sesungguhnya di antar kebaikan jiwaku adalah pengetahuanku tentang keburukan jiwaku. Cukuplah seorang mukmin memelihara dirinya daripada keburukan bila dia mengetahui keburukan jiwanya kemudian dia meluruskannya”.
Sebagaimana juga perkataan Hasan al-Basri, “Seorang hamba masih dalam keadaan baik selama dia menyedari dan mengetahui sesuatu yang merosakkan amal-amalnya”. (Az Zuhud, Imam Ahmad)
Saudaraku,
Semoga Allah mempererat genggaman tangan kita di jalan-Nya. Itulah penting mengenali diri sehingakan Umar bin Abdul Aziz yang digelar Khulafa’ur Rasyidin kelima itu berkata, “Aku mempunyai akal yang aku takut Allah akan mengazabku kerananya”. (Riyadun Nufus, 1/355). Umar bin Abdul Aziz banyak merenung dirinya dan sangat mengeali dirinya, sehingga muncullah perkataan luar biasa itu.
Bahkan, kerana pengenalan diri yang dalam itu, Fudhail bin Iyadh r.a. berkata, “la ya’rifur riya' illa mukhlish”, riyak tidak mungkin disedari, kecuali oleh orang yang ikhlas. Ya, orang yang merasakan manisnya keikhlasan pasti akan mengetahui pahitnya riyak. Sebaliknya orang yang tidak pernah merasakan nikmatnya ikhlas, tak mungkin dapat mengenali pahitnya riyak. Begitulah. Manisnya ikhlas dan pahitnya riya', hanya dirasakan oleh orang-orang yang terbiasa dan mengenali getaran jiwa.
Saudaraku,
Apa yang dikatakan Fudhail itu tadi pun bertitik tolak kerana keadaan dirinya yang sangat mengenali karakter jiwanya sendiri. Orang yang tidak mengenal dirinya bahkan mengingkari keburukan dirinya adalah orang yang tidak akan mampu mengetahui apalagi mempengaruhi jiwa orang lain. Apatah lagi meluruskan kebengkokannya, dia tidak akan mampu. Inilah materi yang disebutkan oleh Al-Kailani ketika beliau berkata, “Bila engkau mampu meluruskan kekurangan yang ada pada dirimu, bererti engkau mampu meluruskan kekurangan yang ada pada selain dirimu”. Beliau melanjutkan, “kemampuan menghilangkan kemungkaran bergantung kepada kekuatan imanmu memerangi kemungkaran dalam dirimu. Kelemahanmu tinggal diam di dalam rumah daripada merubah kemungkaran adalah kerana kelemahan imanmu dalam memerangi kemungkaran yang ada dalam dirimu. Kekukuhan dan kekuatan imanlah yang mengukuhkan para ulama ketika mereka berhadapan dengan pasukan syaitan baik manusia dan jin”. (Al-Fathur Rabbani, 30)
“Allahumma arrifnii nafsii…” Ya Allah, kenalkan aku pada diriku…
Muhammad Nursani, Mencari Mutiara di Dasar Hati, Tarbawi Press
No comments:
Post a Comment
Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan