Sempena bulan kemerdekaan ini mari kita sama-sama menilai erti serta nilai sebuah jiwa yang merdeka. Jika kita masih terpengaruh dengan cara hidup orang lain ,sedangkan ia bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan adat serta budaya yang selama ini didukung oleh agama, memberi erti pemikiran dan jiwa yang masih belum merdeka.
Selaras dengan erti kemerdekaan di sisi Islam, piawaian kecemerlangan di sisi agama juga tidak sama sebagaimana yang diukur oleh manusia. Manusia meletakkan kecemerlangan dalam bentuk yang boleh dilihat atau dirasa. Sijil, ijazah, piala, pingat, trofi atau yang seumpama dengannya adalah bentuk-bentuk kecemerlangan di sisi manusia.
Kecemerlangan di sisi Allah lebih istimewa bentuknya dan boleh dijadikan cita-cita oleh semua individu. Tanpa mengira sama ada individu itu normal ataupun cacat, kaya ataupun miskin, sihat ataupun sakit, termasuklah pandai ataupun kurang akalnya.
Ini kerana kecemerlangan di sisi Allah s.w.t. dikira dari aspek usaha, niat dan kaedah yang digunakan dalam tindakan seseorang mencapai cita-citanya.
Cita-cita di sisi agama sebagai mekanisme kecemerlangan bukanlah sekadar mencapai satu fasa tertentu yang kemudiannya bersifat statik. Di sisi agama, cita-cita sebenarnya semangat yang sentiasa membara untuk terus menyumbang dalam bidang atau profesion yang disandang. Seseorang individu Muslim perlu menyumbang bukan sekadar disebabkan keyakinannya terhadap kualiti yang dimiliki, akan tetapi atas keyakinannya tentang peranannya sebagai seorang khalifah yang perlu menyumbang kepada agamanya.
Selaras dengan itu, individu Muslim yang merdeka dan cemerlang tidak akan berasa kecewa sekiranya usaha yang dilakukan hanya menemui kegagalan. Ini kerana tidak ada istilah putus asa dalam dirinya sebagaimana keyakinannya terhadap maksud firman Allah dalam ayat 139 surah ali-Imran yang bermaksud;
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamu adalah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman.
Selain tidak berputus asa, Muslim yang memiliki jiwa merdeka dan cemerlang juga tidak akan mudah menyalahi takdir kerana memahami inti pati firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ra'd, ayat 11 yang bermaksud;
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapan dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Semoga jiwa kita terus merdeka dengan erti kata yang sebenarnya. Selamat menyambut bulan kemerdekaan.
No comments:
Post a Comment
Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan