SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Friday, August 28, 2009

Memahami Erti Kemerdekaan sebenar



Tentang erti kemerdekaan, Pendita Za'aba mengatakan: berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i'tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” (Wan Abd. Kadir, 100 tahun Zaaba, hlm. 124).

Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka. Syed Husain al-Attas telah lama membicarakan tentang minda tawanan (the captive mind) yang dimiliki bukan oleh masyarakat biasa tetapi oleh golongan terpelajar yang tidak dapat melepaskan diri daripada kerangka pemikiran yang telah disediakan oleh para penjajah. Bagi Malik Bennabi, proses penjajahan berlaku sejak sesuatu bangsa memiliki colonisibility (al-qabiliyyah li al-isti‘mar). Kerana yang menghantar sesuatu bangsa kepada penjajahan adalah jiwa dan minda yang lemah dan pasrah. Oleh itu jauh sebelum penjajahan berlaku, bangsa itu sendiri telah memiliki jiwa dan minda yang terjajah. Hal inilah yang mengundang penjajahan berlaku terhadap mereka.
Untuk memahami erti kemerdekaan dengan lebih mendalam kita perlu memahami musuh kemerdekaan iaitu penindasan. Berbeza dengan penjajahan, penindasan memiliki erti yang lebih luas. Jika penjajahan selalu dikaitkan dengan kuasa asing, penindasan mencakupi segala bentuk pemaksaan kehendak daripada yang berkuasa kepada yang dikuasai. Kesan penindasan tidak terhenti setakat aspek fizikal tetapi meliputi aspek psikologi atau kejiwaan dan pemikiran. Penindasan akan mengakibatkan rakyat pasrah, merasa hina, keadaan jiwa ini akhirnya menyebabkan rakyat tidak memiliki daya juang, tidak produktif dan tidak kreatif.
Mungkin perlu juga diterangkan apakah yang dimaksudkan dengan masyarakat yang berjiwa merdeka dan berminda merdeka. Untuk lebih praktikal dan membumi maka salah satu aspek penting yang perlu ditegaskan adalah bahawa orang yang berjiwa merdeka adalah orang yang tidak terbelenggu dengan nafsu dan ketamakan/ kecintaan dunia (hubb al-dunya)Contoh yang paling dekat akan golongan yang tidak berjiwa merdeka adalah pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter dan mengambil kesempatan ke atas pengguna hanya kerana ingin senang atau mencari jalan pintas untuk mendapat harta lebih, walaupun dengan cara yang tidak baik. Orang-orang yang mudah tertipu dengan skim cepat kaya dan pelaburan internet adalah orang-orang yang tidak berjiwa merdeka kerana jiwa mereka dibelenggu oleh hawa nafsu mereka sendiri yang tamak dan mencari jalan pintas mendapatkan kekayaan. Sikap materialistik ini hanya akan merugikan diri sendiri dan orang lain. Oleh yang demikian ia tidak menyumbang ke arah pembangunan bangsa dan negara.
Orang yang berminda merdeka pula sentiasa berfikiran terbuka dan rasional. Tidak taassub dan fanatik terhadap mazhab, aliran, parti, atau orang tertentu walaupun ia adalah gurunya sendiri. Taqlid buta adalah sesuatu yang tercela dalam Islam. Satu perkara yang menghalang orang-orang terdahulu daripada menerima cahaya Islam adalah kerana mereka lebih selesa dengan apa yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka dan tidak inginkan perubahan dalam semua perkara yang telah mereka terbiasakan (surah Luqman: 21). Mereka tidak berfikiran terbuka dan rasional. Mereka hanya berfikir atau disuruh berfikir dengan kerangka (framework) pemikiran tertentu sahaja dan tidak berani keluar dari kerangka tersebut.

Jelas bahawa orang-orang seperti ini tidak berminda merdeka. Akibat daripada keadaan jiwa dan minda yang tidak merdeka ini kita lihat, dan sejarah mencatat dan membuktikannya, bahawa masyarakat atau rakyat kehilangan daya juang, daya saing dan daya kreativiti sehingga akhirnya mereka tidak produktif, tidak maju dan tidak berdaya.
Kesimpulannya, orang yang berjiwa dan berminda merdeka adalah orang yang tidak terkongkong dengan budaya kampung, terbelenggu dengan nafsu, taassub dan fanatisme. Sebaliknya orang yang benar-benarmerdeka adalah orang yang tahu identiti dan harga dirinya, lalu membina keupayaannya agar duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Orang yang dapat berfikir jauh kehadapan, menembusi sempadan kampungnya, melepasi kepentingan diri dan kepuakan, untuk memikirkan kepentingan bangsa, negara,agama dan umat.

Saturday, August 22, 2009

Gagal memuhasabah diri

Mungkin timbul tanda tanya kenapa didikan dan dakwah kita kurang berkesan? Kenapa orang yang kita didik masih tidak berubah walaupun bermacam-macam cara dan bahan yang kita sampaikan kepadanya? Di sinilah terletaknya satu hentian bagi para Da'ie dan Murabbi bermuhasabah diri. Kita tidak seharusnya terlalu sibuk dengan amal Islami hingga tidak ada masa yang diperuntukkan untuk muhasabah diri. Bahkan apabila kita tidak lagi perlu untuk duduk sebentar untuk muhasabah diri maka hati kita sebenarnya sudah semakin jauh dari Allah SWT. Kita semakin terkeluar dari garisan kehidupan seorang hamba. Keegoan telah mula bertapak dihati kita. Keangkuhan menguasai gerak laku kita. Semangat telah mendahului kefahaman kita. Kita akan mula tersasar dari arah tujuan kita yang sebenarnya.

Adakah keegoan, tidak mahu muhasabah diri, keangkuhan dan sebagainya ini perkara kecil? Bukankah banyak ayat-ayat Allah yang menggambarkan bahawa mereka yang akan dihumban keneraka Allah itu adalah terdiri dari orang-orang yang takbur/besar diri. Tadabburlah ayat-ayat akhir Az Zumara sesungguhnya ia amat menggerunkan kita.

Apa lagi yang menghalang kita untuk berhenti seketika untuk kita muhasabah diri lebih lebih lagi dalam bulan yang penuh kemuliaan ini. Adakah segala yang kita lakukan semuanya untuk dan kerana Allah SWT.? Kenapa kadang-kadang kita melakukan amal wajib dengan sambil lewa, kenapa kita terlalu sibuk untuk bermunajat kepadanya...memohon perlindungan dari kemurkaan dan azabNya, kenapa kita tidak sempat untuk membaca KalamNya..al Quran. Mungkinkah nanti apabila ditanyakan di Akhirat nanti untuk apa kita kerjakan semuanya lalu kita katakan untuk Allah...lalu Allah katakan BOHONG...lalu diseret muka kita dan dihumbankan kita ke NerakaNya.

Para salafussoleh...disaat-saat kematian, mereka menangis. Lalu dikatakan orang kepadanya "kenapa kamu menangis, bukankah kamu seorang yang soleh, banyak amalan dan taat kepada Allah" Lalu jawabnya "Ya...tetapi bagaimana saya tahu adakah ianya diterima oleh Allah".


Renungilah diri kita lebih dari kita melihat orang lain. Lihatlah kesalahan diri kita melebihi dari melihat kesalahan orang lain. Di sinilah kekuatan dalam amalan. Menyedari kelemahan diri menyebabkan kita sentiasa bergantung padaNya, kita sandarkan segalanya pada Allah SWT. Inilah kekuatan sebenar. Lihatlah dalam kehidupan para sahabat...bukankah kejayaan mereka, kejayaan yang luar biasa...tidak logik, tak masuk aqal tetapi kerana mereka sandarkan segalanya kepada Allah SWT lalu Allah datangkan pertolongan dan kemenangan yang dekat.

Perjalanan hidup manusia bukanlah panjang bahkan cuma perhentian sementara, halangannya terlalu banyak, simpang siurnya tidak menentu maka sebaik-baiknya kita mencari bekal dan berhentilah di hentian muhasabah supaya kita dapat mengimbau laluan yang kita lalui apakah kita telah mencapi hakikat kejadian manusia lalu kita mulakan semula langkah yang baru hingga kita berjumpa dengan Allah nanti... kita bukan tersalah jalan atau terlupa membawa bekalan..

Sunday, August 16, 2009

Memahami Konsep Ibadah

Ibadah pada bahasa ialah kehinaan, ketundukan dan kepatuhan. Pada syarak pula ialah:

- Perlaksanaan hamba segala perbuatan dan perkataan yang disyariatkan Allah dengan disertakan ketaatan dan ketundukan untuk Tuhannya.

- Ibn Khatir mendefinisikan ibadah pada syarak dengan ibarat daripada himpunan kesempurnaan kasih sayang, tunduk dan takut.

- Ibn Jarir mendefinisikan ibadah ialah, taat, tunduk, patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.; mengakui dan meyakini bahawa Allah sahajalah yang layak menjadi tumpuan segala ketaatan, tunduk patuh, merendah diri, takut dan mengharap.

- Al-Alusi pula mendefinisikan ibadah ialah, tahap tertinggi daripada segala ketundukan dan kepatuhan yang tidak mungkin berlaku dari segi syarak dan akal mengerjakan ibadah selain-Nya.

Ibadah diasaskan kepada beberapa faktor:

- Ma'rifah kepada Allah dan iktikad keEsaannya.

- Taat kepada Allah dengan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang melalui Rasulullah s.a.w.

- Pemerhatian bahawa kesemuanya itu bagi melaksanakan kewajipan hak Allah seperti hadis Muaz yang bersama Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hak Allah terhadap hamba dan hak hamba terhadap Allah.



Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:

Ibadah khusus merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Sahih Bukhari)

Ibadah umum pula merupakan segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.



Amalan yang berstatus Ibadah

Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:

Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.

Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.

Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh Rasulullah:

Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Muslim)

Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.

Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.



Kesalahan memahami Konsep Ibadah

Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu.

Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing ini telah dapat juga meresap ke dalam kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang menganggap ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat juga di kalangan ummat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Begitu juga salahnya jika menganggap wujudnya pengasingan antara Ibadah dengan siasah, atau mengasingkan tugas harian kita seharian dengan ibadah sesuatu yang sangat jelas kesilapannya. Ayuhlah menjadikan seluruh kehidupan kita ini sebagai Ibadah yang bakal diterima Allah.

Ibadah akan memberikan kesannya yang mendalam terhadap pelakunya antaranya ialah;

- Menghampirkan diri kita kepada Allah.

- Dengan beribadah, hati, roh dan jasad kita akan menjadi sebati dalam ketaatan.

- Dengan beribadah dapat menukar pengabdian kita yang umum kepada yang khusus.

- Dengan beribadah kita akan berada dalam pemeliharaan Tuhan.

- Kita akan mendapat keamanan daripada Allah.

- Dan akhirnya kita dapat mengecapi kemanisan iman.

Friday, August 14, 2009

Memahami Kategori Hadis dari aspek bilangan perawi

Hadith Mutawatir

Dari segi bahasa al Mutawātir adalah Ism al Fā’il daripada al Tawātur yang bermaksud yang berturut-turut.

Dari segi istilah pula, hadith mutawatir bermaksud hadith yang diriwayatkan oleh bilangan yang ramai di mana mustahil dari segi akal mereka berpakat untuk menipu.


Syarat hadith mutawatir

- Diriwayatkan oleh perawi yang ramai.
- Bilangan yang ramai ini terdapat di kebanyakan peringkat (sahabat – tabi’in – seterusnya)
- Mereka meriwayatkan berdasarkan hissi seperti kata-kata sami’na (kami dengar) atau ro‘aina (kami lihat)


Hukumnya

Mencapai darjat ilm yaqin iaitu ilmu yang wajib diterima dengan penerimaan yang kukuh tanpa sebarang ragu-ragu, wajib beramal dengannya. Sahih



Pembahagiannya

- Mutawatir Lafzi – Hadith yang sampai darjat mutawatir pada lafaz dan maknanya. Contohnya ialah hadith “Sesiapa yang berdusta ke atasku ... “

- Mutawatir Maknawi – Hadith yang sampai darjat mutawatir pada maknanya sahaja walaupun berbeza lafaznya.


Hadis Ahad


Dari segi bahasa ialah satu.

Dari segi istilah ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang atau 2 orang perawi yang jumlahnya tidak mencapai darjat mutawatir.

Hukum beramal dengan Hadis Ahad

Wajib beramal dan berhujjah dgn Hadis Ahad, tetapi tidak kufur sesiapa yang menolaknya.

Hadis Ahad dibahagi kepada tiga:

1) Hadis Masyhur

Dari segi bahasa ialah yang termasyhur @ terkenal.

Dari segi istilah ialah hadis yang diriwayatkan oleh tiga atau lebih perawi dalam setiap thabaqatnya namun belum mencapai darjat mutawatir.

Misalnya hadis Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan sekaligus, akan tetapi Allah mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama.” (Riwayat Bukhari)

Hukum beramal dgn Hadis Masyhur

Boleh beramal dan berhujjah dengan Hadis Masyhur yang sahih dan hasan sahaja. Jika ia dhaif @ Maudu’, tidak boleh beramal dgnnya.

2) Hadis ‘Aziz

Dari segi bahasa ialah sedikit dan jarang-jarang
Dari segi istilah ialah hadis yang diriwayatkan oleh dua perawi dalam setiap thabaqatnya.

Contohnya hadits Rasulullah SAW:

“Tidak beriman salah seorang di antara kalian sehingga aku (Nabi) lebih ia cintai daripada orangtuanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hukum beramal dgn Hadis ‘Aziz

Boleh beramal dan berhujjah dengan Hadis ‘Aziz yang sahih dan hasan sahaja. Jika ia dhaif @ Maudu’, tidak boleh beramal dgnnya.


3) Hadis Gharib

Dari segi bahasa ialah tunggal
Dari segi istilah ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi dalam setiap atau mana-mana thabaqatnya.

Contohnya adalah hadis Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya amal itu tergantung niatnya…”

Hukum beramal dgn Hadis Gharib

Boleh beramal dan berhujjah dengan Hadis Gharib yang sahih dan hasan sahaja. Jika ia dhaif @ Maudu’, tidak boleh beramal dgnnya.

Thursday, August 06, 2009

Menghayati 25 Nasihat Luqman Al-hakim Kepada Anaknya

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Surah Luqman; ayat 12

Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

Hai anakku; orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukan oleh mu, maka marahnya ibubapa terhadap mu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

Hai anakku; Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

Hai anakku; Dan selalulah berharap kpd ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

Hai anakku; seseorang pendusta akan lekas/cepat hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yg telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian/nasihat kepada orang yang tidak mahu mengerti atau mendengar nasihat.

Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu,adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

Hai anakku; Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang merbahaya.

Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

Hai anakku; janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan apa sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan apa saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

Hi anakku; Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yg takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yg mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

Hai anakku; selalulah baik tuturkata dan halus budi-bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang yang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yg tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

Hai anakku; Jadikanlah dan jagalah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan celaan pada dirimu.

Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

Hai anakku; usahakanlah dan jagalah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

Hai anakku; Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata-kata yang mengandungi racun, dan sesiapa yg tidak dapat menahan lidahnya dari berkata-kata kotor tentu akan menyesal.

Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur yang selalu disirami air hujan.

Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yg selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Published by shafril May 11th, 2009 in Islam

p.s. Bukanlah hanya anak Luqman semata yang perlu mendengar nasihat ini malah ia menasihati anda sebagai orang yang membaca untuk menasihati pula anak sendiri dan anak didik kita semuanya. Anggaplah nasihat Luqman sebagai perintah dari Allah untuk manusia yang mengaku dirinya mukmin mudah-mudahan akan menambah nilai taqwa dalam diri.
FREE PALESTINE

My Blog List