SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Friday, August 28, 2009

Memahami Erti Kemerdekaan sebenar



Tentang erti kemerdekaan, Pendita Za'aba mengatakan: berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i'tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” (Wan Abd. Kadir, 100 tahun Zaaba, hlm. 124).

Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka. Syed Husain al-Attas telah lama membicarakan tentang minda tawanan (the captive mind) yang dimiliki bukan oleh masyarakat biasa tetapi oleh golongan terpelajar yang tidak dapat melepaskan diri daripada kerangka pemikiran yang telah disediakan oleh para penjajah. Bagi Malik Bennabi, proses penjajahan berlaku sejak sesuatu bangsa memiliki colonisibility (al-qabiliyyah li al-isti‘mar). Kerana yang menghantar sesuatu bangsa kepada penjajahan adalah jiwa dan minda yang lemah dan pasrah. Oleh itu jauh sebelum penjajahan berlaku, bangsa itu sendiri telah memiliki jiwa dan minda yang terjajah. Hal inilah yang mengundang penjajahan berlaku terhadap mereka.
Untuk memahami erti kemerdekaan dengan lebih mendalam kita perlu memahami musuh kemerdekaan iaitu penindasan. Berbeza dengan penjajahan, penindasan memiliki erti yang lebih luas. Jika penjajahan selalu dikaitkan dengan kuasa asing, penindasan mencakupi segala bentuk pemaksaan kehendak daripada yang berkuasa kepada yang dikuasai. Kesan penindasan tidak terhenti setakat aspek fizikal tetapi meliputi aspek psikologi atau kejiwaan dan pemikiran. Penindasan akan mengakibatkan rakyat pasrah, merasa hina, keadaan jiwa ini akhirnya menyebabkan rakyat tidak memiliki daya juang, tidak produktif dan tidak kreatif.
Mungkin perlu juga diterangkan apakah yang dimaksudkan dengan masyarakat yang berjiwa merdeka dan berminda merdeka. Untuk lebih praktikal dan membumi maka salah satu aspek penting yang perlu ditegaskan adalah bahawa orang yang berjiwa merdeka adalah orang yang tidak terbelenggu dengan nafsu dan ketamakan/ kecintaan dunia (hubb al-dunya)Contoh yang paling dekat akan golongan yang tidak berjiwa merdeka adalah pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter dan mengambil kesempatan ke atas pengguna hanya kerana ingin senang atau mencari jalan pintas untuk mendapat harta lebih, walaupun dengan cara yang tidak baik. Orang-orang yang mudah tertipu dengan skim cepat kaya dan pelaburan internet adalah orang-orang yang tidak berjiwa merdeka kerana jiwa mereka dibelenggu oleh hawa nafsu mereka sendiri yang tamak dan mencari jalan pintas mendapatkan kekayaan. Sikap materialistik ini hanya akan merugikan diri sendiri dan orang lain. Oleh yang demikian ia tidak menyumbang ke arah pembangunan bangsa dan negara.
Orang yang berminda merdeka pula sentiasa berfikiran terbuka dan rasional. Tidak taassub dan fanatik terhadap mazhab, aliran, parti, atau orang tertentu walaupun ia adalah gurunya sendiri. Taqlid buta adalah sesuatu yang tercela dalam Islam. Satu perkara yang menghalang orang-orang terdahulu daripada menerima cahaya Islam adalah kerana mereka lebih selesa dengan apa yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka dan tidak inginkan perubahan dalam semua perkara yang telah mereka terbiasakan (surah Luqman: 21). Mereka tidak berfikiran terbuka dan rasional. Mereka hanya berfikir atau disuruh berfikir dengan kerangka (framework) pemikiran tertentu sahaja dan tidak berani keluar dari kerangka tersebut.

Jelas bahawa orang-orang seperti ini tidak berminda merdeka. Akibat daripada keadaan jiwa dan minda yang tidak merdeka ini kita lihat, dan sejarah mencatat dan membuktikannya, bahawa masyarakat atau rakyat kehilangan daya juang, daya saing dan daya kreativiti sehingga akhirnya mereka tidak produktif, tidak maju dan tidak berdaya.
Kesimpulannya, orang yang berjiwa dan berminda merdeka adalah orang yang tidak terkongkong dengan budaya kampung, terbelenggu dengan nafsu, taassub dan fanatisme. Sebaliknya orang yang benar-benarmerdeka adalah orang yang tahu identiti dan harga dirinya, lalu membina keupayaannya agar duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Orang yang dapat berfikir jauh kehadapan, menembusi sempadan kampungnya, melepasi kepentingan diri dan kepuakan, untuk memikirkan kepentingan bangsa, negara,agama dan umat.

1 comment:

  1. ini gambar contoh demontrasi di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi

    ReplyDelete

Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan

FREE PALESTINE

My Blog List