SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Thursday, January 14, 2010

Menilai Niat dalam Amalan Seharian

Dalam Kitab Mustika Hadis : Hadis ketiga Puluh Lapan

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ. (البخاري ومسلم)


Dari Umar bin Al-Khattab ra., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Segala amal (gerak geri anggota zahir manusia yang disengajakan) tidak berlaku melainkan dengan adanya satu-satu niat dan sesungguhnya tiap-tiap seorang, hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas yang tersebut, sesiapa yang berhijrah dengan tujuan mencapai keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan seorang perempuan, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa yang ditujunya sahaja".

(Bukhari dan Muslim)

Perkataan "Niat" bererti:

(1) Tujuan yang membangkit dan menggerakkan hati seseorang "hendak" melakukan sesuatu perkara yang tertentu.

(2) Perasaan berbangkitnya dan tergeraknya hati hendak melakukan perkara itu.

Pengertian yang pertama menjadi asas untuk menilai baik buruknya perkara yang hendak dilakukan itu.

Pengertian yang kedua pula menjadi asas untuk diiktiraf dan dikirakan perkara yang dilakukan itu.

Tiap-tiap satu perbuatan atau amal yang dilakukan oleh seseorang tak dapat tidak didorong oleh niatnya; dengan sebab itu maka tiap-tiap amal - yang baik dan yang buruk - dinilai berasaskan niat orang yang melakukannya. Cara menilai yang demikian menjadi asas bagi segala amal dalam Islam.

Menurut asas yang tersebut maka satu-satu amal yang dikerjakan oleh dua orang dengan dorongan dua niat yang berlainan maka nilainya dikira berlainan pula.

Bagi menjelaskan keadaan asas itu, Rasulullah s.a.w. bersabda menerangkan amal berhijrah sebagai contoh. Berhijrah - dari Mekah ke Madinah - pada masa itu adalah diwajibkan atas orang-orang Islam. Dalam pada itu amalan berhijrah itu diberi nilaian yang berlainan dengan sebab berlainan niat orang yang melakukannya, sebagaimana yang ternyata dari sabda Baginda dalam hadis ini.


Soal Niat:

Sebelum memulakan sesuatu amal hendaklah terlebih dahulu memperbaiki niat dan keikhlasannya, dan hendaklah mengambil tahu dan memikirkan halnya dengan teliti, kerana niat itu menjadi asas dan segala amal tetap menjadi pengikutnya; - jika baik niat seseorang maka baiklah amalnya dan jika buruk dan rosak niatnya maka buruklah dan rosaklah pula amalnya.

Oleh itu, tiap-tiap seorang janganlah ia menuturkan sesuatu perkataan atau mengerjakan sesuatu amalan atau berniat hendak menjalankan sesuatu urusan, melainkan hendaklah ia menjadikan niatnya semata-mata untuk "bertaqarrub" (mendampingkan diri) kepada Allah dan mengharapkan pahala yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Taala bagi amal yang diniatkan itu.


Benar atau tidaknya niat yang didakwakan oleh seseorang:

Disyaratkan bagi benarnya niat seseorang hendaklah disertakan dengan amal; maka sesiapa yang menuntut ilmu misalnya dan mendakwa bahawa niatnya pada mencapai ilmu itu ialah untuk beramal dan mengajarkannya, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapat ilmu itu, maka nyatalah niatnya yang tersebut tidak benar.

Juga sesiapa yang mencari kekayaan dunia dan mendakwa bahawa ia mencari kekayaan dunia itu ialah dengan tujuan "berdikari" - tidak bergantung kepada orang dan kerana hendak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, memberi sedekah kepada fakir miskin dan melakukan silaturahim kepada kaum kerabat, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapatnya, maka nyatalah tidak benar niatnya itu.

Niat tidak dapat mengubah keadaan maksiat:

Sebenarnya niat itu tidak memberi kesan dan tidak dapat mengubah sama sekali akan hakikat sesuatu perbuatan buruk atau sesuatu maksiat.

Perkara yang buruk tetap buruk, walaupun orang yang melakukannya mendakwa bahawa perkara itu dilakukan dengan niat yang baik.

Misalnya: Orang yang meminum arak dengan niat hendak menguatkan badan untuk berbuat ibadat konon, maka niatnya yang demikian tidak menjadikan perbuatannya itu baik, bahkan niat mendampingkan diri dengan melakukan maksiat itu dikirakan niat yang jahat dan niat itu juga menambahkan kejahatan kepada maksiat yang dilakukan itu.

Oleh itu, tiap-tiap seorang sayugianya berusaha dengan bersungguh-sungguh menguasai niatnya untuk mengharapkan keredhaan Allah semata mata, dan sayugianya pula meniatkan ketika melakukan perkara-perkara yang harus sebagai bantuan untuk menolongnya mengerjakan taat kepada Allah Taala.

Elok juga diketahui bahawa sesuatu amal boleh dihimpunkan padanya beberapa niat dan orang yang mengerjakannya mendapat pahala bagi tiap-tiap niat yang diniatkannya itu.

Misalnya: Dalam perkara-perkara taat, apabila seseorang membaca Al-Qur'an hendaklah meniatkan untuk bermunajat dengan Allah Taala, kerana orang yang membaca Al-Qur'an adalah orang yang bermunajat dengan Tuhannya; dan hendaklah juga meniatkan untuk mendapat ilmu pengetahuan dari Al-Qur'an, kerana Al-Qur'an menjadi sumbernya dan juga hendaklah ia meniatkan untuk mendatangkan faedah kepada dirinya sendiri dan pendengar-pendengarnya dengan bacaan Al-Qur'an itu; dan lain-lain lagi dan niat-niat yang baik.

Dalam perkara-perkara yang harus pula, apabila makan minum hendaklah ia meniatkan untuk mematuhi perintah Tuhannya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal yang Kami kurniakan kepada kamu," dan juga meniatkan dengan makan minum itu untuk mendapat tenaga dan kekuatan yang memudahkannya mengerjakan taat kepada Allah Taala dan juga meniatkan untuk melahirkan syukur kepada Allah yang memerintahkan dengan firman-Nya, maksudnya: "Makanlah kamu dari rezeki Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya" dan demikianlah seterusnya yang sayugianya dilakukan mengenal niat-niat yang baik.

Sayugia diketahui, seseorang itu tidak sunyi - sama ada ia berniat - untuk melakukan sesuatu perkara dari salah satu dari tiga keadaan:

Pertama - Bahawa ia berniat serta bertindak melakukannya.

Kedua - Ia berniat dan tidak bertindak melaksanakannya sedang ia boleh bertindak; maka hukum keadaan niat yang demikian dan keadaan niat yang pertama ada diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. (seperti yang akan dinyatakan dalam hadis 39);

Ketiga - ia berniat untuk melakukan sesuatu perkara, sedang ia tidak mampu melakukannya, lalu ia berkata dalam hatinya: "Kalaulah aku terdaya melakukannya nescaya aku lakukan," maka ia beroleh balasan bagi apa yang diniatkannya itu, sama seperti yang didapati oleh orang yang mengerjakannya.

Hendaklah diingat lagi, sesuatu amal itu ada kalanya dikerjakan dengan perasaan riak semata-mata dan ada kalanya bercampur dengan riak. Kedua-dua jenis ini tidak ada pahala padanya bahkan haram dilakukan. Demikian juga tidak ada pahala bagi mana-mana amal yang dikerjakan semata-mata dengan tujuan mendapat keuntungan dunia, seperti berjuang di medan perang untuk mendapat harta rampasan sahaja; tetapi kalau perjuangannya itu untuk meninggikan agama Allah serta mendapat harta rampasan perang, maka perjuangannya yang tersebut mendapat pahala, walaupun tidak sepenuhnya.

Selain dari itu, sesiapa yang melakukan sesuatu amal ibadat, kemudian terlintas di hatinya perasaan riak semasa ia mengerjakannya, lalu ia menolaknya dengan serta merta maka tidaklah tercacat amal ibadatnya itu; masalah ini diakui sahnya secara ijmak. Kalau ia teruskan perasaan riak itu maka hampalah amal ibadatnya yang tersebut dari beroleh pahala - kalaulah perkara yang dikerjakannya itu berhubung antara satu dengan yang lain hingga ke akhirnya, seperti yang terdapat dalam sembahyang dan juga yang terdapat di dalam amalan haji; tetapi kalau perkara yang dikerjakannya itu tidak berhubung antara satu dengan yang lain, seperti membaca Al-Qur'an, bertasbih dan bertahlil, maka ia hanya mendapat pahala bagi bahagian yang tidak ada perasaan riak padanya; kalau pula satu-satu amal ibadat yang dikerjakan itu sempurna dan bersih suci dari segala yang mencacatkannya, kemudian ia dipuji orang lalu ia bergembira dengan pujian itu, maka yang demikian tidak merosakkan ibadatnya yang telah sempurna itu.

Dipetik semula dari Mustika Hadis

No comments:

Post a Comment

Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan

FREE PALESTINE

My Blog List