SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Thursday, February 04, 2010

Ulama mewarisi tugas Nabi

Di antara peranan Ulama ialah bertanggungjawab sebagai pemegang amanah warisan Rasulullah s.a.w. adalah untuk mengekalkan ketulenan ajaran-ajaran Islam dari sebarang bentuk penyelewengan.
Sabda Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi. Para Nabi tidak mewarisi dinar dan tidak pula dirham, namun (mereka) mewariskan ilmu. Sehingga sesiapa yang telah mengambilnya (ilmu tersebut), berarti telah mengambil bahagian yang sempurna.” [Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya]
Istilah ‘ilmu’ pada hadis di atas menjurus kepada ilmu-ilmu dari al-Qur’an dan al-Sunnah atau dalam erti kata lain ilmu-ilmu berkaitan agama Islam. Muhammad bin Sirin r.h berkata: “Sesungguhnya ilmu ini ialah agama. Maka lihatlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian.”
Sehubungan dengan itu sabda Nabi s.a.w.: “Ilmu ini akan dibawa oleh mereka yang adil dari setiap generasi” bermaksud pada setiap generasi umat Islam akan ada golongan yang adil (boleh dipercayai dalam ajaran agama) dan bersungguh-sungguh membawa ajaran-ajaran Islam sebagaimana yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w.. Golongan ulama yang adil ini akan berusaha untuk melindungi umat Islam dari segala penyelewengan dalam agama, amalan-amalan syirik, bid’ah, khurafat, tahyul dan maksiat. Mereka akan sentiasa bersedia membongkar segala penyimpangan atau anasir-anasir asing yang cuba untuk disebarkan kepada umat Islam. Adakalanya golongan ulama yang adil ini dilabel dengan pelbagai kata tohmahan dan cercaan disebabkan ketegasan mereka dalam menjaga ketulenan agama ini terutamanya ketika mereka mengkritik amalan-amalan yang bukan dari ajaran Rasulullah tetapi telah sebati dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Mereka dituduh sebagai pemecah belah umat, penyebar fitnah, golongan jumud dalam pemikiran dan bermacam lagi kata-kata sindiran bertujuan untuk memburuk-burukkan mereka agar masyarakat jauh dari dakwah mereka. Namun mereka sentiasa bersabar dalam menghadapi segala rintangan yang perlu mereka lalui sebagai penyambung warisan Nabi s.a.w. dan segala cercaan tersebut tidak sedikitpun memudaratkan mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Akan ada segolongan di kalangan umatku yang sentiasa berada di atas kebenaran. Tidak memudaratkan mereka bagi orang yang ingin menjatuhkan mereka sehingga tibanya urusan Allah (hari Kiamat).” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya]
Rasulullah s.a.w. telah memperjelaskan ciri-ciri yang perlu ada bagi mereka yang ingin menyambung warisan ajaran baginda serta mempertahankan ketulenan ajaran Islam.
Pertama : Mereka menentang penyelewengan golongan yang melampaui batas.
Segala tahrif (penyelewengan) yang cuba dilakukan oleh kelompok yang melampaui batas dalam urusan agama akan diperangi. Golongan-golongan yang menyimpang dari ajaran Islam akan sentiasa berusaha untuk menyelewengkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Qur’an dan agar menyokong doktrin sesat mereka. Contoh golongan yang melampau batas adalah Syiah Rafidhah yang berselindung disebalik slogan mencintai Ahlul Bait (keluarga Nabi s.a.w.) demi untuk meraih sokongan orang ramai bertujuan membawa agenda bangsa Parsi yang sebenarnya cemburu dengan kebangkitan umat Islam yang telah menghancurkan empayar kebanggaan mereka. Mereka telah menyelewengkan pelbagai konsep ajaran dalam Islam secara ekstrem dan memalsukan banyak riwayat-riwayat hadis demi untuk menegakkan ajaran sesat mereka. Di antara pegangan utama Syiah adalah pengkafiran para sahabat Nabi s.a.w.. Al-Kushshi yang merupakan tokoh ulama rijal syiah pada kurun ke 4 telah meriwayatkan daripada Abu Ja’far yang berkata: Semua manusia itu telah murtad setelah wafatnya Nabi kecuali 3 orang. Aku bertanya: Siapakah yang 3 orang itu? Maka jawabnya : Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Dzarr al-Ghifari dan Salman al-Farisi. [Riwayat Al-Kushshi di dalam Rijal al-Kushshi]. Para sahabat merupakan golongan yang menerima al-Qur’an serta mendengar sabda-sabda baginda secara terus daripada baginda s.a.w. Mereka ini jugalah yang paling faham tentang kandungan risalah Nabi tersebut dan merupakan generasi terbaik bagi umat Islam. Dengan menyisihkan umat Islam daripada pegangan para sahabat, golongan Syiah sebenarnya ingin menjauhkan umat Islam dari ajaran Islam yang sebenarnya. Adalah tugas para ulama untuk mendedahkan penyelewangan mereka ini dan memperjelaskan kedudukan sebenar sesuatu isu yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam ini.
Kedua : Mereka menentang dakwaan dusta (intihal) golongan yang batil dan sesat.
Para ulama hendaklah sentiasa meneliti segala dakwaan-dakwan dusta golongan-golongan sesat yang tersebar di tengah-tengah masyarakat bertujuan untuk menjauhkan manusia dari ajaran Islam yang sebenarnya sebagaimana yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.. Sebagai contoh dakwaan dusta golongan Islam liberal yang menyatakan bahawa terdapat perkara-perkara yang termaktub dalam hukum syarak ini yang hanya sesuai untuk dilaksanakan pada zaman silam sahaja dan bukan untuk zaman moden ini. Ulama harus memperjelaskan hikmah di sebalik segala perlaksanaan hukum-hukum yang ditetapkan oleh syarak yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Masyarakat harus disedarkan bahawa segala hukum-hakam di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah itu wajib dilaksanakan sebagaimana firman-Nya: "Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat." [Surah al-Nisa’: 105]
Ketiga : Mereka menentang takwilan golongan jahil.
Golongan yang jahil sering melakukan takwilan atau tafsiran terhadap sesuatu ayat-ayat al-Qur’an mahupun hadis-hadis Nabi tanpa kaedah ilmu yang jelas lalu mereka memalingkannya dari tafsiran sebenar sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan generasi salaf. Umpamanya, firman Allah S.W.T.: "Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu al-Yakin." [Surah al-Hijr : 99] Menerusi ayat ini kelompok batiniyah meyakini bahawa apabila sesorang itu telah mencapai suatu makam (kedudukan) yang dipanggil al-Yakin, mereka telah terlepas dari bebanan (taklif) hukum. Bagi pengamal tarekat mereka yang diyakini telah mencapai makam ini maka mereka tidak perlu lagi melakukan ibadah seperti solat, puasa dan zakat serta dibenarkan melakukan maksiat. Sedangkan bagi kelompok ahli sunnah wal jamaah, mereka mentafsirkan al-Yakin dengan makna kematian. Oleh itu, firman Allah di atas sebenarnya bermaksud kita hendaklah tetap beribadah kepada Allah sehingga ajal menjemput kita.
Semoga kita terus bernaung pada ajaran yang sebenar dan meneruskan usaha-usaha mempertahankan agama Islam agar terus menjadi rahmat kepada seluruh alam ini.Wallahua'lam.
sumber yaakob.blogspot

No comments:

Post a Comment

Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan

FREE PALESTINE

My Blog List