SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Saturday, January 16, 2010

Isu penggunaan kalimah Allah apa sikap kita?

Keputusan mahkamah yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan kalimah Allah swt telah mencetus polemik dikalangan masyarakat dalam negara kita . Keadaan kelihatan tegang antara penganut ajaran Kristian dan ummat Islam .
Agama Kristian [ Nasara ] , Yahudi dan Islam pada asanya berkongsi Tuhan yang sama iaitu Allah swt. Tuhan yang satu dan Tuhan yang Maha Esa . Inilah jua yang termaktub di dalam Taurat dan Injil .
Namun Kitab Taurat dan Injil yang asal telah dipinda oleh para paderi dan pendita Yahudi sejak lama dulu sehingga menghasilkan Injil Barnaba , Injil Matthew dan sebagainya . Semenjak itu mereka menyengutukan [ mensyirikkan ] Allah swt Tuhan yang Maha Esa dengan menganggap ada tuhan lain selain Allah seperti tuhan anak , tuhan bapa dan tuhan ibu .
Konsep ketuhanan yang sedemikian adalah sangat bercanggah dengan Islam . Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Esa . Tuhan yang Satu dan tiada Tuhan yang lain selain Allah yang layak disembah .
Sementara mana - mana pihak mahu mengambil tuhan yang lain sebagai tuhan mereka untuk di sembah adalah terpulang kepada keyakinan mereka dan itu menjadi hak mereka dalam beragama . Tetapi mereka tidak boleh menggunakan Lafzul Jalaalah [ Allah ] sebagai Tuhan dan diletakkan di dalam rumah - rumah ibadah mereka untuk disekutukan , kerana ia disifatkan satu penghinaan kepada ummat Islam yang meletakkan Allah swt sebagai Tuhan yang Esa yang tidak sekali - kali layak disekutukan dengan segala apa jua .
Kita bersetuju bahawa kalimah Allah swt boleh digunakan oleh sesiapapun tanpa ia menjadi milik ekslusif ummat Islam , kerana Allah swt adalah Tuhan kepada seluruh ummat manusia . Tetapi penggunaan kalimah Allah itu mestilah benar dan tepat dengan keesaan Allah swt . Seperti mereka mengatakan Allah adalah Tuhan yang mencipta Alam dan Tuhan yang mencipta manusia , maka itu adalah perkataan yang benar dan mereka dibenarkan untuk berkata demikian sekalipun mereka bukan muslim .
Menggunakan kalimah Allah swt secara benar dan betul adalah tidak menjadi kesalahan . Sebagaimana yang disebut di dalam al Quran , bagaimana golongan musyrikin apabila ditanya : [ siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan nescaya mereka menjawab Allah , maka mengapa mereka masih boleh dipalingkan daripada kebenaran .] Dalil ini bagi menegaskan tidak mengapa penggunaan kalimah Allah swt dengan maksud yang benar dan bertepatan dengan konsep ketuhanan Allah swt . tanpa mereka berpaling dari kebenaran itu .
Kita juga menyedari bahawa aliran Kristian di negara - negara arab seperti Mesir meletakkan kalimah Allah di dalam gereja dan restoran - restoran mereka . Aliran Kristian di Mesir ini sememangnya menganggap Allah swt adalah Tuhan yang menciptakan manusia dan memberi rezeki . Bahkan mereka menggunakan kalimah Allah swt sejak awal [ ribuan tahun ] yang lalu .
Situasi ini sangat berbeza dengan aliran Kristian yang lain seperti di barat mahupun di negara kita . Sejak awal mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah swt sebagai merujuk kepada tuhan yang mereka sembah di dalam upacara ibadat , penerbitan dan gereja - gereja mereka. Sebaliknya mereka sering menggunakan kalimah "God" sebagai tuhan mereka dan Jesus tatkala merujuk kepada Nabi Isa a.s .
Apabila timbul isu penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald , ia suatu yang sangat asing maka ia mencetus kesangsian dikalangan ummat Islam . Apakah motif penggunaan kalimah tersebut ? Jika untuk tujuan ibadah , tidak pernah pula mereka menggunakan kalimah tersebut sebelum daripada ini . Inilah persoalan yang mesti diberikan penjelasan yang jujur dari pihak terbabit .
Kebimbangan ummat Islam adalah berasas . Penggunaan kalimah Allah tanpa motif yang jelas menimbulkan pelbagai prasangka . Apakah ini strategi mereka untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan ummat Islam lalu memurtadkan mereka ? atau ini satu siri provokasi untuk menilai sensitiviti ummat Islam . Prasangka ini akan terus bersarang dan berlegar dalam jiwa ummat Islam .
Jika penggunaan kalimah Allah secara salah , pasti mereka akan berdepan dengan penentangan dan kemarahan ummat Islam yang tidak rela Allah swt dipersenda dan diperlekehkan . Tetapi jika mereka menggunakan kalimah Allah dengan betul dan benar seperti menyebut bahawa Allah adalah Tuhan yang mencipta langit dan bumi , Allah adalah Tuhan yang mencipta manusia , Allah adalah tuhan yang memberi rezeki dan seumpamanya , maka itu tidak mengapa dan kita boleh bersetuju sekalipun yang melafazkan itu bukan muslim .
Justeru semua pihak harus saling memahami dan selaku umat Islam wajib mempunyai pendirian yang betul, tegas dan konsisten dengan asas yang betul.

dipetik dari sumber episodeperjuangan.blogspot.com

Thursday, January 14, 2010

Menilai Niat dalam Amalan Seharian

Dalam Kitab Mustika Hadis : Hadis ketiga Puluh Lapan

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ. (البخاري ومسلم)


Dari Umar bin Al-Khattab ra., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Segala amal (gerak geri anggota zahir manusia yang disengajakan) tidak berlaku melainkan dengan adanya satu-satu niat dan sesungguhnya tiap-tiap seorang, hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas yang tersebut, sesiapa yang berhijrah dengan tujuan mencapai keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan seorang perempuan, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa yang ditujunya sahaja".

(Bukhari dan Muslim)

Perkataan "Niat" bererti:

(1) Tujuan yang membangkit dan menggerakkan hati seseorang "hendak" melakukan sesuatu perkara yang tertentu.

(2) Perasaan berbangkitnya dan tergeraknya hati hendak melakukan perkara itu.

Pengertian yang pertama menjadi asas untuk menilai baik buruknya perkara yang hendak dilakukan itu.

Pengertian yang kedua pula menjadi asas untuk diiktiraf dan dikirakan perkara yang dilakukan itu.

Tiap-tiap satu perbuatan atau amal yang dilakukan oleh seseorang tak dapat tidak didorong oleh niatnya; dengan sebab itu maka tiap-tiap amal - yang baik dan yang buruk - dinilai berasaskan niat orang yang melakukannya. Cara menilai yang demikian menjadi asas bagi segala amal dalam Islam.

Menurut asas yang tersebut maka satu-satu amal yang dikerjakan oleh dua orang dengan dorongan dua niat yang berlainan maka nilainya dikira berlainan pula.

Bagi menjelaskan keadaan asas itu, Rasulullah s.a.w. bersabda menerangkan amal berhijrah sebagai contoh. Berhijrah - dari Mekah ke Madinah - pada masa itu adalah diwajibkan atas orang-orang Islam. Dalam pada itu amalan berhijrah itu diberi nilaian yang berlainan dengan sebab berlainan niat orang yang melakukannya, sebagaimana yang ternyata dari sabda Baginda dalam hadis ini.


Soal Niat:

Sebelum memulakan sesuatu amal hendaklah terlebih dahulu memperbaiki niat dan keikhlasannya, dan hendaklah mengambil tahu dan memikirkan halnya dengan teliti, kerana niat itu menjadi asas dan segala amal tetap menjadi pengikutnya; - jika baik niat seseorang maka baiklah amalnya dan jika buruk dan rosak niatnya maka buruklah dan rosaklah pula amalnya.

Oleh itu, tiap-tiap seorang janganlah ia menuturkan sesuatu perkataan atau mengerjakan sesuatu amalan atau berniat hendak menjalankan sesuatu urusan, melainkan hendaklah ia menjadikan niatnya semata-mata untuk "bertaqarrub" (mendampingkan diri) kepada Allah dan mengharapkan pahala yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Taala bagi amal yang diniatkan itu.


Benar atau tidaknya niat yang didakwakan oleh seseorang:

Disyaratkan bagi benarnya niat seseorang hendaklah disertakan dengan amal; maka sesiapa yang menuntut ilmu misalnya dan mendakwa bahawa niatnya pada mencapai ilmu itu ialah untuk beramal dan mengajarkannya, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapat ilmu itu, maka nyatalah niatnya yang tersebut tidak benar.

Juga sesiapa yang mencari kekayaan dunia dan mendakwa bahawa ia mencari kekayaan dunia itu ialah dengan tujuan "berdikari" - tidak bergantung kepada orang dan kerana hendak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, memberi sedekah kepada fakir miskin dan melakukan silaturahim kepada kaum kerabat, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapatnya, maka nyatalah tidak benar niatnya itu.

Niat tidak dapat mengubah keadaan maksiat:

Sebenarnya niat itu tidak memberi kesan dan tidak dapat mengubah sama sekali akan hakikat sesuatu perbuatan buruk atau sesuatu maksiat.

Perkara yang buruk tetap buruk, walaupun orang yang melakukannya mendakwa bahawa perkara itu dilakukan dengan niat yang baik.

Misalnya: Orang yang meminum arak dengan niat hendak menguatkan badan untuk berbuat ibadat konon, maka niatnya yang demikian tidak menjadikan perbuatannya itu baik, bahkan niat mendampingkan diri dengan melakukan maksiat itu dikirakan niat yang jahat dan niat itu juga menambahkan kejahatan kepada maksiat yang dilakukan itu.

Oleh itu, tiap-tiap seorang sayugianya berusaha dengan bersungguh-sungguh menguasai niatnya untuk mengharapkan keredhaan Allah semata mata, dan sayugianya pula meniatkan ketika melakukan perkara-perkara yang harus sebagai bantuan untuk menolongnya mengerjakan taat kepada Allah Taala.

Elok juga diketahui bahawa sesuatu amal boleh dihimpunkan padanya beberapa niat dan orang yang mengerjakannya mendapat pahala bagi tiap-tiap niat yang diniatkannya itu.

Misalnya: Dalam perkara-perkara taat, apabila seseorang membaca Al-Qur'an hendaklah meniatkan untuk bermunajat dengan Allah Taala, kerana orang yang membaca Al-Qur'an adalah orang yang bermunajat dengan Tuhannya; dan hendaklah juga meniatkan untuk mendapat ilmu pengetahuan dari Al-Qur'an, kerana Al-Qur'an menjadi sumbernya dan juga hendaklah ia meniatkan untuk mendatangkan faedah kepada dirinya sendiri dan pendengar-pendengarnya dengan bacaan Al-Qur'an itu; dan lain-lain lagi dan niat-niat yang baik.

Dalam perkara-perkara yang harus pula, apabila makan minum hendaklah ia meniatkan untuk mematuhi perintah Tuhannya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal yang Kami kurniakan kepada kamu," dan juga meniatkan dengan makan minum itu untuk mendapat tenaga dan kekuatan yang memudahkannya mengerjakan taat kepada Allah Taala dan juga meniatkan untuk melahirkan syukur kepada Allah yang memerintahkan dengan firman-Nya, maksudnya: "Makanlah kamu dari rezeki Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya" dan demikianlah seterusnya yang sayugianya dilakukan mengenal niat-niat yang baik.

Sayugia diketahui, seseorang itu tidak sunyi - sama ada ia berniat - untuk melakukan sesuatu perkara dari salah satu dari tiga keadaan:

Pertama - Bahawa ia berniat serta bertindak melakukannya.

Kedua - Ia berniat dan tidak bertindak melaksanakannya sedang ia boleh bertindak; maka hukum keadaan niat yang demikian dan keadaan niat yang pertama ada diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. (seperti yang akan dinyatakan dalam hadis 39);

Ketiga - ia berniat untuk melakukan sesuatu perkara, sedang ia tidak mampu melakukannya, lalu ia berkata dalam hatinya: "Kalaulah aku terdaya melakukannya nescaya aku lakukan," maka ia beroleh balasan bagi apa yang diniatkannya itu, sama seperti yang didapati oleh orang yang mengerjakannya.

Hendaklah diingat lagi, sesuatu amal itu ada kalanya dikerjakan dengan perasaan riak semata-mata dan ada kalanya bercampur dengan riak. Kedua-dua jenis ini tidak ada pahala padanya bahkan haram dilakukan. Demikian juga tidak ada pahala bagi mana-mana amal yang dikerjakan semata-mata dengan tujuan mendapat keuntungan dunia, seperti berjuang di medan perang untuk mendapat harta rampasan sahaja; tetapi kalau perjuangannya itu untuk meninggikan agama Allah serta mendapat harta rampasan perang, maka perjuangannya yang tersebut mendapat pahala, walaupun tidak sepenuhnya.

Selain dari itu, sesiapa yang melakukan sesuatu amal ibadat, kemudian terlintas di hatinya perasaan riak semasa ia mengerjakannya, lalu ia menolaknya dengan serta merta maka tidaklah tercacat amal ibadatnya itu; masalah ini diakui sahnya secara ijmak. Kalau ia teruskan perasaan riak itu maka hampalah amal ibadatnya yang tersebut dari beroleh pahala - kalaulah perkara yang dikerjakannya itu berhubung antara satu dengan yang lain hingga ke akhirnya, seperti yang terdapat dalam sembahyang dan juga yang terdapat di dalam amalan haji; tetapi kalau perkara yang dikerjakannya itu tidak berhubung antara satu dengan yang lain, seperti membaca Al-Qur'an, bertasbih dan bertahlil, maka ia hanya mendapat pahala bagi bahagian yang tidak ada perasaan riak padanya; kalau pula satu-satu amal ibadat yang dikerjakan itu sempurna dan bersih suci dari segala yang mencacatkannya, kemudian ia dipuji orang lalu ia bergembira dengan pujian itu, maka yang demikian tidak merosakkan ibadatnya yang telah sempurna itu.

Dipetik semula dari Mustika Hadis

Wednesday, January 13, 2010

Mengutip Beberapa Kisah Mempersendakan Agama

" Dan jauhkanlah diri dari orang yang menjadikan agama sebagai permainan dan senda gurau, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah mereka dengan Al-Quran supaya tiap-tiap diri kelak tidak terjerumus ke dalam azab neraka dengan sebab apa yang telah ia usahakan..." maksud ayat surah al-anaam ayat 70.

Sirah Nabawi telah mencatatkan perihal keadaan Nabi Muhammad SAW yang telah melalui dan merasai kepahitan tuduhan dan tohmahan yang di lemparkan oleh golongan yang suka mempersendakan agama Allah. Mereka cuba menjatuhkan martabat Baginda sekaligus menjauhkan manusia dari dakwah dan jihad yang dibawanya. Mereka telah menyakiti Baginda sepertimana orang kafir Quraish menyakiti Baginda dengan mengeluarkan Baginda dari kampung halamannya sehingga Baginda terpaksa meninggalkan semua harta benda dan rumah tangganya.

Dikisahkan bahawa Nabi saw ketika di Madinatul Munawwarah sentiasa berada di Masjid bersama para sahabat. Baginda SAW mengajar ,mendidik dan mentarbiyah mereka yang terdiri dari semua lapisan masyarakat, tua dan muda, miskin dan kaya. Di kalangan para sahabat itu terdapat seorang kanak-kanak kecil, tetapi walaupun masih kecil, jiwanya telah dipenuhi dengan kalimah tauhid dan keimanan yang teguh. Beliau ialah ‘Umair ibn Sa’ad radhiallahu ‘anhu.
Pada suatu hari, ‘Umair telah pergi ke rumah bapa saudaranya, seorang tua yang telah berumur lebih enam puluh tahun, tetapi dirinya penuh dengan sifat-sifat munafiq. Namun demikian beliau sentiasa bersolat bersama orang lain di masjid, bahkan berpuasa dan mengerjakan ‘umrah. Beliau adalah seorang pendusta risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Namanya Al-Julas ibn Suwaid.

Semasa berada di rumah bapa saudaranya itu, ‘Umair pun menceritakan apa yang telah dipelajarinya dari Rasulullah SAW, katanya: “Wahai ‘ammi (pak cikku)! Kami telah mendengar Rasulullah SAW menceritakan tentang kesusahan hari Qiamat, sehingga kami terasa dan tergambar seolah-olah hari Qiamat itu telah berlaku di hadapan mata kami”. Setelah mendengar kata-kata ‘Umair tersebut Al-Julas lantas mencelah dengan katanya: “Wahai ‘Umair! Demi Allah! Kalaulah Muhammad seorang yang benar maka kami semua lebih bodoh dari himar (keldai)!”.

Maka dengan serta merta berubah air muka ‘Umair serta gementar tubuhnya kerana terlalu marah, lalu beliau terus membantah cakap Al-Julas, dengan berkata: “Ammi (Pak cik)! Demi Allah! Engkaulah orang yang paling aku sayangi dengan sepenuh hati sebelum ini, tetapi demi Allah! Sekarang engkaulah orang yang paling aku benci”. Kemudian ‘Umair berkata lagi: “Aku sekarang berada di antara dua persimpangan jalan. Samada aku diamkan saja perkataan engkau ini, maka aku telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, atau aku akan laporkan kepada Rasulullah SAW dan terserahlah apa akan terjadi selepas ini”.

Setelah mendengar bantahan ‘Umair, Al-Julas terus mengejek anak saudaranya: “Umair! Engkau seorang kanak-kanak yang masih mentah. Orang tidak akan percaya apa yang engkau cakap. Pergilah beritahu apa yang engkau suka”.

Maka dengan segera ‘Umair keluar dari rumah bapa saudaranya pergi menghadap Rasulullah SAW dan melaporkannya: “Wahai Rasulullah! Al-Julas bapa saudaraku telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya aku berlepas diri daripadanya kepada Allah dan kepada engkau”.
Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang diucapkan olehnya wahai ‘Umair?” Katanya: “Kalaulah Muhammad seorang yang benar maka kami semua lebih bodoh dari himar”.

Rasulullah SAW tidak terus membuat keputusan memandangkan kedudukan Al-Julas di kalangan sahabat, tetapi Baginda memanggil beberapa orang sahabat dan bermesyuarat dengan mereka. Beberapa orang sahabat memberi pendapat, katanya: “Umair seorang kanak-kanak yang masih mentah. Jangan tuan percaya cakapnya. Dia tidak tahu apa yang dicakapnya, sedangkan Al-Julas seorang tua yang baik, sentiasa bersolat bersama kami”.

Rasulullah SAW diam, tidak membenarkan laporan tersebut. Maka menangislah ‘Umair teresak-esak dan menggigil tubuhnya serta mengangkat mukanya ke langit, mengharapkan bantuan dari langit setelah tiada lagi tempat mengadu di bumi. Mengharapkan tasdiq(pembenaran) dan penyaksian dari Yang Maha Mengetahui segala perkara ghaib dan tersembunyi. Beliau berdoa: “Ya Allah! Sekiranya apa yang aku sampaikan ini benar maka benarkanlah. Dan sekiranya apa yang aku sampaikan ini dusta maka dustakanlah”.

Belum sempat Rasulullah SAW meninggalkan majlisnya itu dan keluar dari masjid, Jibril alaihissalam telah datang dari atas tujuh petala langit membawa perakuan atau shahadah pembenaran laporan ‘Umair bin Sa’ad melalui firman Allah SWT yang dapat kita baca hingga hari ini, yang bermaksud:

“Golongan munafiqin bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Dan sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kufur dan telah menjadi kafir sesudah Islam, dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya (dengan percubaan membunuh Rasulullah SAW”. [Surah at-Taubah: 74].

Rasulullah SAW terus memanggil Al-Julas dan bertanya tentang apa yang diucapkannya. Al-Julas dengan mudah terus bersumpah bahawa beliau tidak berkata apa-apa terhadap Rasulullah SAW. Baginda SAW terus membaca ayat yang diturunkan itu dan bersabda: “Sesungguhnya engkau wahai Al-Julas telah kafir!. Maka bertaubatlah kamu sekarang kerana firman Allah yang bermaksud:

“Maka jika mereka bertaubat, maka itu lebih baik bagi mereka” [Surah at-Taubah: 74].
Kemudian Rasulullah SAW memanggil ‘Umair bin Sa’ad dan mengucapkan “Marhaban” atau tahniah kerana laporannya mendapat akuan benar dari atas tujuh petala langit. [Al-Sayuti,Tafsir al-Durr al-Manthur, 3/463-464]

Demikianlah kisah ‘Umair RA dengan golongan munafiqin yang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan kedudukan para du’at dan alim ulamak.

Pada sebuah lagi kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW tentang golongan yang mempersendakan Rasulullah SAW, agama Islam dan para sahabat ini.

Al-Hafiz Ibnu Kathir telah meriwayatkan daripada beberapa orang sahabat seperti Ibnu ‘Umar, Muhammad bin Kaab dan Zaid bin Aslam RA bahawa seorang munafiq telah berkata sewaktu keluar untuk pergi berperang ke Tabuk: “Kami tidak pernah melihat satu golongan seperti para Qurra’ ini (iaitu tentera yang keluar ke Tabuk, Rasulullah SAW dan para sahabat). Mereka hanya gemar mengisi perut sahaja, mempunyai lidah yang suka berbohong serta sangat pengecut bila berdepan dengan musuh”.
Seorang sahabat bernama ‘Auf bin Malik terus membantah: “Bohong! Apa yang engkau cakapkan itu adalah dusta. Engkau seorang munafiq. Aku akan laporkan kepada Rasulullah SAW apa yang engkau katakan”.
Kemudian datanglah munafiq tadi menghadap Rasulullah SAW, sedang Baginda SAW berada di atas untanya untuk keluar. Beliau cuba memujuk Baginda, kononnya apa yang diucapkan itu cakap-cakap kosong dan main-main sahaja bagi menghilangkan rasa bosan dalam perjalanan. Rasulullah SAW terus berjalan tanpa menghiraukan rayuannya. Beliau terus bergantung pada tali unta Baginda dan ditarik oleh unta itu di atas batu. Rasulullah SAW hanya menjawab dengan ayat al-Quran yang telah diturunkan, yang bermaksud:
“Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu beristihza’ (bersenda gurau atau bermain olok-olok)? Tidak usahlah kamu meminta maaf. Sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman”. [Surah at-Taubah: 65-66. Lihat Tafsir Ibnu Kathir 2/351].

Begitulah pengajaran yang amat berguna dari pengkisahan sirah nabawi yang patut dijadikan bahan penceritaan semula tentang kaum munafiq kepada anak-anak pada hari ini. Ia patut menjadi sempadan yang amat berguna kerana gejala mempersendakan agama dan sifat nifaq mudah berlaku di zaman mutaahirin ini.

My Blog List