HADIS Nabi SAW yang masyhur dan diriwayatkan Umar al-Khattab bermaksud: "Sesungguhnya sesuatu amal itu (bermula) dengan niat. Sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana mendapat keredaan Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan mendapat Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita yang ingin dikahwininya, maka dia akan mendapat apa diniatkan itu."
Firman Allah bermaksud: "Berdoalah kamu kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan permintaan kamu."
Niat juga disebut sebagai qasad atau maksud tujuan. Dalam istilah perancangan disebut sebagai objektif atau matlamat.Hadis itu menegaskan sesuatu amalan menjadi sah di sisi syarak ialah dengan sahnya niat. Sesuatu amalan diterima sebagai pengabdian kepada Allah juga dengan niat dan satu perspektif lain ialah sesuatu kerja itu akan berjaya mencapai kejayaan bergantung kepada niat.
Tiga perspektif penting dijelaskan dalam hadis itu ialah: Sah atau tidak amal ibadat bergantung kepada niat dan betul dengan cara disyariatkan.Sesuatu amal ibadat tidak akan mendapat ganjaran jika tidak ikhlas kepada Allah. Sesuatu amal, kerja dan usaha akan gagal jika tidak jelas maksud tujuannya.
Niat adalah amalan hati, minda, emosi dan anggota badan secara serentak. Anggota badan akan bergerak melakukan apa yang ia mahu atau menjauhi apa yang ia takut. Gerakan ini bermula dengan satu keputusan diputuskan oleh hati.Keputusan itu berpunca daripada wujudnya kemahuan yang kuat dalam diri. Kemahuan yang kuat dicetuskan rasa seronok atau takut. Keseronokan dan ketakutan adalah emosi yang lahir daripada gambaran yang ada dalam minda. Gambaran dalam minda boleh diciptakan kita sendiri atau terkesan dengan gambaran yang wujud di luar kehidupan kita.Objektif hidup jelas disebut juga impian yang jelas. Ia adalah gambaran masa depan yang kita inginkan berlaku dalam diri. Ini bererti kta boleh merancang kejayaan kita.
No comments:
Post a Comment
Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan