Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w., daripada Abu Firas (Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami r.a.; beliau merupakan golongan Suffah yang tinggal di masjid Rasulullah s.a.w.) telah berkata:
“Pada suatu malam ketika aku bersama-sama Rasulullah s.a.w. menyediakan air wuduk dan keperluan Baginda yang lain seperti biasa, sekonyong-konyong Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Abu Firas pohonlah kepadaku! (sebarang hajat untuk aku minta kepada Allah Taala, moga diperkenankan).”
Aku menjawab: “Wahai Rasulullah, aku hanya memohon supaya menjadi temanmu di syurga nanti.” Rasulullah bertanya pula: “Apakah ada yang lain?” Maka aku menjawab: “Itu sahaja ya Rasulullah!” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: Hendaklah kamu memberatkan diri dengan memperbanyakkan sujud. (Riwayat Muslim)
Jelas melalui mafhum hadis di atas, Rasulullah s.a.w. telah memberi satu tip bagaimana untuk menjadi golongan yang duduk bersama-sama dengan Baginda di syurga nanti. Amalan tersebut iaitu berusaha memperbanyakkan sujud kepada Allah s.w.t.
Hal ini kerana amalan sujud akan mendekatkan kita kepada Allah s.w.t. Sebab itulah dalam sebuah hadis lain Nabi s.a.w. telah mengingatkan umatnya supaya berwaspada terhadap golongan yang mencuri dalam solat mereka. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Seburuk-buruk orang yang mencuri, ialah mencuri dalam solatnya.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah bagaimanakah ia boleh mencuri dalam solatnya?” Nabi s.a.w. menjawab: “Apabila ia tidak sempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Riwayat Ahmad, Thabrani, Ibnu Khuzaimah dan Hakim)
Sujud ialah rukun yang ketujuh dalam solat. Dari sudut istilahnya, ia merupakan gerakan berteleku dengan menundukkan kepala sehingga mencecah ke lantai iaitu dengan cara merapatkan dahi, kening, hidung, kedua-dua lutut, hujung dua kaki dan merenggangkan sedikit kedua-dua tangan ke lantai. Biasanya ia dilakukan sewaktu menunaikan ibadah sembahyang, sama ada sembahyang wajib atau sembahyang sunat.
Sesungguhnya sujud bukan sahaja gerakan yang bersifat ibadah semata-mata tetapi ia merupakan gerakan yang mengandungi falsafah tersendiri yang mampu membina kekuatan diri dan membentuk sahsiah Muslim, di antaranya:
1. Sujud sebagaimana yang kita ketahui ialah kedudukan terendah iaitu meletakkan dahi atau kepala kita ke tempat sujud. Kedudukan sujud seolah-olah meletakkan diri kita ke tahap yang paling rendah dan paling hina untuk menyembah diri kepada Tuhan yang Maha Tinggi.
Kepala bagi manusia ialah lambang kepada kemuliaan kerana di dalamnya terdapat akal. Akallah yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Apabila manusia diperintahkan supaya sujud kepada Allah, kemuliaan tersebut telah diletakkan pada kedudukan yang paling rendah supaya manusia insaf bahawa kebijaksanaannya tidak dapat mengatasi kebijaksanaan Tuhannya yang Maha Bijaksana. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan ingatlah ketika orang-orang kafir merancang tipu daya mereka untuk menahanmu, atau membunuhmu atau mengeluarkanmu, mereka merancang tipu daya mereka. Allah mempunyai tindakan terhadap tipu daya mereka itu, sesungguhnya perancangan Allahlah yang terbaik yang bertindak terhadap tipu daya mereka. (Al-Anfal: 30)
2. Kedudukan sujud juga merupakan klimaks kepada solat seorang hamba dan puncak daripada kehinaan diri. Sedar atau tidak, kita sebenarnya telah meletakkan deria anggota; penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa ke tempat yang paling hina iaitu tanah. Bukan itu sahaja, kita juga meletakkan deria hati dan akal bersama-sama dengan pancaindera tersebut supaya kita boleh berfikir dan mengamati sedalam-dalamnya makna di sebalik gerakan tersebut.
Tegasnya, hati dan akal seharusnya bijak menilai falsafahnya bahawa apabila wajah yang cantik diletakkan ke tempat sedemikian rupa, maka ia perlu sedar bahawa tanah itulah yang menjadi tempat kembalinya semula dan mengingatkan manusia bahawa saat kematian pasti akan menjelma.
3. Selain itu gerakan proses dari rukuk kemudian iktidal dan kemudiannya sujud ialah gerak memberi khidmat dan untuk menta’zim serta penghormatan diri seorang hamba di hadapan Allah s.w.t.. Proses ini tidak boleh diberikan kecuali kepada Allah s.w.t. sahaja. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami adalah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka akan tunduk sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan-nya, sedang mereka tidak menyombongkan diri. (As-Sajdah: 15)
Gerakan sujud ini juga mendidik manusia agar menghormati antara satu sama lain. Malah Islam juga menganjurkan penghormatan diberikan kepada orang yang lebih besar dan yang sewajarnya dihormati seperti yang diamalkan dalam budaya masyarakat Jepun.
Dalam hal ini, seorang anak wajar menghormati kedua-dua ibu bapanya, seorang pekerja perlulah menghormati ketuanya, begitu juga seorang isteri perlu menghormati suami. Dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Tirmizi, Nabi bersabda yang bermaksud:
“Jikalau sekiranya ada perintah supaya bersujud kepada seseorang, nescaya akan kusuruh isteri bersujud kepada suaminya.”
4. Sujud juga adalah suatu proses meditasi untuk membentuk ketenangan diri dan meraih khusyuk dalam solat. Proses ini dibentuk melalui muhasabah dan mencerap motivasi diri. Ia melibatkan proses menilai dan merenung kembali apa yang telah dilakukan oleh setiap hamba.
Setiap kali kita mengerjakan solat, ini bermakna kita telah sujud kepada Allah Taala sekurang-kurangnya 34 kali satu hari.
Lazimnya sujud dalam gerakan solat, minda harus terus menerus mengingati kebesaran Allah, menyesal dan bertaubat, terutamanya apabila melibatkan dosa derhaka terhadap perintah Allah s.w.t..
Sesungguhnya pada saat seorang hamba itu sujud, ia merupakan kedudukan yang paling hampir di sisi Allah s.w.t. Kita sangat digalakkan supaya berdoa di dalam sujud dan memohon segala hajat kepada Allah s.w.t. sesuai dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
Saat yang paling dekat seseorang hamba itu dengan Tuhannya ketika ia sujud, sebab itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa ketika sujud itu. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Bertitik tolak daripada itu, amalan sujud melalui gerak solat seharian kita sewajarnya dilakukan secara bersungguh-sungguh agar beroleh janji sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. Ia sesungguhnya dapat mendekatkan setiap diri Muslim kepada Allah, di samping mengoreksi diri melihat kekuatan dan kelemahan diri kita. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Ingatlah, janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya dan sebaliknya sujudlah kepada Allah dan dekatkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh. (Al-Alaq: 19)
No comments:
New comments are not allowed.