SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Saturday, December 19, 2009

Jom...Sertai Aman Palestin. Selamatkan GAZA


Friday, December 18, 2009

Menjengah amalan Sunnah di Bulan Muharram




Bulan Muharram kunjung tiba lagi. Tahun baru 1431 Hijriyah menjengah menandakan kita semakin dimamah usia, ajal semakin hampir dan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat juga semakin menghampiri kita.Kehadiran bulan Muharram tahun ini sebaiknya kita mengambil manfaat sebaik mungkin kerana bulan ini mempunyai banyak kelebihannya. Sebab itu terdapat golongan yang ghairah beramal dalam bulan ini. Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam beribadat dalam bulan ini. iaitu ;

1.Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan.
Dengan kata lain kita juga hendaklah melakukan hijrah. Hijrah di sini dengan maksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertakwa kepada bertakwa kepada Allah. Hijrah sebegini akan terus berkekalan sehingga hari kiamat.

Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Sambutan Ma’al Hijrah yang diadakan dengan penuh semangat dan pelbagai acara akan menjadi sia-sia dan tidak berfaedah sekiranya ia tidak disusuli dengan perubahan sikap dalam diri setiap individu muslim ke arah yang lebih baik.

2. Berpuasa Sunat.
Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah,Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”.(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)

Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunatpada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain. Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram.

Puasa ‘Asyura ini pada asalnya adalah wajib. Kemudian menjadi sunat setelah puasa Ramadan difardukan sebagaimana sabda rasulullah saw hadis riwayat Muawiyah ra berkata : aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. ( Imam al-Bukhari dan Muslim). Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan”.

Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab :”Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”.( Riwayat Imam Muslim).Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat puasa pada hari ‘Asyura ini hendaklah dilakukan bersama sehari sebelumnya iaitu dinamakan juga dengan hari Tasu’a (hari kesembilan).

Ini berdasarkan hadis hadis Ibn Abbas ra : “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa, mereka berkata:Wahai Rasulullah saw Sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Maka Nabi saw bersabda :”sekiranya aku masih hidup tahun hadapan, tentu aku akan berpuasa pada hari kesembilan”. ( Riwayat Imam Muslim)

Ada sebahagian golongan menyunatkan berpuasa pada hari 9,10,11 Muharram berdasarkan hadis Ibn Abbas : Hendaklah kamu perpuasa pada hari ‘Asyura dan hendaklah kamu menyalahi orang Yahudi padanya, berpuasalah sehari sebelum dan sehari selepasnya.Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Bayhaqi. Namun begitu hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mensyariatkan sesuatu amalan kerana hadis itu adalah da’if lagi mungkar seperti yang dikatakan oleh Imam al-syaukaniy dalam Nayl al-Awtar. Al-Albaniy juga menghukum hadis itu da’if.

Oleh itu kita boleh memilih sama ada hendak berpuasa hanya pada hari ‘Asyura atau hendak berpuasa dua hari berturutan iaitu pada hari Tasu’a dan ‘Asyura. Kedua-dua cara ini mempunyai sandaran dalil masing-masing daripada hadis yang sahih. Seseorang itu juga boleh berpuasa pada hari-hari dalam bulan ini tanpa ditetapkan hari tertentu berdasarkan umum hadis keutamaan bulan Muharram berbanding bulan-bulan yang lain.

3. Puasa Khas 1 Muharram dan Sembilan awal Muharram.
Walaupun bulan Muharram mempunyai banyak keutamaan, Namun diingatkan bahawa terdapat sangat banyak hadis tentang kelebihan beramal dalam bulam Muharram ini bertaraf palsu dan mungkar yang tidak boleh diamalkan sama sekali kerana sabda Rasulullah saw riwayat Imam al-Bukhari :” Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan bukan daripada perintah kami maka amalan itu tertolak( tidak diterima”).Selain daripada puasa yang disebutkan di atas tiada lagi puasa khas yang lain seperti puasa khas 1 Muharram atau puasa khas Sembilan hari awal Muharram. Amalan ini berdasarkan hadis palsu iaitu;

1) Nabi bersabda :” Barangsiapa yang berpuasa pada akhir Zulhijjah dan hari pertama Muharram maka tidak telah mengkhatamkan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya penghapus dosa selama lima puluh tahun. Hadis ini dikomentar oleh Ibn al-Jauziy sebagai palsu( al-Maudu’at).

2) Nabi bersabda :”Barangsiapa yang berpuasa sembilan hari dari awal maka Allah membina untuknya sebuah kubah yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu”.( palsu,lihat al-Maudu’at, al-Fawaid)Terdapat juga golongan yang menyunatkan amalan-amalan khas pada hari ‘Asyura seperti mandi, bersuci, solat khas malam ‘Asyura, memotong kuku, memakai wangian, memakai celak, menziarahi orang sakit, bersedekah, membuat bubur ‘Asyura dan banyak lagi amalan-amalan lain. Semua amalan tersebut dijanjikan dengan ganjaran-ganjaran yang tidak masuk akal. Amalan-amalan tersebut dihukum oleh ulama muhaqqiq sebagai bid’ah kerana tiada sandaran dalil yang sahih dari Rasulullah saw dan para sahabat ra. Bahkan upacara tersebut mencermin amalan Yahudi, Nasrani dan orang Quraisy zaman jahiliah dan perayaan Syiah Rafidhah sesudah kedatangan Islam.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ariy katanya :” Adalah penduduk Khaibar berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka menjadikannya sebagai hari raya serta mereka memakaikan wanita-wanita mereka dengan perhiasan dan pakaian yang cantik-cantik. Amalan-amalan di atas juga tidak pernah disunatkan oleh mana-mana imam empat mazhab.

4. Memasak Bubur ‘Asyura.
Memasak bubur ‘Asyura juga telah sinonim dengan bulan ini. Memasak bubur ini tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk menjamu sanak saudara dan orang ramai. Menjamu makan merupakan amal soleh dan menepati ajaran al-Quran dan sunnah. Ia jadi masalah bila ditetapkan hanya pada bulan Muharram, tidak boleh pada bulan yang lain. Lebih teruk lagi bila amalan ini disandaran kepada Rasulullah saw. Perkara ini merupakan satu pendustaan atas nama Nami Muhammad saw. Ada juga yang menyandarkannya kepada Nabi Nuh as. Semua kisah tersebut adalah cerita dongeng Bani Israil. Demikian ditegaskan oleh Imam Ibn Kathir ra dalam kitabnya Qashas al-Anbiya’.

5. Doa Awal Tahun
Berdoa merupakan satu ibadat dan perintah Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya aku mustajab untuk kamu”.( Surah Ghafir ayat 60)Begitu juga banyak hadis-hadis yang mendorong kita agar sentiasa berdoa. Sesiapa sahaja boleh berdoa pada awal Muharram dengan doa yang dikehendaki berdasarkan umum ayat al-Quran di atas. Mengadakan majlis khas dengan upacara khas dan dibaca doa khas pada awal tahun dan akhir tahun dengan anggapan akan dihapuskan dosa selama setahun perlukan dalil yang sahih daripada amalan Nabi saw atau para sahabat. Tapi ternyata tiada satu pun hadis Nabi saw atau atsar yang menunjukkan para sahabat mengamalkan doa khas Muharram. Mustahil akan ada hadis Nabi saw dalam perkara ini memandangkan penetapan tahun Hijriyyah ini ditentukan oleh Amir al-Mukminin Sayidina Umar bin al-Khattab ra iaitu setelah lama kewafatan Rasulullah saw.
Kesimpulannya, kita hendaklah berhati-hati dalam mengamalkan sesuatu amalan agar amalan kita sentiasa menepati sunnah Rasulullah saw. Beramal dengan hadis palsu dan hadis yang tidak sahih mengakibatkan amalan kita tidak diterima oleh Allah SWT. Alangkah beruntungnya seseorang yang kembali ke akhirat dalam keadaan amalannya yang diterima oleh Allah SWT dan alangkah malangnya seseorang yang mengadap Allah SWT, tiba-tiba mendapati amalannya ditolak.

Sebaiknya amalan yang dilakukan hendaklah dengan ilmu , kerana tanpa ilmu akan sia-sialah amalan. Semoga ditetapkan iman dimurahkan rezki selamat tahun baru hijrah 1431.

Rujukan utama : Kesempurnaan Ibadat Puasa ; Drs Abdul Ghani Azmi Hj Idris

Saturday, December 12, 2009

Selamat Bercuti

Pihak admin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan pelawat mypqs. Untuk makluman blog mypqs telah menambah admin baru untuk menjadikan ia benafas baru dengan admin ketiganya iaitu Wan Abdul Hamiluddin. Semoga blog ini semakin ceria dan bernafas baru. Terima kasih semua.

Wednesday, December 02, 2009

Kelebihan berdoa yang ma'thur

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن العَجْزِ وَالكَسَلِ وَالجُبْنِ وَالهَرَمِ وَالبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالمَمَاتِ. وَفِي رِوَايَةٍ: وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ. (رواه مسلم)
Dri Anas bin Malik beliau berkata rasulullah s.a.w bersabda; Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dari sifat lemah dan malas, dan aku berlindung dariMu dari sifat bakhil dan pengecut, dan aku berlindung dari azab kubur dan fitnah semasa hidup dan sesudah mati. pada riwayat yang lain Lindungilah dari beban hutang dan penindasan manusia. Riwayat Muslim.

Pada riwayat lain Sa'id al-Khudri RA meriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW memasuki masjid dan menjumpai seorang Ansar yang bernama Abu Umamah.

Rasulullah berkata: "Ya Abu Umamah, mengapa anda berada di Masjid diluar waktu shalat?" Abu Umamah menjawab, "kegelisahan dan beban hutang menghantui saya." Rasulullah lalu bertanya: "Bukankah sudah aku ajarkan do'a yg jika engkau lafazkan Allah akan menghilangkan kegelisahan dan beban hutangmu?" Dia kembali menjawab, "betul, ya Rasulullah". Rasulullah lalu berkata: "lafazkanlah do'a ketika engkau bangun dari tidurmu dipagi hari dan pada malam hari sebelum tidur:

'Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari rasa gelisah dan sedih, dan aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan,dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat kikir dan pengecut, dan aku berlindung kepada-Mu dari lilitan hutang dan penindasan manusia". Abu Umamah dikemudian hari menjawab: "saya telah melakukan yg Rasulullah ajarkan dan Allah menghilangkan kegelisahan dan beban hutangku". (Abu Dawud).

Begitu nikmat dan khusyuknya sebuah dialog diatas. Lebih-lebih lagi dialog ini adalah antara Rasulullah SAW terhadap salah seorang sahabatnya. Tentulah banyak makna dan hikmah yang terkandung didalamnya, seperti misalnya: Ajakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT (dengan datang ke masjid) ketika dalam keadaan risau; tarbiyyah ukhuwah Islamiyah yang terjalin dengan baik dengan terciptanya suasana takaful, yaitu perasaan senasib dan sepenanggungan; semangat saling menasihati dalam kebaikan dan kesabaran; dan kekuatan sebuah do'a yang berpedoman pada hasbunallah wani'mal wakil.

Hadis di atas mengajak kita untuk selalu berzikir secara khusyuk dengan pemahaman yang dalam. Bahkan agar seimbang disunnahkan membacanya dua kali, pagi dan malam hari. Ini merupakan method tarbiyyah ruhiyyah yang sangat berkesan jika dilakukan dengan sepenuh jiwa, dan ditujukan bagi mereka yang mahu berfikir. Jika tidak, akan sia-sialah doa seseorang.

Dengan melafazkan doa diatas secara khusyuk di waktu pagi hari, seorang muslim seharusnya akan bersemangat untuk menjadi yang terbaik dalam urusan sehariannya.

Diantara kekuatan-kekuatan doa yang diungkapkan dalan hadis Rasulullah di atas terhadap kelangsungan hidup manusia ialah;

i- Kita akan menghadapi hidup dan jauh dari kegelisahan dan kesedihan dengan berjuang melawan hawa nafsunya dan menjalani tuntunan ibadah secara benar. Dengan melawan hawa nafsu dan beribadah secara konsisten, ia menjadi lebih mantap menghadapi hari-harinya. Dengan mendekatkan dirinya kepada al-Qur'an, maka al-Qur'an akan dijadikan pedoman dan rujukannya setiap sa'at. Ia akan menjadikan kata-kata "tawakal" dan "sabar" sebagai "words of the day".

ii- Kita juga akan menghindarkan diri dari perasaan lemah dan malas.

Manusia yang sentiasa berdoa akan berusaha menjadi profesional dan sentiasa berperaturan dalam setiap urusan, pandai menjaga waktu dengan membuang jauh-jauh sifat malas. Ia akan berusaha menjaga stamina tubuhnya agar tetap sihat dan tidak lemah, tidak mudah sakit, tidak berdaya ketika bekerja. Ia akan menyedari bahawa kemalasan akan timbul di dalam tubuh yang lemah.

iii- Kita akan sentiasa menjauhi sifat bakhil dan pengecut dengan menjadi muslim yang pemurah dan senang berzakat. Ia menjadi orang yang tidak akan takut miskin dengan berinfaq. Ia akan memahami maksud sebuah hadis Rasulullah bahwa "sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain."

iv- Kita akan membebaskan diri dari segala beban hutang dan penindasan orang lain. Berwaspada mengatur kewangan yang dimilikinya. Hidup sederhana menjadi pola hidupnya. Menjauhi amalan Biar Papa Asal Bergaya. Kemewahan dengan menambahkan beban hutang adalah sesuatu yang patut dijauhi. Banyak ayat-ayat Al Qu'ran dan sunnah mengungkapkan betapa tinggi keutamaan mencari nafkah.

Ketika malam tiba, kita disunnahkan untuk melafazkan kembali doa tersebut dengan penuh khusuk. Seorang muslim akan sedar dengan kekurangan dirinya ketika ia bertafakur. Ia sadar dirinya adalah al-insan yang mudah lalai, khilaf, dan mudah berbuat salah. Maka ia bermunajat memohon ampunan Allah serta mengharapkan petunjuk-Nya.

Semoga kta akan terus berdoa,berzikir dan mengharap pada Yang Esa. Allah tidak pernah jemu mendengar doa hambanya meminta kepadaNya. Kalau manusia sebahagiannya akan membenci sahabatnya yang selalu meminta-minta kepadanya akan tetapi Allah amat suka hambanya sentiasa meminta dan berharap kepadanya. berdoalah sesungguhnya Allah akan perkenankan doamu. Cuma ketika dan waktu diperkenankan itu adalah atas ilmuNya.

Wednesday, November 25, 2009


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Kullu aam wa antum bikhair

Saturday, October 17, 2009

Musim sudah berubah

Ini yang akan kita saksikan mudah-mudahan dimurahkan rezki dipanjangkan umur dilimpahkan kesihatan. Besyukurlah dengan nikmat yang jauh bezanya musim haji 1953 kebanyakan kita belum lahir lagi.




Betapa mujahadah orang terdahulu lebih tinggi berbanding orang sekarang.










Wednesday, September 30, 2009

Berakhlak baik terhadap Isteri

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya”. (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:326 ).
Dalam hadis yang lain daripada ibn Abbas r.a baginda bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku”. (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:325).
Di dalam kedua-dua hadis di atas baginda SAW menegaskan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya, ini kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain.
Adakah dikira sudah menunaikan tanggungjawab kalau suami hanya memberikan wang kepada isterinya sedangkan tidak bergaul dengan baik dan tiada kemesraan dan asyik mencari kesalahan dan keburukan isteri semata-mata?
Islam sentiasa menyuruh umatnya berbuat kebaikan. Ini termasuklah dalam perhubungan dan pergaulan suami dan isteri.
Maksud bergaul baik dalam syariah Islam adalah diambil daripada perintah Allah SWT di dalam al-Quran, firman yang bermaksud: … dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…(al-Nisa’: 19).
Al-Quran melalui perintah mahukan setiap suami bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan cara yang baik atau makruf.
Di dalam meneladani kehendak ayat ini ahli tafsir mengemukakan beberapa pandangan melalui pengamatan masing-masing.
Di antara mereka ialah Ibn Kathir. Beliau berpendapat bahawa ayat ini, “… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…” bermaksud: para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466).
~ Al-Zamakhsyariy dan Fakhruddin al-Raziy berpendapat: “bermalam dengan isteri (memenuhi hak-hak batin bagi si isteri) melangsaikan nafkah dan bercakap baik dengan mereka”. (al-Zamakhsyariy, jld:1,hlm:490, Fakhruddin al-Raziy, jld:10,hlm:12).
~ Al-Jashsas dalam tafsirnya berpendapat: “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para suami supaya bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan baik, perkara yang baik itu ialah menunaikan hak-hak seorang isteri dengan membayar mas kahwinnya serta nafkah dan pemberian antara isteri-isteri (jika lebih dari seorang), juga tidak menyakiti isteri dengan bahasa yang kesat dan kasar serta ditegah dari memalingkan wajah dari si isteri”. (al-jashsas, Ahkam al-Quran, jld: 2, hlm: 109).
~Tafsir Muhammad Rasyid Reda menarik dalam huraian ayat ini, beliau menjelaskan bahawa: “Wajib ke atas kamu wahai orang-orang yang beriman supaya berbuat baik dengan isteri-isteri kamu dalam pergaulan, dengan menjadikan persahabatan kamu serta pergaulan kamu dengan mereka dengan cara yang baik sesuai dengan dengan tabiat mereka sebagai wanita.
“Pergaulan itu mestilah yang tidak ditegah oleh syarak dan adat dan tidak bertentangan dengan maruah seseorang. Adapun menyempitkan pemberian nafkah (bersikap kedekut/ berkira dalam nafkah) serta menyakiti mereka dengan perkataan dan perbuatan, semua itu adalah bertentangan dengan bergaul baik dengan isteri dan bertentangan dengan al-Quran.
“Sesungguhnya setiap seorang dari pasangan suami isteri ialah membawa kegembiraan dan kebahagiaan”. (Muhammad Rasyid Reda, Tafsir al-Manar, jld:4,hlm:456).
Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah wajib. Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa.
Jika seorang suami dengan isterinya baik maka dia juga baik dengan orang lain, dan sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya maka dia juga akan bersikap hodoh dengan orang lain.
Di antara perkara yang dapat membantu suami menjadi baik dengan isterinya mesti memiliki kemahiran-kemahiran berikut.
Pertama: Mengenal tabiat wanita; ini kerana Allah SWT menjadi Adam dan hawa dengan tabiat fizikal yang berbeza. Berbeza dari sudut perasaan dan emosinya. Orang lelaki tabiatnya kasar, orang perempuan tabiatnya lembut.
Baginda SAW telah banyak berpesan kepada kaum lelaki supaya berlemah-lembut dan berhemah dalam mendidik dan menjaga mereka.
Kedua, mengenang kebaikannya. Kalau diadili dengan penuh kewarasan setiap orang suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuk suami ialah isteri.
Walaupun isteri mempunyai kesilapan dan kesalahan itu kerana emosinya dan hormonnya yang kadang-kadang tidak stabil, ini tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.
Saya yakin bahawa isteri banyak sumbangannya kepada suami oleh itu fikir-fikirkan ketika mereka melakukan kesalahan atau kesilapan.
Sesungguhnya manusia tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Tutuplah kesalahannya dengan kebaikannya.
Ketiga, menutup keaibannya; tiada yang sempurna. Allah SWT menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain.
Jangan diaibkan isteri kepada sesiapa pun, walaupun kepada saudara dan sahabat handainya. Keaiban isteri juga cermin bagi suami, apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri.
Keempat, kemungkinan kebaikan ada pada isteri yang dibencinya; jangan dibenci atau dicaci mungkin isteri yang dibenci oleh si suami itu ada kebaikan padanya, yang lambat laun pasti akan zahir.
Kelima, mengenal kedudukan isteri di rumah. Dalam banyak keadaan si isteri tinggal di rumah, adakalanya selepas berumahtangga ada di kalangan isteri yang tiada lagi baginya kehidupan bersosial, kerana suami dan anak-anaklah segala-galanya.
Berlaku adillah kepada isteri-isteri yang berada di bawah jagaan kita supaya amanah Allah SWT tidak terabai.

Tuesday, September 29, 2009

Saturday, September 12, 2009

Result Poll

Ini adalah keputusan poll yang dibuat dalam tempoh sebulan yang lalu pada persoalan perlukah Kerajaan mengkaji semula keputusan menetapkan hanya 10 matapelajaran sahaja untuk pelajar sains agama dalam SPM

Setuju 49 (71%)

Kurang setuju 9 (13%)

Tidak setuju 15 (21%)

Tak tahu pun 3 (4%)



Votes so far: 69
Poll closed

Pengunjung mejoriti mahu ia dikaji semula

Thursday, September 10, 2009

Kisah Farhan: Anak Paderi memeluk Islam

Nama saya Farhan Bin Abdullah. Nama asal saya sewaktu beragama Kristian
ialah Johanis. Saya dilahirkan di bumi Sabah dalam keluarga Kristian. Bapa
saya seorang KETUA PADERI yang menjaga 15 buah gereja di satu kawasan di
Sabah ...

Saya dilatih oleh bapa saya untuk menjadi seorang paderi.. Sejak mula PBS kami mendapat sokongan penuh negeri! kumpulan saya masuk ke kampung dalam berbagai program. Selalunya program khidmat masyarakat. Pihak gereja selalunya membekalkan wang tunai sekitar RM50,000!!!

Berbagai aturcara dibuat untuk membantu orang kampong. Kami ziarah rumah ke rumah.Tanya masalah mereka dan bantu mereka. Berbagai masalah diluahkan. Ada kami bantu dengan duit secara spontan. Ada kami hantar keperluan harian, pakaian dan buku sekolah dan sebagainya.

Dengan cara ini kami mendekati mereka. Hasilnya dengan beberapa kali kunjungan susulan, kami berjaya mengkristiankan mereka. Paling berbaloi kami mengkristian
remaja Islam, tambah berbaloi dari kalangan intelek. Hasilnya kami dapat RM3,000 setiap seorang Islam yang dimurtadkan! Bayangkan pendapatan saya ketika masih dialam Persekolahan. Sewaktu Tingkatan 3 saya dan beberapa rakan mengambil m/pelajaran Agama Islam yang boleh dipilih dengan lukisan(betapa hinanya m/pelajaran ini setanding dengan lukisan). Saya mendapat A-3. Sewaktu tingkatan 4 saya belajar di sekolah asrama penuh. Saya terus ambil pelajaran Agama Islam.

Tujuan saya untuk tahu mengenai Islam dan memudahkan saya menyebarkan agama
kristian. Saya mempunyai beberapa soalan yang saya kira tidak mampu dihuraikan oleh orang Islam.

Pada suatu hari sewaktu tingkatan Enam bawah, saya bersemuka dengan Ustaz yang mengajar saya(saya panggil cikgu). "cikgu saya ada beberapa soalan, tapi saya rasa tak sesuai dikelas ini, boleh ke saya ke rumah cikgu..." Ustaz itu bersedia. Lalu saya bersama beberapa rakan ke rumah ustaz itu.

Saya katakan "cikgu saya mahu berdialog secara ilmiah, bukan atas nama Islam, agama cikgu dan bukan atas nama Kristian,agama saya". saya kemukakan beberapa persoalan, antaranya;-

1- Mengapa orang Islam sembah Kaabah

2-Sebenarnya semua agama sama sahaja. Nasrani, Yahudi, Kristian dan Islam adalah agama langit.

3-Mengapa diakhir zaman, Nabi Isa akan turun bersama Iman Mahadi membebaskan kezaliman dan kekacauan dan bukannya Nabi Muhammad.

4-Mengapa dalam sejarah dan hingga kini orang Islam suka peperangan.

5-Injil sekarang dikatakan diseleweng. Kalau begitu mana yang asalnya.

Yang menghairankan ustaz ini dapat menjawab pertanyaan saya dan kawan-kawan dengan begitu ilmiah. Saya dan kawan-kawan mati akal.Kemudian saya dibebani dengan 3 persoalan yang tidak mampu saya menjawab secara tepat.

- Apakah boleh manusia(paderi) mengampunkan dosa manusia lain. -
Persoalan ketuhanan 3 dalam 1 dan 1 dalam 3 - konsep ketuhanan Jesus.
Saya mengatur pertemuan ustaz saya dengan beberapa orang paderi, kawan-kawan bapa saya. tetapi mereka enggan. Lalu saya bawa ustaz itu ke rumah saya dan bertemu bapa saya seorang ketua paderi. Ternyata bapa saya juga tidak mampu menjawab persoalan yang dibawa oleh ustaz itu.

Sebaik ustaz itu pulang, bapa saya memarahi saya kerana bawa 'orang malaya' datang ke rumah.

Sejak itu beberapa kali saya tidur rumah ustaz itu. Disamping mengulangkaji saya gemar berdialog dengan ustaz itu. saya memerhatikan
kehidupan ustaz tu, saya mengagumi cara hidupnya.

Suatu malam saya bermimpi didatangi 3 orang berjubah.. Seorang berjubah hitam membawa salib. Seorang berjubah putih membawa bendera bertulisan jawi. Dan seorang berjubah hijau yang meminta saya membuat pilihan.

Yang berjubah hitam dan berjubah putih saling menarik saya mengikuti mereka. Saya meronta-ronta. Disamping itu saya dapati yang berjubah hitam semakin tengelam dan yang berjubah putih semakin tinggi. Sedang saya meronta-ronta, saya terjaga.

Saya mendengar suara azan dan ustaz tadi berada ditepi saya dan berkata,
"mengapa Johanis....awak mengigau...."

Saya pegang tangan ustaz itu, saya katakan,"Cikgu Islamkan saya.........
."..Ustaz itu minta saya bersabar untuk dia uruskan dengan pihak tertentu.
Tidak lama selepas itu saya pun di Islamkan oleh Ustaz itu.

Selesai pengIslaman saya, saya pulang ke rumah. Sampai di rumah, saya lihat
pakaian saya bertabur diluar rumah. Rupanya bapa saya telah tahu!

Sebaik melihat saya, bapa bergegas masuk dan keluar semula dengan mengacu
senapang ke arah saya. Tiba-tiba emak menerkam dan peluru senapang meletup
keatas.

Saya segera meninggalkan rumah sehelai sepinggang.. Tinggalkan keluarga
saya. Tinggalkan sekolah. Saya bersembunyi sekejap rumah ustaz sebelum saya
dibawa oleh
ustaz pulang ke semenanjung sebaik habis kontrak mengajar di Sabah .

Saya diserahkan kepada PERKIM di Kuala Lumpur . Secara kebetulan rakan saya
Nazri,vokalis kumpulan Raihan juga memeluk Islam, tetapi mengikuti kumpulan
Ar-Arqam. 2 lagu dalam album pertama kumpulan Raihan adalah saduran lagu
koir yang kami nyanyikan dalam gereja sewaktu di Sabah dulu...

6 tahun saya di PERKIM. Saya masuk pula Maahad Tahfiz. Alhamdulillah! Saya
dapat sijil Al-Hafiz selepas 3 tahun. Kemudian saya bekerja dengan Jabatan
Agama Islam.. Saya banyak masuk kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan
Pahang.

Tak sampai setahun saya letak jawatan. Saya sedih kerana ramai pendakwah
ini nak berdakwah pun merungut duit over time. Saya rasa tiada keiklasan..
Biarlah saya jadi pendakwah bebas.

Saya ingin membilas dosa lalu. Saya telah ramai memurtadkan orang.....kini
saya mahu berjuang untuk mengIslamkan seramai mungkin dengan Kualiti bukan
Kuantiti saja!

Berbalik kisah keluarga saya.. Selepas meninggalkan rumah dan belajar di
PERKIM saya selalu telefon ayah, emak dan adik beradik saya. Saya katakan
jangan bencikan saya. Saya sayang ayah. saya sayang emak. saya sayang adik
beradik saya. Ayah dan emak tetap ayah emak saya dunia dan akhirat...

Walaupun ayah menyambut dingin suara saya, saya hantarkan buku-buku yang
sesuai menerangkan tentang Islam. 7 tahun saya telefon. 7 tahun saya hantar
surat dan buku-buku. saya menangis kerana rindukan ayah, emak dan adik
beradik. Akhirnya, sewaktu saya di Maahad Tahfiz, bagaikan halilintar saya
mendapat berita...... .. Ayah saya menganut Agama Islam!

Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya menangis dan menangis.Saya ambil wuduk dan sujud syukur. Air mata saya menjadi terlalu murah....saya terus menangis....saya pejamkan mata...saya bayangkan ayah dihadapan... saya peluk erat tubuh ayah dan kami menangis bersama........Ya Allah betapa agungnya kekuasaanMu.

Peristiwa yang saya alami sewaktu memeluk Islam turut dirasai oleh ayah saya. Dia dihalau dari rumah yang diberi oleh pihak gereja.

Kini saya pendakwah bebas. Saya sedih melihat umat Islam hari ini berpecah. Kita berpecah kerana kita meninggalkan Quran dan Sunnah Rasul. Kita ambil sebahagian dan kita tinggalkan sebahagian. Kita ambil contoh pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas.. Mengapa kita cari jalan nak menentang pelaksanaanya? Sepatutnya kita cari jalan supaya dapat dilaksanakan. Inilah sikap umat Islam.

Saya pernah berdialog dengan beberapa orang pensyarah universiti tentan isu Hudud & Qisas. Dia boleh sergah saya, "You apa tahu... Islampun baru setahun jagung......"

Saya sedih dengan sergahan pensyarah itu. Kalau ini sikap pendakwah........Saya tak akan masuk Islam. Tapi saya pilih Islam kerana saya tahu Apa itu Islam!!! Kerana itu saya ajak menghayati Islam.

Saya kumpulkan semula kawan-kawan masa Kristian dulu. Saya berdialog tentang Islam. Saya kumpulkan derma untuk tujuan dakwah ini, untuk bergerak perlukan wang. Saya diancam oleh puak Kristian. saya juga diancam oleh umat Islam!!!

Apa tauliah awak , mana kebenaran Jabatan Agama, mana permit polis, sapa benarkan pungut derma dll. Saya tak gentar berdialog dengan puak Kristian, kerana saya ada pengalaman tapi sukarnya bila Umat Islam sendiri menyulitkan saya.

Marilah kita awasi dakyah Kristian. Satu usaha yang agak ketara ialah Di IPT. Pendakyah ini mendekati kaum muslimah, pura-pura belajar Islam.....jatuh cinta...lalu dimurtadkan.

Saya sudah pergi banyak IPT. Saya paling bimbang di Universiti Putra Malaysia (UPM) !!! Itulah satu-satunya Universiti yang ada gereja. Gereja ini antara yang aktif untuk memurtadkan orang Islam!!!

Saya nak nasihatkan kalau ada saudara kita terminum 'Holly Water'.Sebenarnya air ini dibuat di Vatican City . Dijampi oleh paderi termasuk Pope John Paul. KALAU TERMINUM, cari air kolah dari 3 masjid. Baca Al-Fatihah 1x, Yasin 1x, 3 Qul 1x, dan
Selawat. Ambil sebahagian buat minum dan sebahagian buat mandi. InsyaAllah mereka akan sedar dan dapat diselamatkan. insyaAllah!! !

Diterima dari sumber email wanabdul

Pemikiran Skeptik Yang Membahayakan Umat

Semoga Allah memberi berkat dan ganjaran kebaikan di atas urusan kerja harian di bulan Ramadhan ini .Ada kalangan mereka yang tidak faham berkata puasa menjadikan kita tidak produktif,lemah dan malas. Balik awal nak untuk persiapan berbuka puasa.
Buktikanlah Ramadhan ini, anda produktif, dinamik, aktif bekerja, dan tidak terjejas untuk buat apa sahaja. Semoga bersama-sama memperoleh berkat Ramadhan. Bersemangat, bekerja dan beribadah di dalam Ramadhan dan semoga ia menjadi bench mark kekuatan iman kita selepas itu. InsyaALLAH….

Habib Bourguiba

“Kenapa dia berkata begitu? Dia tak faham al-Quran dan Sunnah ke?” seorang hadirin ceramah mengkritik.
“Apa dia tidak baca sirah? Buta sejarah?” tambah seorang lagi.
Semua naik angin.Marah dengan Habib Bourguiba.

Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987.Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Atartuk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.

Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia , berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.
Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!

SINIS AGAMA

Pandangan Habib Bourguiba itu, jika mahu dikategorikan, ia termasuk di dalam apa yang dinamakan sebagai Religious Skepticism. Pemikiran skeptik atau sinis terhadap agama ini berperingkat.

Ada sinis yang merujuk kepada beberapa aspek di dalam ajaran agama.Seseorang itu mungkin sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah. Atau hukum menutup aurat. Mungkin juga soal harta pusaka yang dibahagikan dua bahagian kepada pewaris yang lelaki dan satu bahagian kepada pewaris yang perempuan.

Ada juga pemikiran skeptik, ditujukan kepada institusi agama. Misalnya, anti ‘orang masjid’, mungkin juga kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dan lain-lain. Tidak lupa dengan alergi mereka kepada parti politik Islam, atau badan-badan yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.

Peringkat ketiga pula, ialah pemikiran skeptik terhadap keseluruhan ajaran agama. Mereka tidak semestinya anti Tuhan atau atheist namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.

Walau apa pun bentuk Religious Skepticism yang muncul, kesemuanya adalah tindak balas (response). Apabila diertikan sebagai tindak balas, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut. Ia bukan asal, tetapi ia adalah tindak balas kepada sesuatu yang telah mengambil tempat terlebih dahulu.

Terkini, ASTRO mendedikasikan saluran 110 sebagai tribute kepada Allahyarham Yasmin Ahmad dengan menyiarkan koleksi filem terbitan atau arahan beliau seperti Sepet dan Gubra.

Jika kita menonton dengan teliti sebarisan filemnya bermula daripada Rabun, kepada Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan terkini Talentime, ada sesuatu yang konsisten di dalam semua sentuhan karya Yasmin Ahmad. Selain sentuhan kreatif yang unik, filem-filem Yasmin Ahmad konsisten dengan tema atau elemen Religious Skepticism. Penonjolan babak imam yang mesra dengan jiran-jirannya yang pelacur di dalam filem Gubra, hubungan cinta antara seorang gadis Melayu dengan anak muda Cina, malah anjing yang dibelai mesra oleh bilal masjid, semua itu adalah simbol dalam menterjemahkan apa yang dinamakan sebagai pemikiran skeptik terhadap agama.

Oleh kerana Religious Skepticism semakin berleluasa mendominasi pemikiran masyarakat khususnya di dalam kelompok urban, maka hasil karya Yasmin Ahmad semacam menjadi jurucakap untuk meluahkan pandangan ini yang sejak sekian lama tidak mudah untuk diketengahkan ke perhatian massa. Yasmin Ahmad menerima penghormatan dan pengiktirafan yang sungguh luar biasa.

Jika kita bersetuju bahawa Religious Skepticism itu ialah satu bentuk tindak balas, maka datang soalan kedua; pemikiranReligious Skepticism yang ada pada Yasmin Ahmad datangnya sebagai tindak balas kepada apa? Apakah pengalaman yang telah ditempuh oleh graduan Ijazah Psikologi daripada England ini?

Saya tidak mempunyai sebarang penjelasan kerana saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Namun mungkin beliau menempuh episod hidup yang penuh dengan peristiwa berbentuk penilaian, hukuman, malah mungkin sindiran dan cemuhan yang menggalakkan skepticism itu semakin meruncing.

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Yasmin Ahmad, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. AdakahReligious Skepticism itu bulat-bulat ditujukan ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

SISTERS IN ISLAM
Zainah Anwar, teraju utama Sisters in Islam

Satu lagi topik yang berkait rapat dengan Religious Skepticism ialah sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Sisters in Islam SIS). Pertubuhan ini mempunyai peranan yang signifikan dalam memperjuangan beberapa aspek bersangkutan hal kebajikan kaum wanita Muslim dan ia tidak boleh dinafikan. Kelancaran proses mahkamah yang mesti diperkemaskan agar wanita Muslim tidak menderita digantung tidak bertali, adalah di antara subjek yang banyak disentuh oleh sukarelawan SIS yang amat komited.

Namun, ada sesuatu yang juga konsisten dalam pemikiran dan ucapan tokoh-tokoh utamanya. Elemen yang saya maksudkan itu ialah Religious Skepticism. Keketaraannya lebih terasa dalam aspek sinis mereka kepada institusi agama yang dilihat tidak bertindak wajar dalam hal kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan kaum wanita Muslim di negara kita.

Mendesak agar al-Quran ditafsir semula, bukanlah suatu isu baru. Tetapi mendesaknya dengan alasan ahli-ahli Tafsir dahulu semuanya lelaki, lalu hukum yang keluar bersifat male chauvanist, adalah suatu manifestasi kepada Religious Skepticism. Rramai sukarelawan yang terbabit di dalam gerakan-gerakan pembelaan wanita seperti Sisters in Islam, membawa mesej yang boleh digunapakai untuk memperbaiki banyak aspek perlaksanaan Islam, tetapi mencetus banyak kontroversi kerana ia diperjuangkan secara sinis atau skeptik.

Sedikit sebanyak pemikiran yang bersarang dengan prejudis kepada lelaki dan institusi agama ini mungkin berpunca daripada pengalaman diri sukarelawan tersebut berkaitan dengan lelaki. Menyaksikan bapa mendera ibu yang diperhambakan dalam sebuah perkahwinan.

Melihat penindasan yang berlaku ke atas janda yang tergantung hidup oleh suami yang enggan mentalakkannya, tetapi terus menerus mendera emosi dan mungkin fizikal isteri. Menjadi mangsa kejahatan lelaki. Atau terus menerus dihentam golongan yang tidak bersetuju, kebetulannya mereka itu adalah ustaz, mufti, ulama, yang semuanya adalah lelaki.

Religious Skepticism adalah reaksi. Ada sesuatu yang berlaku sebelum pemikiran skeptik itu menguasai. Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Sisters in Islam, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat dibebankan ke atas mereka, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri. Sesuatu yang perlu difikirkan.


BENJAMIN STEPHEN

Anak muda ini adalah bekas pelajar sebuah sekolah agama terkemuka di negeri Perak.
Bukan sedikit ilmu agamanya. Tetapi hari ini, anak Perak yang dahulunya dikenali sebagai Badrul Hisyam, telah murtad dan menjadi pendakyah Kristian.

Apabila saya mendengar ceramah-ceramah yang beliau sampaikan di gereja dan di khalayak Kristian, saya mengesan sesuatu yang amat konsisten di dalam ceramah beliau. Ceramahnya tidak ilmiah dan tidak membantu Kristian memahami Bible. Sebaliknya, hampir keseluruhan ceramah beliau berbahasa skeptik dan sentiasa sinis serta menyindir serba serbi yang berkaitan dengan Islam dan Muslim. Malah ibu bapanya sendiri turut disindir dan diejek.

Tatkala bertanyakan kepada pelajar-pelajar sekolah beliau yang mengenalinya, anak muda ini yang berpewatakan lembut di sekolah sering diejek, dikutuk atau dalam bahasa rasminya dibuli, di sepanjang pengalamannya di sekolah. Pengalaman seperti ini sangat berpotensi untuk membentuk satu pola pemikiran memberontak yang luar biasa.

Akhirnya Badrul Hisyam dengan sinis dan skeptik beliau terhadap semua yang dialaminya tentang Islam dan Muslim, beliau murtad. Sesuatu yang mungkin tidak disangka oleh senior yang pernah membulinya!

Semasa mendengar ceramah beliau, saya terfikir, adakah Benjamin Stephen ini mengkritik Islam, atau mengkritik Sekolah Menengah Agamanya?

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Benjamin Stephen, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism yang luar biasa itu ditujukan segala-galanya ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.

KASSIM AHMAD

Sekiranya anda berkesempatan membaca buku mutakhir Kassim Ahmad bertajuk MENCARI JALAN PULANG, anda akan melihat adanya unsur yang sama di sebalik pemikiran beliau. Sama ada ia berkaitan dengan Parti Sosialis pimpinannya, atau pun pemikiran yang dilabel sebagai anti Hadith.

Kassim Ahmad tidak sama sekali menafikan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alaihi wa sallam.Tetapi beliau mengkritik sistem ilmu Hadith khususnya berkaitan dengan kredibiliti perawinya.

Di manakah kritikan itu bermula?

Berasal daripada kekecewaan Kassim Ahmad terhadap pemikiran dan sikap orang-orang agama yang ditemui di usia mudanya, ia berkembang kepada mempertikaikan institusi Ulama’ dan seterusnya hingga kepada pada perawi yang kesahihan Hadith banyak bergantung kepada kredibiliti perawi-perawi ini.

Ya!!Religious Skepticism yang ringan-ringan boleh berkembang menjadi satu pola pemikiran yang amat rumit dan membingungkan.

Jika kita tidak berpuas hati dengan mesej-mesej Kassim Ahmad, mari berjiwa besar untuk berani menyoal diri. Adakah Religious Skepticism itu bulat-bulat ditujukan ke atas beliau, atau ada sesuatu yang mendominasi kecenderungan masyarakat kita hingga menggalakkan pemikiran seperti itu? Sebahagian jari yang menunding, mungkin perlu balik kepada diri.


PUNCA PEMIKIRAN SKEPTIK TERHADAP AGAMA

Tidak dinafikan, manusia akan membentuk set of values mereka hasil pengalaman hidup dan pendedahan yang dialami. Kesan daripada pelbagai kejadian yang ditempuh oleh setiap kita dalam kehidupan, banyak mempengaruhi pertimbangan kita dalam menilai apa yang baik dan apa yang buruk.

Oleh kerana itu, Islam datang untuk meluruskan nilai ini agar manusia tidak terhoyong hayang di sepanjang tempat dan zaman dalam menentukan apa yang baik serta apa yang buruk tentang hidup ini semata-mata berbekalkan pengalaman diri. Jalan yang lurus (Sirat Mustaqim), diungkapkan berkali-kali dalam sehari semasa kita bersolat kerana jalan yang lurus itulah penentu kepada kedudukan masing-masing. Sejauh mana kita selari dengannya, atau sudah sejauh manakah kita terpesong dari landasan asal.

Namun, manusia akan mengalami krisis terhadap agama apabila mereka berdepan dengan suasana realiti yang terlalu jauh daripada apa yang dilakarkan oleh idea dan nas. Penghormatan adalah sesuatu yang terhasil daripada kualiti. Tatkala pendukung agama yang mewakili suara agama mengalami kemerosotan kualiti, rasa hormat itu mula terhakis. Tatkala hakisan itu berlaku, agamawan dan institusi agama terus kekal dengan grandiose attitude yang menambahkan rasa meluat serta benci kelompok yang tidak gentar dengan mereka.

Sebagaimana gereja hilang tempat daripada masyarakat akibat grandiose attitude itu, ia juga sedikit demi sedikit menimpa umat Islam. Rasa jelek dan meluat sekelompok masyarakat melihat sesetengah agamawan yang sombong dalam mempertahankan hujah-hujah ‘tidak masuk akal’ mereka, menambahkan kerumitan kepada berleluasanya pemikiran skeptik terhadap agama ini.

Misalnya, temuramah Gala TV di Astro 110 bersama Yasmin Ahmad, mendatangkan contoh yang boleh diberi perhatian. Ketika filem Gubra dikritik kerana adegan bilal masjid menyentuh anjing, Yasmin Ahmad menegaskan bahawa sesuatu yang amat menghairankan apabila orang-orang agama ini yang kelihatannya berpelajaran tinggi di satu sudut, hakikatnya mereka tidak arif tentang ilmu Biologi (yang sepatutnya dikuasai oleh umat Islam atas galakan agama kita sendiri, kata beliau).

“Anjing itu kalau najis pun, menyentuhnya tidak haram!” kata Yasmin.

“Orang agama tidak faham Biologi. Jika mereka faham Biologi, mereka akan tahu bahawa anjing merembeskan peluhnya melalui lidah dan hidung…” tegas beliau lagi.

Saya tidak dapat mengesan apakah yang cuba dimaksudkan oleh Yasmin dengan kenyataan itu. Tetapi beliau mungkin terkesan dengan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas dirinya oleh ustaz-ustaz atau tokoh agama yang ‘tidak faham Biologi’. Sifat menghukum, dan kejahilan terhadap ilmu sokongan seperti Biologi, menjadikan manusia semakin skeptik terhadap agama. Suatu kemalangan.

Namun, andaikata Yasmin Ahmad mengkaji lagi, beliau mungkin akan memperbaiki pandangannya tentang hal ini. Soal anjing merembeskan peluh daripada lidah itulah sebenarnya asas hukuman samak jilatan anjing yang terdapat di dalam Mazhab Syafie. Oleh kerana anjing sentiasa merembeskan peluh dari lidah, maka kebarangkalian najis untuk berada di lidahnya amat kecil. Justeru, jika lidah yang ‘bersih’ itu pun bekas jilatannya perlu disamak, maka lebih utamalah untuk sentuhan bahagian-bahagian lain pada seekor anjing disamak. Malah, anjing yang tidak disebut sebagai najis di dalam al-Quran itu pun, persentuhannya perlu disamak, maka babi yang diisytiharkan najis oleh al-Quran itu, lebih utamalah untuk ia disamak.

Dalam kes ini, Religious Skepticism mungkin terhasil daripada kombinasi agamawan yang tidak faham Biologi dan pengarah filem yang tidak habis mengkaji agama.

Pandangan skeptik terhadap agama banyak didorong oleh kegagalan agamawan mempertahankan hujah agama dalam bentuk yang seiring dengan pemikiran massa yang berubah dari satu ketika ke satu ketika. Hujah yang tidak berhasil menimbulkan keyakinan, atau menolak terus proses hujah menghujah dan menggunakan kuasa untuk menundukkan soalan atau kritikan (budaya membunuh soalan), menyuburkan lagi pemikiran skeptik orang ramai terhadap agama. Gereja sudah berpengalaman dalam krisis ini, mudah-mudahan kita Umat Islam mempelajari sesuatu mengenainya.

Apatah lagi, ada agamawan terbabit dalam salah laku yang bertentangan dengan imej yang sepatutnya dipertahankan. Perbuatan mendera isteri oleh ustaz atau oleh bukan ustaz tetapi atas nama agama, memutarbelikan hujah untuk memenangkan diri (misalnya berkata, Allah melaknat isteri yang menolak kehendak suami, tetapi tiada hadith yang menyebut Allah melaknat suami yang menolak kehendak isteri!), pecah amanah, pengotor pada pakaian dan penampilan diri, menerukkan lagi penyebaran gejala Religious Skepticism ini.

Dalam masa yang sama, pendekatan menghukum dan menghukum terus menerus digunakan semasa kredibiliti agamawan atau institusi agamawan berada di dalam krisis.

Sesungguhnya gejala ini boleh diperbaiki jika pendakwah dan agamawan mampu untuk mengusahakan beberapa perubahan. Sikap menyindir, menghukum, menyerang, tanpa kesimbangan dialog, diskusi dan lain-lain bentuk engagement, tidak banyak membantu.


PENDAKWAH MAMPU MENGUSAHAKAN PERUBAHAN

Jika perubahan itu mesti bermula daripada diri, maka usahakanlah perubahan pada diri kita, selaku pendakwah untuk lebih bertenang dan teliti dalam menghalusi dakyah-dakyah pemikiran skeptik terhadap agama ini. Andai mereka tidak mahu berubah, lancang mengkritik tetapi kurang mahu mengkaji dan mendalami secara adil, itu terserah kepada mereka.Religious Skepticism ialah penyakit. Lalu penganutnya harus dilihat sebagai orang sakit.

Bagi pendakwah yang yakin akan kesihatan pemikiran dan kepercayaannya, merekalah yang selayaknya untuk mengusahakan perubahan. Kita ubah cara kita memberikan penyelesaian, cara kita menguruskan cabaran, kerana kita mampu berbuat demikian. Jangan terlalu gelojoh menyerang, menentang, menghukum, ketika kita sendiri bukanlah saingan yang dihormati lawan (jika boleh disebut demikian).

Pendakwah yang hebat mampu mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Andai golongan yang skeptik terhadap agama mahu terus ego dalam mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Namun Islam yang dijulang pendakwah, menjadikan kita bersedia untuk mengambil sebahagian tanggungjawab memperbaiki keadaan. Memperbaiki cara kita berdakwah, mempunyai banyak faedah yang boleh meredakan penyakit minda ini.

SISI LAIN PANDANGAN HABIB BOURGUIBA

Berbalik kepada persoalan Habib Bourguiba, harus kita perhatikan sedikit.

Memang al-Quran berkata sebaliknya, Sunnah juga menegaskan sebaliknya. Malah Sejarah juga membuktikan sebaliknya. Namun Habib Bourguiba mungkin tidak memandang itu semua. Apa yang dijadikan asas pandangannya ialah pada apa yang ada di depan mata.
Benarkah umat Islam lebih produktif di bulan Ramadhan?

Tinggalkan Tunisia dan mari lihat keadaan kita di Malaysia . Pada bulan Ramadhan, kita tidak boleh bermesyuarat dengan baik. Semua orang kebingungan dan lesu tanpa mampu memberikan idea yang bernas. Jika ada projek besar yang mahu dibuat, semua meminta agar ia dibincangkan selepas Raya! Malah jika di bulan-bulan lain kita habis kerja jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4 petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan!

Maka, tidakkah itu semua bukti bahawa kita tidak produktif di bulan Ramadhan?Silapnya pada Habib Bourghuiba ialah kerana beliau menyalahkan puasa sebagai puncanya, dan bukan manusia.


PELIK
Jika anda ternampak sebuah kereta Mercedez ‘mata belalang’ tersadai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan Mercedez?

“Bodoh betullah syarikat Mercedez ini. Bagaimana mereka boleh buat kereta yang langgar tiang lampu!” kritik seorang yang bermazhab Habib Bourguiba.

MUSTAHIL
Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez. Semua orang akan menyalahkan pemandu Mercedez itu.“Macam manalah dia memandu. Sudah diberi Mercedez pun, masih terbabas melanggar tiang lampu!” kata-kata yang lebih lurus dengan kebenaran.

Silapnya Habib Bourguiba ialah, dia itu menyalahkan puasa dan Ramadhan sebagai punca rakyatnya tidak produktif. Suatu peringkat Religious Skepticism yang kritikal.

Justeru, jika kita tidak bersetuju dengan polisi Habib Bourguiba, maka buktikanlah dengan perbuatan. Buktikan Ramadhan ini, anda produktif, dinamik, aktif bekerja, dan tidak terjejas untuk buat apa sahaja.

Tetapi, jika kita bermati-matian memaki hamun Habib Bourguiba kerana tidak bersetuju dengannya, tetapi kita tidak bermaya, tidak produktif atau gagal untuk kekal normal di bulan Ramadhan, maka segala ayat al-Quran dan al-Hadith yang digunakan, serta fakta Sejarah yang dibentang, menjadi retorik serta menyuburkan lagi Religious Skepticism!

Anda mampu mengubahnya!

Dinukil daripada web ABU SAIF

Jadi Mari kita ubah persepsi orang ramai terhadap ibadah puasa, Ramadhan dan Islam secara keseluruhannya. Bersemangat menuju, bekerja dan beribadah di dalam Ramadhan dan semoga ia menjadi bench mark kekuatan iman kita selepas itu. InsyaALLAH..

Thursday, September 03, 2009

Mencari Malam Al-Qadar

Dalam usaha mempertingkatkan amalan-amalan di Bulan yang penuh keberkatan ini kita tidak lari dari membincangkan tawaran Allah tentang satu malam yang didatangkan Allah kebaikannya melebihi seribu bulan.

Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud, pertama; kemuliaan kerana setengah dari erti qadr itu ialah kemuliaan; kedua bermaksud penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w didalam memberi pertunjuk kepada umat manusia. Kalau dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada nabi Muhammad s.a.w kerana itulah permulaan Malaikat Jibril menyatakan dirinya dihadapan baginda didalam gua Hira?. Pada malam itu perikemanusiaan diberi kemuliaan dikeluarkan dari zulumat/kegelapan kepada nur/cahaya petunjuk Allah.

Terdapat beberapa pendapat tentang peristiwa Lailatul Qadar samada ia berlaku sekali atau datang pada setiap Ramadhan. Menurut Ibn Umar, Lailatul Qadar berlaku pada setiap Ramadhan (Jami al-Bayan, hlm. 209). Pendapat yang lain dari setengah ulama ada menyatakan Lailatul Qadar berlaku sekali sahaja iaitu ketika al-Quran mulai diturunkan pertama kali. Adapun Lailatul Qadar yang kita peringati dan berusaha memperbanyakkan amal ibadat pada malam-malam di bulan Ramadhan adalah untuk memperteguh ingatan kita kepada peristiwa turunnya al-Quran. Kita hidupkan malam itu dengan mengambil berkat dan memperbanyakkan syukur kepada Allah s.w.t. Berdiri mengerjakan terawih dan qiamullail di bulan Ramadhan adalah bertepatan dengan malam turunnya al-Quran (Hamka, hlm. 8071).

Menurut Syeikh Yusuf Amrullah, bapa Hamka, berpegang dengan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa Lailatul Qadar yang sebenar hanya sekali iaitu malam mula-mula al-Quran diturunkan. Yang kita buat amal ibadat didalam bulan puasa adalah mengingati Lailatul Qadar itu ialah memperingati dan memuliakan malam al-Quran diturunkan. Kita ingati setiap tahun agar kita bertambah teguh memegang segala yang diturunkan Allah didalam al-Quran.

Terdapat berbagai cerita mengenai tanda malam Lailatul Qadar iaitu dapat disaksikan kejadian yang ganjil-ganjil seperti air berhenti mengalir, pohon kayu tunduk rukuk ke bumi dan sebagainya. Menurut Hamka semuanya ini adalah perkara yang tidak dapat dipertanggungjawabkan menurut ilmu agama yang sebenarnya.

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang berlakunya Lailatul Qadar dan ia tetap berlaku atau berulang pada setiap bulan Ramadhan, cuma tidak dapat dipastikan secara tepat malam yang keberapa ia berlaku.

Perbincangan panjang lebar diantara ahli-ahli Hadis, mengenai dengan malam apakah yang tepat Lailatul Qadar itu berlaku. Dalam kitab Fath al-Bari menurunkan tidak kurang dari 45 qaul tentang malam terjadinya Lailatul Qadar, masing-masing menurut pengalaman dengan catatan Ulama-ulama yang merawikannya, sejak dari malam 1 Ramadhan sampai 29 atau malam 30 Ramadhan. Semuanya dinukilkan oleh as-Syaukani di dalam `Nailul-Autharnya.

Oleh sebab itu dianjurkanlah supaya setiap malam bulan Ramdhan diisikan penuh dengan ibadat. Bagaimanapun terdapat juga riwayat yang kuat menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu ialah pada malam sepuluh yang akhir dari Ramadhan ertinya sejak malam 21, kerana sejak malam 21 itu nabi s.a.w lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya sampai beliau bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.

Abdullah bin Mas`ud dan asy-Sya`bi dan al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahawa malam itu ialah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka ialah kerana ada hadis yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.

Satu riwayat lagi menyatakan jatuhnya ialah pada 17 Ramadhan. Orang yang berpegang pada 17 Ramadhan ini mengambil istinbat daripada ayat 41 dari surah an-Anfal kerana di sana tersebut bermaksud; "...dan apa yang Kami turunkan kepada Hamba Kami pada Pemisahan hari bertemu dua golongan".

`Hari bertemu dua golongan', ialah dalam peperangan Badar, pada 17 Ramadhan sedang `hari pemisahan', ialah hari turunnya al-Quran yang pertama yang disebut juga malam yang diberi berkat sebagaimana tersebut didalam surah 44 al-Dukhan. Maka oleh kerana berhadapan dua golongan di Perang Badar itu, golongan Islam dan golongan Musyrikin terjadi pada 17 Ramadhan, mereka menguatkan bahawa Lailatul Qadar mulai turunnya al-Quran di gua Hira ialah 17 Ramadhan pula meskipun jarak waktunya adalah 15 tahun.

Banyak hadis-hadis yang menyatakan Lailatul Qadar berlaku pada malam yang ganjil sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan (Ruh al-Maani, hlm. 191), dan ada pendapat hadis yang menetapkan pada malam 27.

Ada diceritakan terdapat dikalangan sahabat Rasulullah merasa hairan dengan cerita seorang lelaki dari bani Israel beribadat sepanjang malam kemudian berjihad menentang musuh diwaktu siang dan melakukannya selama seribu bulan. Dalam cerita lain menyatakan seramai empat orang dari bani Israel beribadat kepada Tuhan selama delapan puluh tahun dan mereka tidak melakukan maksiat atau keingkaran. Datang Jibrail kepada nabi bertanyakan samada umatnya hairan dengan ibadat mereka itu. Allah telah menurunkan yang lebih baik dari itu, lalu dibaca surah al-Qadr. Dinyatakan juga bahawa pemerintah nabi Sulaiman dan Zulqarnain selama lima ratus bulan. Maka Tuhan jadikan amalan pada malam Lailatul Qadar (bagi mereka yang mendapatnya) lebih dari tempoh kedua pemerintahan tersebut dan lebih baik dari seribu malam amalan lelaki bani Israel itu.

Dalam tafsir Ruh al-Maani ada dinyatakan setengah ulama al-Shafie berpendapat ada beberapa malam yang istimewa iaitu malam yang paling afdal ialah malam kelahiran-kelahiran nabi Muhammas s.a.w. Kemudian diikuti dengan malam Lailatul Qadar kemudian malam Irsa? dan Micraj, malam Arafah, malam Jumaat, malam Nisfu Syaaban dan kemudiannya malam raya (hlm. 194).

Mengikut Anas daripada nabi menyatakan bahawa Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada umatku (Muhammad) Lailatul Qadar dan tidak diberikan kepada umat sebelumnya.

Keistimewaan lain yang berlaku pada malam Lailatul Qadar dinyatakan dalam ayat 4 yang menjelaskan bahawa malaikat dan roh turun pada malam itu dengan keizinan Tuhan. Yang dimaksudkan dengan `roh? ialah malaikat Jibrail dan ini pendapat jumhur ulama. Ia disebut secara khusus kerana kemuliannya. Ada pendapat lain menyatakan nabi Isa a.s turun untuk melihat umat dan menziarahi nabi Muhammas s.a.w. Ada juga pendapat menyatakan roh-roh orang yang mukmin turun untuk menziarahi keluarga-keluarga mereka. Ada pendapat satu lagi mentafsirkan kepada `Rahmat? dari Allah.

Malaikat turun dari martabat mereka yang tinggi yang sebok dengan urusan Allah s.w.t untuk mengucap 'salam' kepada orang mukmin. Oleh kerana mereka ramai, antara mereka turun secara kumpulan, ada yang turun dan ada yang naik semula. Oleh kerana kejadian mereka adalah dari nur atau cahaya maka tidaklah timbul masalah kesesakan. Para malaikat yang ramai itu pergi mengunjungi tempat kdiaman orang mukmin, kecuali rumah yang terdapat didalamnya anjing, khinzir, arak dan patung. Mereka megucup tasbih dan memohon keampunan bagi umat Muhammad s.a.w sehinggalah sampai waktu fajar barulah mereka naik semula ke langit. Melihat ini bertasbih memuji Allah s.w.t justeru syukur mereka kepada Allah yang telah melimpahkan keampunan kepada umat Muhammad s.a.w.

Pada malam tersebut Allah s.w.t telah melipatkan rahmatnya kepada seluruh orang mukmin yang masih hidup dan juga kepada yang telah mati. Betapa pemurahnya Allah kepada hambaNya.

Jika kita mengamati hadis dari Anas bin Malik yang menyatakan, barangsiapa yang menunaikan solat maghrib dan isya? berjamaah sepanjang bulan Ramadhan sesungguhnya dia telah mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar. Bermaksud bukanlah suatu yang amat sukar untuk mendapatkan sebahagian dari malam Lailatul Qadar. Yang penting kita tidak mengabaikan mana-mana malam di bulan Ramadhan kecuali dengan melakukan ibadat dan paling minimum sembahyang berjamaah pada waktu maghrib dan isya?. Soalnya apakah cukup hanya sekadar itu yang kita cari? Pasti tidak..kerana kalu kita berdoa pada malam yang mustajab itu seolah-olah kita berdoa seribu bulan kalau kita bersedeqah pada malam itu seperti bersedeqah seribu bulan.. masyaAllah..

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Ia bukan berbentuk barangan atau kebendaan!! tapi ia berbentuk kerahmatan yang dikurniakan kepada semua hambanya yang layak. Ia tidak hanya boleh didapati di masjid atau surau atau hanya di tikar sembahyang tapi percayalah kalau amalan kita malam itu diniatkan untuk ibadat maka akan jadilah amalan kita seolah-olah amalan seribu bulan. Ia juga memberi erti kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai yang tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia tetap datang disetiap bulan Ramadhan. Wallahu a'lam. Dipetik dari sumber IKIM

Friday, August 28, 2009

Memahami Erti Kemerdekaan sebenar



Tentang erti kemerdekaan, Pendita Za'aba mengatakan: berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i'tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” (Wan Abd. Kadir, 100 tahun Zaaba, hlm. 124).

Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka. Syed Husain al-Attas telah lama membicarakan tentang minda tawanan (the captive mind) yang dimiliki bukan oleh masyarakat biasa tetapi oleh golongan terpelajar yang tidak dapat melepaskan diri daripada kerangka pemikiran yang telah disediakan oleh para penjajah. Bagi Malik Bennabi, proses penjajahan berlaku sejak sesuatu bangsa memiliki colonisibility (al-qabiliyyah li al-isti‘mar). Kerana yang menghantar sesuatu bangsa kepada penjajahan adalah jiwa dan minda yang lemah dan pasrah. Oleh itu jauh sebelum penjajahan berlaku, bangsa itu sendiri telah memiliki jiwa dan minda yang terjajah. Hal inilah yang mengundang penjajahan berlaku terhadap mereka.
Untuk memahami erti kemerdekaan dengan lebih mendalam kita perlu memahami musuh kemerdekaan iaitu penindasan. Berbeza dengan penjajahan, penindasan memiliki erti yang lebih luas. Jika penjajahan selalu dikaitkan dengan kuasa asing, penindasan mencakupi segala bentuk pemaksaan kehendak daripada yang berkuasa kepada yang dikuasai. Kesan penindasan tidak terhenti setakat aspek fizikal tetapi meliputi aspek psikologi atau kejiwaan dan pemikiran. Penindasan akan mengakibatkan rakyat pasrah, merasa hina, keadaan jiwa ini akhirnya menyebabkan rakyat tidak memiliki daya juang, tidak produktif dan tidak kreatif.
Mungkin perlu juga diterangkan apakah yang dimaksudkan dengan masyarakat yang berjiwa merdeka dan berminda merdeka. Untuk lebih praktikal dan membumi maka salah satu aspek penting yang perlu ditegaskan adalah bahawa orang yang berjiwa merdeka adalah orang yang tidak terbelenggu dengan nafsu dan ketamakan/ kecintaan dunia (hubb al-dunya)Contoh yang paling dekat akan golongan yang tidak berjiwa merdeka adalah pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter dan mengambil kesempatan ke atas pengguna hanya kerana ingin senang atau mencari jalan pintas untuk mendapat harta lebih, walaupun dengan cara yang tidak baik. Orang-orang yang mudah tertipu dengan skim cepat kaya dan pelaburan internet adalah orang-orang yang tidak berjiwa merdeka kerana jiwa mereka dibelenggu oleh hawa nafsu mereka sendiri yang tamak dan mencari jalan pintas mendapatkan kekayaan. Sikap materialistik ini hanya akan merugikan diri sendiri dan orang lain. Oleh yang demikian ia tidak menyumbang ke arah pembangunan bangsa dan negara.
Orang yang berminda merdeka pula sentiasa berfikiran terbuka dan rasional. Tidak taassub dan fanatik terhadap mazhab, aliran, parti, atau orang tertentu walaupun ia adalah gurunya sendiri. Taqlid buta adalah sesuatu yang tercela dalam Islam. Satu perkara yang menghalang orang-orang terdahulu daripada menerima cahaya Islam adalah kerana mereka lebih selesa dengan apa yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka dan tidak inginkan perubahan dalam semua perkara yang telah mereka terbiasakan (surah Luqman: 21). Mereka tidak berfikiran terbuka dan rasional. Mereka hanya berfikir atau disuruh berfikir dengan kerangka (framework) pemikiran tertentu sahaja dan tidak berani keluar dari kerangka tersebut.

Jelas bahawa orang-orang seperti ini tidak berminda merdeka. Akibat daripada keadaan jiwa dan minda yang tidak merdeka ini kita lihat, dan sejarah mencatat dan membuktikannya, bahawa masyarakat atau rakyat kehilangan daya juang, daya saing dan daya kreativiti sehingga akhirnya mereka tidak produktif, tidak maju dan tidak berdaya.
Kesimpulannya, orang yang berjiwa dan berminda merdeka adalah orang yang tidak terkongkong dengan budaya kampung, terbelenggu dengan nafsu, taassub dan fanatisme. Sebaliknya orang yang benar-benarmerdeka adalah orang yang tahu identiti dan harga dirinya, lalu membina keupayaannya agar duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Orang yang dapat berfikir jauh kehadapan, menembusi sempadan kampungnya, melepasi kepentingan diri dan kepuakan, untuk memikirkan kepentingan bangsa, negara,agama dan umat.

Saturday, August 22, 2009

Gagal memuhasabah diri

Mungkin timbul tanda tanya kenapa didikan dan dakwah kita kurang berkesan? Kenapa orang yang kita didik masih tidak berubah walaupun bermacam-macam cara dan bahan yang kita sampaikan kepadanya? Di sinilah terletaknya satu hentian bagi para Da'ie dan Murabbi bermuhasabah diri. Kita tidak seharusnya terlalu sibuk dengan amal Islami hingga tidak ada masa yang diperuntukkan untuk muhasabah diri. Bahkan apabila kita tidak lagi perlu untuk duduk sebentar untuk muhasabah diri maka hati kita sebenarnya sudah semakin jauh dari Allah SWT. Kita semakin terkeluar dari garisan kehidupan seorang hamba. Keegoan telah mula bertapak dihati kita. Keangkuhan menguasai gerak laku kita. Semangat telah mendahului kefahaman kita. Kita akan mula tersasar dari arah tujuan kita yang sebenarnya.

Adakah keegoan, tidak mahu muhasabah diri, keangkuhan dan sebagainya ini perkara kecil? Bukankah banyak ayat-ayat Allah yang menggambarkan bahawa mereka yang akan dihumban keneraka Allah itu adalah terdiri dari orang-orang yang takbur/besar diri. Tadabburlah ayat-ayat akhir Az Zumara sesungguhnya ia amat menggerunkan kita.

Apa lagi yang menghalang kita untuk berhenti seketika untuk kita muhasabah diri lebih lebih lagi dalam bulan yang penuh kemuliaan ini. Adakah segala yang kita lakukan semuanya untuk dan kerana Allah SWT.? Kenapa kadang-kadang kita melakukan amal wajib dengan sambil lewa, kenapa kita terlalu sibuk untuk bermunajat kepadanya...memohon perlindungan dari kemurkaan dan azabNya, kenapa kita tidak sempat untuk membaca KalamNya..al Quran. Mungkinkah nanti apabila ditanyakan di Akhirat nanti untuk apa kita kerjakan semuanya lalu kita katakan untuk Allah...lalu Allah katakan BOHONG...lalu diseret muka kita dan dihumbankan kita ke NerakaNya.

Para salafussoleh...disaat-saat kematian, mereka menangis. Lalu dikatakan orang kepadanya "kenapa kamu menangis, bukankah kamu seorang yang soleh, banyak amalan dan taat kepada Allah" Lalu jawabnya "Ya...tetapi bagaimana saya tahu adakah ianya diterima oleh Allah".


Renungilah diri kita lebih dari kita melihat orang lain. Lihatlah kesalahan diri kita melebihi dari melihat kesalahan orang lain. Di sinilah kekuatan dalam amalan. Menyedari kelemahan diri menyebabkan kita sentiasa bergantung padaNya, kita sandarkan segalanya pada Allah SWT. Inilah kekuatan sebenar. Lihatlah dalam kehidupan para sahabat...bukankah kejayaan mereka, kejayaan yang luar biasa...tidak logik, tak masuk aqal tetapi kerana mereka sandarkan segalanya kepada Allah SWT lalu Allah datangkan pertolongan dan kemenangan yang dekat.

Perjalanan hidup manusia bukanlah panjang bahkan cuma perhentian sementara, halangannya terlalu banyak, simpang siurnya tidak menentu maka sebaik-baiknya kita mencari bekal dan berhentilah di hentian muhasabah supaya kita dapat mengimbau laluan yang kita lalui apakah kita telah mencapi hakikat kejadian manusia lalu kita mulakan semula langkah yang baru hingga kita berjumpa dengan Allah nanti... kita bukan tersalah jalan atau terlupa membawa bekalan..

Sunday, August 16, 2009

Memahami Konsep Ibadah

Ibadah pada bahasa ialah kehinaan, ketundukan dan kepatuhan. Pada syarak pula ialah:

- Perlaksanaan hamba segala perbuatan dan perkataan yang disyariatkan Allah dengan disertakan ketaatan dan ketundukan untuk Tuhannya.

- Ibn Khatir mendefinisikan ibadah pada syarak dengan ibarat daripada himpunan kesempurnaan kasih sayang, tunduk dan takut.

- Ibn Jarir mendefinisikan ibadah ialah, taat, tunduk, patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.; mengakui dan meyakini bahawa Allah sahajalah yang layak menjadi tumpuan segala ketaatan, tunduk patuh, merendah diri, takut dan mengharap.

- Al-Alusi pula mendefinisikan ibadah ialah, tahap tertinggi daripada segala ketundukan dan kepatuhan yang tidak mungkin berlaku dari segi syarak dan akal mengerjakan ibadah selain-Nya.

Ibadah diasaskan kepada beberapa faktor:

- Ma'rifah kepada Allah dan iktikad keEsaannya.

- Taat kepada Allah dengan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang melalui Rasulullah s.a.w.

- Pemerhatian bahawa kesemuanya itu bagi melaksanakan kewajipan hak Allah seperti hadis Muaz yang bersama Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hak Allah terhadap hamba dan hak hamba terhadap Allah.



Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:

Ibadah khusus merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang. (Sahih Bukhari)

Ibadah umum pula merupakan segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.



Amalan yang berstatus Ibadah

Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:

Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.

Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.

Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh Rasulullah:

Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Muslim)

Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.

Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.



Kesalahan memahami Konsep Ibadah

Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu.

Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing ini telah dapat juga meresap ke dalam kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang menganggap ibadah itu hanya tertumpu kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja, terdapat juga di kalangan ummat Islam yang mengaku beribadah kepada Allah, tetapi tindak-tanduknya menunjukkan bahawa ia melaksanakan ubudiyyah kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Begitu juga salahnya jika menganggap wujudnya pengasingan antara Ibadah dengan siasah, atau mengasingkan tugas harian kita seharian dengan ibadah sesuatu yang sangat jelas kesilapannya. Ayuhlah menjadikan seluruh kehidupan kita ini sebagai Ibadah yang bakal diterima Allah.

Ibadah akan memberikan kesannya yang mendalam terhadap pelakunya antaranya ialah;

- Menghampirkan diri kita kepada Allah.

- Dengan beribadah, hati, roh dan jasad kita akan menjadi sebati dalam ketaatan.

- Dengan beribadah dapat menukar pengabdian kita yang umum kepada yang khusus.

- Dengan beribadah kita akan berada dalam pemeliharaan Tuhan.

- Kita akan mendapat keamanan daripada Allah.

- Dan akhirnya kita dapat mengecapi kemanisan iman.

Friday, August 14, 2009

Memahami Kategori Hadis dari aspek bilangan perawi

Hadith Mutawatir

Dari segi bahasa al Mutawātir adalah Ism al Fā’il daripada al Tawātur yang bermaksud yang berturut-turut.

Dari segi istilah pula, hadith mutawatir bermaksud hadith yang diriwayatkan oleh bilangan yang ramai di mana mustahil dari segi akal mereka berpakat untuk menipu.


Syarat hadith mutawatir

- Diriwayatkan oleh perawi yang ramai.
- Bilangan yang ramai ini terdapat di kebanyakan peringkat (sahabat – tabi’in – seterusnya)
- Mereka meriwayatkan berdasarkan hissi seperti kata-kata sami’na (kami dengar) atau ro‘aina (kami lihat)


Hukumnya

Mencapai darjat ilm yaqin iaitu ilmu yang wajib diterima dengan penerimaan yang kukuh tanpa sebarang ragu-ragu, wajib beramal dengannya. Sahih



Pembahagiannya

- Mutawatir Lafzi – Hadith yang sampai darjat mutawatir pada lafaz dan maknanya. Contohnya ialah hadith “Sesiapa yang berdusta ke atasku ... “

- Mutawatir Maknawi – Hadith yang sampai darjat mutawatir pada maknanya sahaja walaupun berbeza lafaznya.


Hadis Ahad


Dari segi bahasa ialah satu.

Dari segi istilah ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang atau 2 orang perawi yang jumlahnya tidak mencapai darjat mutawatir.

Hukum beramal dengan Hadis Ahad

Wajib beramal dan berhujjah dgn Hadis Ahad, tetapi tidak kufur sesiapa yang menolaknya.

Hadis Ahad dibahagi kepada tiga:

1) Hadis Masyhur

Dari segi bahasa ialah yang termasyhur @ terkenal.

Dari segi istilah ialah hadis yang diriwayatkan oleh tiga atau lebih perawi dalam setiap thabaqatnya namun belum mencapai darjat mutawatir.

Misalnya hadis Rasulullah SAW :

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan sekaligus, akan tetapi Allah mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama.” (Riwayat Bukhari)

Hukum beramal dgn Hadis Masyhur

Boleh beramal dan berhujjah dengan Hadis Masyhur yang sahih dan hasan sahaja. Jika ia dhaif @ Maudu’, tidak boleh beramal dgnnya.

2) Hadis ‘Aziz

Dari segi bahasa ialah sedikit dan jarang-jarang
Dari segi istilah ialah hadis yang diriwayatkan oleh dua perawi dalam setiap thabaqatnya.

Contohnya hadits Rasulullah SAW:

“Tidak beriman salah seorang di antara kalian sehingga aku (Nabi) lebih ia cintai daripada orangtuanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hukum beramal dgn Hadis ‘Aziz

Boleh beramal dan berhujjah dengan Hadis ‘Aziz yang sahih dan hasan sahaja. Jika ia dhaif @ Maudu’, tidak boleh beramal dgnnya.


3) Hadis Gharib

Dari segi bahasa ialah tunggal
Dari segi istilah ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi dalam setiap atau mana-mana thabaqatnya.

Contohnya adalah hadis Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya amal itu tergantung niatnya…”

Hukum beramal dgn Hadis Gharib

Boleh beramal dan berhujjah dengan Hadis Gharib yang sahih dan hasan sahaja. Jika ia dhaif @ Maudu’, tidak boleh beramal dgnnya.

Thursday, August 06, 2009

Menghayati 25 Nasihat Luqman Al-hakim Kepada Anaknya

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Surah Luqman; ayat 12

Hai anakku; ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, ramai manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

Hai anakku; orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukan oleh mu, maka marahnya ibubapa terhadap mu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

Hai anakku; Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

Hai anakku; Dan selalulah berharap kpd ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

Hai anakku; seseorang pendusta akan lekas/cepat hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yg telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian/nasihat kepada orang yang tidak mahu mengerti atau mendengar nasihat.

Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu,adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

Hai anakku; Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang merbahaya.

Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

Hai anakku; janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan apa sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan apa saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

Hi anakku; Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yg takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yg mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

Hai anakku; selalulah baik tuturkata dan halus budi-bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang yang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yg tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

Hai anakku; Jadikanlah dan jagalah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan celaan pada dirimu.

Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

Hai anakku; usahakanlah dan jagalah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

Hai anakku; Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata-kata yang mengandungi racun, dan sesiapa yg tidak dapat menahan lidahnya dari berkata-kata kotor tentu akan menyesal.

Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur yang selalu disirami air hujan.

Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yg selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Published by shafril May 11th, 2009 in Islam

p.s. Bukanlah hanya anak Luqman semata yang perlu mendengar nasihat ini malah ia menasihati anda sebagai orang yang membaca untuk menasihati pula anak sendiri dan anak didik kita semuanya. Anggaplah nasihat Luqman sebagai perintah dari Allah untuk manusia yang mengaku dirinya mukmin mudah-mudahan akan menambah nilai taqwa dalam diri.

Monday, July 27, 2009

Konsep Taaruf yang harus difahami





Kita petik maksud Firman Allah dalam surah al Hujurat:13

"Wahai manusia!sesungguhnya, Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan,kemudian kami jadikankamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya semulia-mulia laku di sisi Allah orang yang lebih taqwanya.Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuannya".

Taaruf adalah satu konsep perkenalan yang diajar dan dituntut perlaksanannya dalam Islam. Konsep taaruf juga selari dengan mana-mana konsep yang melibatkan 2 belah pihak yang baru berjumpa yang ingin memulakan perbualan. Dalam Islam kebiasaanya, lafaz salam digunakan di awal perbualan dan dituruti dengan pertanyaan soalan-soalan ringkas mengenai peribadi kedua-dua belah pihak itu. Taaruf di dalam Islam boleh digambarkan dengan begitu simbolik sekali. Ini adalah kerana, taaruf itu sendiri telah memainkan banyak peranan yang penting dalam menjalinkan perhubungan sesama manusia. Lebih-lebih lagi jika, perhubungan yang dijalinkan itu sedia untuk diikat dengan ikatan ukhuwwah sebagai saudara seagama. Barulah nanti terjalinnya Islam itu sesunguhnya bersaudara. Ianya akan melangkaui batas georafi, keturunan dan warna kulit. Konsep ini akan terus menjalin hubungan yang luhur dan suci kasih mengasihi sesama umat, cubit peha kanan peha kiri terasa bukan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Ikatan Ukhuwwah peranannya amat penting dalam menyebarkan fikrah Islamiah ke seluruh pelusuk dunia. Dengan bermulanya taaruf dan terbinanya ukhuwaah,dan kesannya ikatan mahabbah terlahir di kalangan jemaah dan akhirnya dapat membentuk ikatan kesatuan yang kukuh dan teratur susunannya. Ikatan yang dibina atas dasar iman bukan sahaja mampu menjadikan umat Islam hebat malah kedudukannya dihormati di seluruh dunia. Dengan adanya ikatan persaudaraan seperti ini, pastinya Umat Islam bukan sahaja dihormati malah ianya juga digeruni oleh pihak musuh yang amat membenci Islam.

Taaruf memberi gambaran yang bahawa positif bilamana masyarakat memandang ianya adalah suatu kelebihan jika diamalkan dan suatu kerugian jika ditinggalkan. Taaruf dalam pelbagai bidang dan lapangan demi meneroka dan menguasai kemahiran ekonomi, pendidikan, politik dan apa jua yang selari dengan dasar islam. Namun ia kadangkala dipesongkan untuk tujuan yang negatif seperti untuk bermegah-megah, atau lebih tepat ke arah maksiat yang semestinya meyeleweng dari tuntutan Islam.Menjadikan seolah-olah Islam tiada konsep taaruf sejati melupakan segala kepentingan ummah demi nafsu ammarah semata-mata. Jelasnya Taaruf adalah medan terbaik untuk membina tamadun umat yang bersatu untuk al-khair malah menentang sebarang bentuk kezaliman dan fasad.

Dari sini kita kutip beberapa Intisari ayat 13 Surah Al-Hujarat;
- Allah menegaskan manusia sama dari segi kejadian mereka,
iaitu lelaki [ Adam ] & perempuan [ Hawa ]
- Dari asal yang sama,manusia dijadikan dalam pelbagai etnik,
bangsa dan kabilah supaya berkenal-kenalan demi kemajuan Islam
- Manusia diingatkan bahawa kedudukan di sisi Allah bukan ditentukan
mengikut keturunan,harta dan pangkat tetapi ketakwaan & kebersihan jiwa
- Manusia yang tidak menghayati konsep taa'ruf umpama haiwan liar yang sentiasa bermusuhan dan tidak mengenal erti persahabatan.
- Ta'aruf adalah ibadat.Orang yang mengamalkan taa'ruf mematuhi tuntutan syarak
FREE PALESTINE

My Blog List