SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Thursday, March 19, 2009

Jangan Panik!!!!

Para Pentaksir Sekolah (PS), Pentaksir Kawasan dan Negeri diharap jangan panik. Sememangnya agak lewat proses dan perjalanan mesyuarat pelaksanaan PLBS bagi tahun 2009. Namun bila diteliti dari Taqwim Lembaga Peperiksaan ( LP ) ianya masih lagi dalam jadual pelaksanaan sebenar. LP akan mengadakan mesyuarat antara KPK dan KPN pada akhir bulan Mac. So apa tindakan kita? Ambil langkah positif bahawa kita tetap boleh melaksanakan PLBS dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Teruskan bimbingan, tunjuk ajar dan latih tubi dalam tilawah Al-Quran, Hafazan mahupun bacaan Hadis seperti biasa. Pelaksanaan itulah yang lebih dituntut untuk kita lakukan dalam konsep 'assesment for better learning'... jangan nanti kita dipersoalkan tentang kompitensi mereka. Kalaupun memang benar kita kena melaksanakan PLBS berdasarkan soalan bagi tahun semasa dan sememangnya salah jika kita menggunakan soalan tahun lepas. Namun kita hanya perlu melaksanakannya apabila soalan sampai selewat-lewatnya dalam bulan april atau mei. Memang kita telah mencadangkan supaya soalan sampai lebih awal. Namun kita juga boleh melaksanakan secara 'One off' sahaja setelah kita melakukan bimbingan yang sewajarnya. Itulah PLBS kita yang bersifat fleksibel jangan menyalahkan mana-mana pihak tetapi lebih baik kita laksanakan tugas kita seperti biasa. Persiapkan dahulu sistem perfailan, penyediaan borang-borang dan surat-surat lantikan dan sebagainya dan jangan lupa pada Kertas 3 persiapkan. Mohon maaf atas kelemahan ini. Selamat menjalankan tugas.
KHIRUL ANUAR LAKIMIN
Ketua Pentaksir Kebangsaan 5227/2 2009

Thursday, March 12, 2009

Keputusan SPM 2009


Tahniah buat semua warga guru Mypqs di seluruh negara dengan keputusan SPM yang baru diumumkan. Peratusan pencapaian pelajar yang memperoleh A yang tinggi di Peringkat Kebangsaan dalam kertas 5227/1 Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah telah menunjukkan peningkatan sebanyak 8.7 % serta penurunan Bil G sebanyak 1.7%. Kejayaan ini menggambarkan kesungguhan kita selama ini untuk memenuhi hasrat dan aspirasi sistem pendidikan kita terlaksana untuk membina modal insan yang cemerlang. Semoga kita dapat terus mengekalkan dan meningkatkan kualiti keputusan ini pada tahun hadapan. Tahniah dan tahniah.

Saturday, March 07, 2009

Salam Maulidur Rasul



Salam Maulid Nabi kepada semua pengunjung Mypqs blogspot. Ayuh mari kita jadikan Junjungan Nabi kita sebagai suri teladan dalam kehidupan seharian. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasul sekalian alam juga kepada para Sahabat dan Ahli Keluarga Baginda seluruhnya.


Mari kita kongsikan antara beberapa peribadi dan akhlak Rasulullah S. A. W buat pedoman kita mengharugi sisa-sisa usia kita untuk menjejaki kehidupan yang abadi nantinya.


1) Baginda berdoa dengan penuh khusyuk dan airmatanya sentiasa berlinangan



2) Wajahnya sentiasa ceria yang menyejukkan mata memandangnya



3) Sangat elok dan sempurna wajahnya



4) Baginda memilik perasaan yang halus



5) Suka makan beramai-ramai daripada berseorangan



6) Bencikan kemegahan dan perhiasan yang cantik melambangkan kesombongan dan
kemegahan



7) Beliau makan setelah lapar dan berhenti sebelum kenyang



8)Tidak pernah mengumpat , mencerca atau menghina orang lain



9) Baginda memelihara rambutnya dengan kemas



10) Baginda memakai serban di atas kopiahnya



11) Suka membalas hadiah



12) Baginda mengucapkan salam kepada ahli rumah ketika hendak keluar atau masuk



13) Baginda sangat berlemah-lembut dengan isterinya dan ahli keluarganya



14) Sentiasa memulakan salam kepada sesiapa yang ditemuinya



15) Baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa



16) Ketika berjabat tangan ia tidak melepaskan tangannya sehinggalah orang dijabatnya itu
melepaskan tangannya



17) Apabila melepasi kumpulan kanak-kanak , baginda mengangkat tangannya tanda
hormat kepada mereka



18) Tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama



19) Tidak bangun dari sesuatu majlis makan sehingga tetamu lain bangun



20) Tidak pernah menjulurkan kakinya di depan para sahabat



21) Baginda suka bercakap lambat-lambat dan menyebut perkataan dengan jelas



22) Sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya



23) Tidak pernah ketawa terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum lembut



24) Sangat fasih dan manis dalam tutur bicara



25) Tersangat sabar dan tabah bila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan



26) Amat kasih terhadap umatnya



27) Tidak pernah mengambil rezeki kurnian Allah melebihi keperluan makan minumnya



28) Rezeki yang melebihi keperluan akan ditaburkan untuk jihad Fisabilillah



29) Sentiasa membantu orang lain walaupun ia sendiri dalam kesusahan



30) Tidak pernah menghina orang miskin dan tidak rasa terhina bergaul dengan mereka



31) Suka menziarahi orang sakit



32) Amat pemurah hingga digambarkan seperti angin lalu pemurahnya



33) Baginda tidak suka tidur di bilik gelap dan di bawah bumbung yang terbuka dan tidak
beratap



34) Tangannya tidak pernah menyentuh kulit wanita ajnabi



35) Bersikap tegas , pemaaf dan pengasih dalam perjuangan



36) Beliau mengambil wudhu’ sebelum tidur dan berzikir hingga lena



37) Sangat menghormati orang-orang tua dan mengasihani orang-orang muda dan kanak-
kanak




(dipetik daripada poster yang dikeluarkan oleh pustaka fikrah)
Ingat lah cintailah Rasulullah SAW kerana baginda sangat cinta pada kita

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. "(surah al-Ahzab : 56)

Pernahkah kita bimbang tentang keikhlasan kita beramal ibadah



Firman Allah yang bermaksud: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama yang lurus. Dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Al Baiyinah: 5)


Untuk melakukan ikhlas ini sangat susah dan sulit terutama dalam sebarang amal ibadah kerana hati itu amat seni sekali. Nafsu itu sangat tersembunyi perasaan halusnya dan sangat payah dikesan. Untuk menguasainya amat sulit. Ia berbolak-balik setiap hari dan berubah-ubah pula setiap waktu dan detik. Perjalanannya tidak menentu. Bertukar-tukar dari ujub, riyak, sombong, dengki, gila puji, gila nama, ingin dinilai dengan harga dunia dan susah untuk didisiplinkan. Amal ibadah itu selalu terdorong ke arah kepentingan-kepentingan dunia ini.

Riyak, ujub dan lain-lain sifat mazmumah itu paling payah dihindari kerana gerakannya terlalu halus. Macam desiran semut, tidak dapat didengar bunyinya. Kita tidak terasa kemahuan- kemahuan nafsu atau dorongan-dorongan kemahuan hati yang jahat kerana halusnya itu. Inilah yang dikatakan syirik khafi. Kalau tidak disuluh dengan pandangan mata hati (basirah), ia tidak akan terasa adanya.
Para Salafussoleh, bila kenangkan hal-hal begini, mereka selalu menangis. Mereka paling takut terhadap syirik khafi ini. Takut ibadah mereka tidak ada harga di sisi Allah. Takut mereka akan muflis di Akhirat sedangkan untuk dapatkan ikhlas terlalu susah. Ikhlas hanya milik Allah. Ia adalah rahsia-Nya yang Dia sahaja yang tahu. Hatta para malaikat pun tidak tahu. Mereka hanya tahu amal lahir sahaja.


Sebab itu dalam sejarah pernah diceritakan betapa susahnya untuk dapatkan sifat ikhlas ini sebagaimana yang digambarkan oleh Sayidina Muaz bin Jabal.

Rasulullah SAW bersabda: “Puji syukur ke hadrat Allah SWT yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya. Wahai Muaz!”
Jawabku: “Ya Saiyidil Mursalin.” Sabda Rasulullah SAW: “Sekarang aku akan menceritakan kepadamu, bahawa apabila dihafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai hujah di hadapan Allah kelak. Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Setiap langit ada seorang malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut kadarnya pintu dan keagungannya. Malaikat yang memelihara amalan si hamba akan naik ke langit membawa amalan itu ke langit pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat Hafazah: ‘Saya penjaga tukang umpat. Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang umpat.’


Esoknya naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata: ‘Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya ditahan amalan ini jangan sampai lepas ke langit yang lain.’


Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit berkata: ‘Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong’.”


Rasulullah SAW meneruskan sabdanya: “Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata: ‘Lemparkan balik amalan ini ke muka empunyanya. Dia seorang yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan yang ujub.’


Seterusnya amalan si hamba yang lulus di langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain tetapi di pintu langit kelima penjaganya berkata: ‘Ini adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-Nya yang lain. Dia tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad.’

Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata: ‘Saya penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah ini ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang mendapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan melintasi langit ini.’


Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang lepas hingga langit ketujuh. Rupa cahayanya bagaikan kilat dan suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembahyang, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain lagi. Tetapi penjaga pintu langit berkata: ‘Saya ini penjaga sum’ah (ingin masyhur). Sesungguhnya si pengamal ini ingin masyhur dalam kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan ini jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana Allah maka itulah riyak. Allah tidak akan menerima dan mengkabulkan orang-orang yang riyak.’


Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan pendiam, zikir pada Allah, diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah SWT. Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah.


Tetapi firman Tuhan: ‘Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui. Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah ter- jadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi. Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya? Laknat-Ku tetap padanya.’


Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata: ‘Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi mereka.’ Dan semua yang di langit turut berkata: ‘Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat’.”


Sayidina Muaz kemudian menangis teresak-esak dan berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dari apa yang diceritakan ini?”


Sabda Rasulullah SAW: “Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan.”
Muaz bertanya kembali: “Tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?”


Sabda Rasulullah SAW: “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib, maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain. Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan Akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan Akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan. Jangan merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu, kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing jahanam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ‘Di Neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia’.”


Muaz berkata: “Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?”
Jawab Rasulullah SAW: “Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar.”


Jelasnya amal ibadah kita akan tertolak percuma ibarat debu-debu berterbangan kalau keikhlasan hati tidak ada. Untuk menentukan amal ibadah itu ikhlas bukan boleh ditentukan dengan kata-kata seumpama 'saya ikhlas membantu atau saya ikhlas menunaikan haji dan sebagainya. Tepuk dada tanyalah iman kita...
Wallahu a'lam

Friday, March 06, 2009

Menilai Hujjah Golongan Anti Hadith


Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada kesesatan golongan anti hadith ( GAH ). Di antara faktor paling menonjol ialah bahawa mereka mninggalkan petunjuk Sunnah. Bertolak daripada doktrin mereka bahawa "al-Qur'an telah lengkap" (kenyataan ini memang benar tetapi mereka silap dari segi praktisnya), mereka beranggapan boleh belajar sendiri, ambil saja mana-mana terjemahan (rata-rata mereka tak faham pun bahasa Arab), lalu mentafsirkan sendiri mengikut kefahaman mereka. Tindakan mereka ini secara terus menolak fungsi keRasulan, iaitu "mengajar/menerangkan" maksud isi kandungan kitab/al-Qur'an tersebut seperti firmanNya yang bermaksud: "(Kami utus mereka itu) dengan (membawa) keterangan dan kitab-kitab. Kami turunkan kepada engkau (Muhammad) peringatan (i.e al-Qur'an), supaya engkau TERANGKAN kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka, mudah-mudahan mereka memikirkannya" [an-Nahl, 16:44].





Sudah tentu para Rasul yang merupakan manusia terpilih bukan hanya berfungsi seperti 'robot', menyampaikan saja apa-apa yang diwahyukan tanpa ada penjelasan. Kalau demikian, mengapa pula perlunya Rasul sedangkan Allah berkuasa menurunkan terus kitab-kitab tersebut ? Mengapa Rasul mesti dipilih dari kalangan manusia sendiri, sedangkan jika malaikat yang diutuskan misalnya, tentu saja manusia lebih takut dan hormat?







Alasannya, seperti yang diterangkan oleh ayat di atas dan beberapa ayat lagi, untuk menerangkan maksud ayat-ayat yang diturunkan pula secara beransur-ansur itu kepada manusia dalam konteks PRAKTIKALnya, tunjuk-ajar daripada manusia contoh(i.e.Rasul itu sebagai MODEL, rujuk misalnya QS 33:21, 47:33) kepada manusia umum. Inilah konsep pendidikan yang benar di mana guru mestilah mengamalkan dulu apa yang diajarkannya sebelum ajaran mereka diikuti, bukannya konsep pendidikan sekular sekarang yang memisahkan antara apa yang diajar dengan apa yang ditunjukkan dengan perilaku pengajar (i.e "You follow what I taught you, do not do what I did !") yang nyata sekali mengelirukan dan gagal terutamanya dalam membentuk akhlak terpuji.







Konsep pendidikan ini telah diamalkan oleh Islam semenjak dari awal lagi, dan diperturunkan dari generasi ke generasi di mana as-sunnah diambilkira sebagai "alat" dan petunjuk utama dalam mempelajari dan memahami al-Qur'an seperti mafhum hadith: "Sebaik-baik hadis ialah Kitabullah(i.e al-Qur'an) dan sebaik-baik PETUNJUK adalah daripada Rasulullah. Setiap perkara baru (bida'ah) itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu (sudahnya) dalam neraka" [Sahih Bukhari].








Maka dalam konteks ini, golongan anti-hadis telah melakukan BIDA'AH yang haqiqi, yang sudah pasti membawa kesesatan apabila mereka membelakangkan as-sunnah. Perbuatan mereka adalah contoh penting untuk isu bida'ah kerana amalan mereka ini memang amalan baru, yang tidak pernah diamalkan oleh golongan sebelumnya dan ia jelas bertentangan dengan maksud hadis di atas.Ia bertepatan dengan takrif bida'ah sendiri iaitu: "Suatu amalan baru yang TIADA berpandukan petunjuk nas (sama ada secara terus atau tersirat)". Maka kesan dari perbuatan ini, mereka telah sesat jauh daripada kebenaran. Sehubungan dengan faktor ini, antara contoh kesilapan mereka dalam memahami al-Qur'an, ialah mereka menganggap:










i) Tidak boleh menulis apa-apa lagi berkenaan agama kecuali yang termaktub dalam al-Qur'an:
Antara hujjah mereka ialah ayat 2:79 yang bermaksud: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata: 'Ini dari sisi Allah!', ...". Begitu juga ayat 3:78, 9:31. Oleh kerana mereka tidak berpandukan as-sunnah, mereka gagal menanggapi KONTEKS ayat-ayat ini yang merujuk kepada tindak-tanduk para rahib dari kalangan ahli kitab yang telah meminda kitab Taurat, Zabur dan Injil dan mengatakan ia termasuk dalam ajaran kitab tersebut. Akibatnya, rosaklah kandungan sebenar kitab-kitab tersebut dengan isinya bercampur-baurantara isi asal dengan 'sumbangan' para rahib yang menjadikan kitab tersebut bukan lagi asli contohnya Bible sekarang yang tidak boleh dipakai lagi.










Manakala para ulamak Islam, tidak pernah berusaha untuk meminda al-Qur'an, apa yang mereka tulis adalah kitab-kitab yang mengandungi maksud dan faham yang diambil daripada al-Qur'an untuk memudahkan orang awam memahami isi al-Qur'an. Ia seumpama "memberi ulasan" kepada kitab Allah, berdasarkan pengkajian dan fahaman mereka yang bertahun-tahun mengkaji kitab tersebut,supaya masyarakat lebih mengerti terhadap maksud al-Qur'an. Mereka tidak pernah mendakwa kitab-kitab mereka sebagai alternatif atau saingan kepadaal-Qur'an. Isi kandungan al-Qur'an tetap kekal tanpa dicampuri atau ditokok-tambah, tidak seperti yang dibuat oleh para rahib ahli kitab. Konteks ayat-ayat tersebut menyentuh tentang usaha para rahib untuk memindadan menokok-tambah kitab Allah, sedangkan tiada seorangpun ulama yang dikaitkan oleh mereka berbuat demikian.








Maka kefahaman mereka terhadap ayat-ayat di atas adalah silap dan kesilapan begini mendorong mereka kepada salah-laku dan tanggapan yang salah terhadap para ulama, lantas mendorong mereka kepada kesesatan.








ii) Ayat 5:77, mereka faham larangan berlebihan dalam agama dalam konteks yang melampaui maksud ayat ini.









Bagi mereka segala apa perbuatan ibadat, kalau tidak ada suruhan khusus dalam al-Qur'an maka ia haram termasuklah amalan-amalan sunat wudhuk (e.g. berkumur-kumur, basuh hidung dll) yang tidak terkandung dalam arahan berwudhuk pada ayat 5:6. Maka jika kita perhatikan faham ini, banyak sekali amalan sunnah ditafsirkan sebagai HARAM oleh mereka padahal semua amalan itu adalah baik sekali untuk menyempurnakan lagi arahan al-Qur'an itu (tanpa memberatinya), alangkah sempitnya fahaman mereka. Padahal, kalau kita lihat terus ayat inipun kita boleh tahu konteksnya. Perhatikan maksudnya: "Katakanlah: Hai AHLI KITAB, janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agamamu SELAIN DARI KEBENARAN dan janganlah kamu turut hawa nafsu kaum yang sesat sebelum itu dan menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka telah sesat dari jalan yang lurus" [al-Maaidah; 5:77].











Ayat ini bermula dengan arahan kepada Rasulullah ('Qul') supaya menyeru golongan ahli kitab supaya mereka tidak bersikap melampau dalam agama mereka dan tersesat seperti golongan TERDAHULU, dan mengajak mereka kembali kepada kebenaran. Golongan terdahulu di sini termasuklah para pengikut Nabi Musa yang berlebihan bertanya Nabi Musa (AS) dalam banyak hal sehingga menyusahkan [rujuk kisahnya pada ayat 67-71 tentang penyembelihan sapi dan ayat 108 sebagai teguran dari Allah, bersikap melampau sehingga melanggar perjanjian dengan Allah(5:13), dan sikap kecintaan dan pemujaan yang berlebihan kepada Nabi Isa(AS) sehingga sanggup meletakkan baginda sebagai 'anak Tuhan'(5:72)]. Inilah yang dimaksudkan sebagai sikap melampau di sini, iaitu keterlaluan dalam melakukan sesuatu sehingga melanggar batasan yang dibenarkan oleh syarak.











iii) Ayat 2:187, yang menyebutkan 'berpuasa sampai waktu malam'.








Mereka menganggap amalan sekarang yang berbuka pada waktu maghrib/senja telah mengingkari maksud ayat ini. Reaksi spontan saya apabila membaca komentar mereka ialah "Aik! Bila agaknya mereka ni berbuka?". Di sinilah antara contoh peranan sunnah menjelaskan bahawa batasan antara malam dan siang itu adalah pada ketika jatuhnya matahari, iaitu pada waktu magrib. Pada ketika ini berakhirlah siang dan bermulalah waktu malam, maka bolehlah berbuka.








Kenyataan sunnah ternyata benar akhirnya apabila dipersetujui oleh kajian ilmu falak/astronomi kerana pada waktu sianghari, sumbangan cahaya dimainkan oleh matahari, maka apabila matahari terbenam, tamatlah siang dan bermulalah waktu malam. Dengan ini juga, sunnah telah mengaitkan hakikat "malam" disini dengan menunjukkannya 'batas antara malam dan siang' dan mengaitkannya dengan banyak ayat lain misal ayat berikut yang bermaksud: "Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar, hingga waktu yang ditetapkan ..." [al-Faathir, 35:13].














Pendek kata memang peranan Rasul (i.e, as-sunnah) untuk menjelaskan banyak kenyataan di dalam al-Qur'an, bukan pula bermaksud al-Qur'an itu tidak lengkap tetapi manusia dengan kelemahannya mudah keliru seperti yang ditunjukkan oleh fahaman golongan anti-hadith ini. Sebab itulah juga banyak ayat-ayat al-Qur'an menyuruh kita "mentaati Rasul" dan mengambil Baginda sebagai model ikutan. Kenyataan-kenyataan ini merupaka 'clue'/petanda jelas supaya merujuk sunnah.








Dengan menolak kepentingan sunnah ini bukan sahaja menunjukkan keengkaran terhadap perintah Allah, bahkan menolak 'perkaitan'antara al-Qur'an dengan as-sunnah yang menyebabkan al-Qur'an itu lengkap. Menolak ayat-ayat ini bererti menolak sebahagian daripada maksud al-Qur'an itu sendiri, maka tentu sekali fahaman mereka tidak lengkap, bukannya al-Qur'an !







Nyata sekali di sini, oleh kerana golongan anti-hadith menolak as-sunnah, mereka dalam banyak ketika akan keliru dan meletakkan maksud ayat-ayat al-Qur'an bukan pada konteksnya, memahami ayat dalam kefahaman yang salah, meletakkan hukum tidak kena tempatnya, membaca al-Qur'an hanya melalui terjemahan. Apa yang saya maksudkan di sini ialah golongan yang CUMA membaca terjemahan al-Qur'an sahaja tetapi telah beranggapan bahawa mereka telahpun membaca al-Qur'an. Sehubungan dengan ini, saya tidak menyukai terjemahan al-Qur'an semata-mata tanpa disertai teks asal kerana ia boleh mengelirukan kita (oleh itu, buku "Bacaan" karya Othman Ali tidak dapat saya akui malahan patut dikeji pula kerana penterjemahnya sendiri pernah menyatakan bahawa beliau "tidak arif tentang bahasa Arab!"), seolah-olah terjemahan itu adalah "alternatif" kepada teks asal al-Qur'an padahal tiada satupun terjemahan yang boleh dianggap setaraf dengan al-Qur'an.








Ayat-ayat al-Qur'an adalah sangat unik, setiap hurufnya mempunyai makna tersendiri, unik dan susunan ayatnya tidak akan mampu ditandingi oleh manusia (rujuk misalnya cabaran Allah melalui ayat 23-24, surah al-Baqarah). Saya bawakan satu lagi contoh bagaimana siratan maksud terselit di dalam bahasa asal al-Qur'an. Kali ini, berkenaan dengan kekuasaan Allah iaitu keupayaan "kun fayakun' sepertimana maksud ayat kedua terakhir surah Yaasin:
"Hanya urusanNya, bila Ia menghendaki (mengadakan) sesuatu, Ia berkata kepadanya : 'Jadilah (engkau)!', lalu jadilah ia" [Yaasin; 36:82].









Bila kita merujuk teks asal, perkataan yang digunakan ialah 'kun' iaitu simpulan huruf 'kaf' dengan 'nun'. Apabila kita sebut sahaja huruf 'kaf' disini, dengan serentak, huruf 'nun' akan menurutinya (sebagaimana urutan abjad alif, ba,ta ) yang mengikut sesetengah tafsir menjadi petunjuk bahawa antara keistimewaan kekuasaan Allah ialah apabila Dia berkehendakkan (iradat) sesuatu berlaku, maka sesuatu itu akan berlaku tanpa ada sedikitpun selang masa! Itulah antara kelebihan Allah diatas makhlukNya, Dia bukan sahaja tidak memerlukan sesuatu untuk mencipta (lain halnya dengan manusia mencipta sesuatu daripada benda-benda yang sudahpun ada) malahan Allah juga tidak beruntukkan masa, bila berlaku iradat Allah terhadap sesuatu maka pada saat itu juga sesuatu itu berlaku.










Inilah antara maksud yang ditunjukkan secara tersirat di dalam perkataan 'kun' tersebut. Banyak lagi contoh lain yang menunjukkan bahawa terjemahan oleh manusia walaupun setinggi manapun ilmunya tidak akan dapat mencakupi kesemua maksud yang tersirat di dalam al-Qur'an. Maka tidak ada satupun terjemahan yang sempurna. Adapun terjemahan biasa yang terdapat di pasaran adalah dialu-alukan kerana ia disertakan dengan teks asal, demi untuk memudahkan sesiapa sahaja mengambil serba sedikit pengertian daripada ayat-ayat yang dibaca.









Walau bagaimanapun, untuk mendalami isi al-Qur'an seseorang itu perlulah mempelajari bahasa al-Qur'an itu sendiri iaitu bahasa Arab. Manakala buku-buku tafsir pula adalah patut dirujuk kerana ia adalah PANDUAN yang diberikan oleh para pentafsir yang sudah bertahun-tahun mengkaji al-Qur'an dan amat mahir dalam ilmu pengkajian al-Qur'an ini. Mereka menghabiskan usia dan tenaga mereka untuk mengkaji al-Qur'an demi untuk membantu ummat memahaminya sebaik mungkin. Maka, inilah yang dimaksudkan dengan rantaian murni ahli sunnah;







"Sebaik-baik hadis adalah al-Qur'an, sebaik-baik pembimbing (guru utama yang mengajarkan al-Qur'an) adalah RasuluLlah (SAW), kemudian tugas Rasul ini diwarisi oleh para ulama" .

Wednesday, March 04, 2009

Nuzul Al-Quran ; Suatu Penghayatan

Bagi sebilangan besar umat Islam, Al-Quran telah menjadi suatu yang wajib dibaca setiap hari. Mereka akan memulakan kehidupan seharian dengan menangkap dahulu ‘pesan Tuhan’ sebelum melakukan sesuatu yang lainnya. Manusia nampaknya amat memerlukan wahyu untuk menyiram jiwa yang sentiasa haus dengan nilai-nilai luhur. Ayat-ayat Al-Quran, jika dibaca dengan bahasa hati, mampu membersih dan memberikan kesegaran kepada rohani, kerana jiwa, sama juga seperti iman, mempunyai banyak tingkatan dan tahap yang berbeza-beza. Ada yang jernih dan sangat putih bersih, manakala yang lain ada yang agak kotor dan kelam keadaannya.

Ada juga yang lebih teruk, jiwanya telah mati dan keras, sehingga tidak dapat lagi menangkap segala pesan kebaikan. Tompokan karat telah menembus masuk kedalam jiwanya, sehingga tidak ada lagi cahaya gemerlapan didalamnya. Maka ketika ini Al-Quran akan mengambil peranan bagi membersihkan segala karat kotoran itu. Berdasarkan fungsi itulah, Turunnya Al-Quran yang direka khusus untuk manusia sebenarnya merupakan satu peristiwa yang paling besar pernah berlaku di langit dan juga bumi. Dan sepanjang lebih 1427 tahun semenjak Al-Quran diturunkan, ia telah menghasilkan berbagai peristiwa hebat, dengan kehadirannya telah banyak mencorakkan kehidupan, dan juga pemikiran manusia.



Penurunan wahyu sangat memeranjatkan seluruh kehidupan di alam ini. Tahukah anda bagaimana suasana ketika wahyu mula dinyatakan Tuhan? Keadaannya cukup dasyat dan menggemparkan. Langit bergoncang kuat disebabkan ketakutan yang tidak pernah dirasakan sebelum itu. Para malaikat yang selama ini aman tenteram tiba-tiba memukul-mukulkan sayapnya, mungkin kerana terpengaruh dengan peristiwa luabiasa yang sedang terjadi. Penghuni langit pula lebih hebat keadaannya, ada yang pengsan, manakala yang lain terus sujud dalam keadaan menggigil, takut kepada yang Maha Esa. Yang pertama kali diberikan peluang mengangkat muka hanyalah Jibril, ketua malaikat. Nampaknya, wahyu telah menyebarkan satu kuasa yang amat hebat kepada mereka.

Ketika itu, Allah telah menunjukkan antara koleksi kehebatan kekuasaanNya dengan caraNya tersendiri, cara yang dianggap sangat misteri bagi makhlukNya. Penurunan wahyu yang dimulai dengan peristiwa yang sangat mengkagumkan ini sebenarnya amat penting untuk menyerlahkan kehebatan Al-Quran selaku sebuah kitab yang bakal menguasai seluruh dunia.

Anda juga sedia mengetahui, Rasulullah bukanlah manusia pertama menerima wahyu. Bahkan sebelum ini utusanNya yang lain pernah menerima perkara yang sama. Nabi Daud dengan Zaburnya, Nabi Musa dengan Tauratnya dan Nabi Isa dengan Injilnya. Masing-masing menerima wahyu berbentuk perintah tertentu untuk dilaksanakan, khusus untuk umat dan kaum masing-masing.

Maka pada kali ini, akan digambarkan serba-sedikit tentang cara wahyu diturunkan, keadaan Rasulullah ketika menerimanya, dan fakta mengenai Asbabun Nuzul secara sepintas lalu. Sebenarnya, penulisan tajuk ini, jika diperincikan, akan dipenuhi dengan teori ilmiah dan istilah yang sangat teknikal. Untuk lebih memahaminya dengan lebih mendalam, terdapat sejumlah koleksi buku-buku yang membincangkannya.


Cara-cara penurunan al-Quran adalah sebagaimana berikut;

1 . Ketika pertama kali Al-Quran diturunkan, ia dimulai dengan pengumpulan secara sekaligus. Allah dengan segala Maha KekuasaanNya, telah menurunkan, dan mengumpulkan keseluruhan Al-Quran di Luh Mahfuz, iaitu satu tempat yang amat mulia dan suci. Tempat di mana manusia sendiri tidak dapat membayangkan akan kehebatannya melalui akal fikiran. Ternyata ketika ini, Allah sejak awal lagi telah menunjukkan kemutlakan kebijaksanaanNya, dengan menentukan segala apa yang tercatat disitu akan benar-benar berlaku. Kepada kita, keyakinan akan kemuliaan Al-Quran di Luh Mahfuz dinyatakan begitu jelas sekali dalam FirmanNya yang bermaksud :

Bahkan ia adalah Al Qur’an yang tertinggi kemuliaannya, (lagi terpelihara dengan sebaik-baiknya) di Luh Mahfuz. (Surah Al-Buruj, ayat 21-22)

2 . Penurunan kedua ialah, ia diturunkan secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia, pada malam yang penuh dengan kemuliaan, iaitu Malam Lailatul Qadar di bulan Ramadan.


Nampaknya, penurunan Al-Quran yang pertama kali pada malam Lailatul Qadar sebenarnya lebih merupakan satu ‘pengumuman awal’ kepada semua penduduk langit akan kehebatan dan kemuliaan Nabi Muhammad. Ketika ini juga, segala penduduk langit menyedari, bahawa Allah telah meninggikan martabat penduduk dunia dengan turunnya Al-Quran yang begitu sangat mulia itu. Ia memang merupakan hadiah yang paling sempurna bakal dikurniakan kepada Baginda Rasulullah. Hadiah itu pula, diturunkan pada malam dan bulan yang teramat istimewa. seperti yang dicatatkan dalam maksud ayat dibawah ini :

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza – Surah Al- Baqarah, 185.

Sesungguhnya, kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadar. Ia lebih baik dari 1000 bulan. Surah Al-Qadar, 1-3.

3 . Ia kemudiannya diturunkan beransur-ansur kepada Rasulullah melalui perantaraan Malaikat Jibril. Selepas melalui 2 peristiwa hebat di atas, Al-Quran tidak diturunkan secara spontan begitu sahaja kepada Baginda Rasul. Ia diturunkan sedikit demi sedikit, ditandai dengan menjelmanya Malaikat Jibril dihadapan Rasulullah di Gua Hira’, tepatnya ketika Baginda berusia 40 tahun. Bagi kita semua, Ibnu Abbas menyatakan: Al-Quran itu diturunkan pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadan ke langit dunia secara sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur.

Perjalanan Al-Quran menemui manusia secara beransur-ansur tentunya mempunyai hikmah dan rahsia disebaliknya. Allah, selaku Tuhan yang memiliki keluasan ilmu yang cukup misteri dan mustahil untuk diterokai oleh manusia, telah mengaturkan segalanya dengan cukup sempurna menurut kehendakNya.

Dan Al Qur’an itu telah Kami turunkan secara beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian. Surah Al-Isra’, ayat 106.


Itu dalil Qurannya. Dan peristiwa ini berlangsung selama 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari, bermula dari 17 Ramadan Tahun 610 Masehi hinggalah wakyu terakhir tiba untuk melengkapkan Al-Quran pada 9 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah

Tuesday, March 03, 2009

Doakan Kesejahteraan dan Kesihatan Us Adnan Yaakob

Satu khabar yang baru diterima bahawa Ustaz Adnan Yaakob mengalami stoke sejak semalam. Anggota sebelah kiri beliau tidak berfungsi dengan baik. Sekarang beliau sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang. Bagi pihak beliau menyeru semua sahabat handai yang dekat dan mengenali beliau agar dapat kiranya sama-sama kita bersolat hajat memohon kesembuhan dari penyakitnya. Amin

Monday, March 02, 2009

Membaca Tasbih Kaffarah di akhir majlis


1) Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW telah berkata: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan Segala Puji BagiMu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan taubat daripada Engkau) melainkan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu”.[1]



2) Daripada Abu Barzah RA berkata: Rasulullah SAW pernah menyebut pada hujung usia baginda apabila baginda hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan Segala Puji BagiMu, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan taubat daripada Engkau). Maka berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah menyebut suatu ucapan yang mana tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini. Berkata (Rasulullah SAW): “Ia merupakan kaffarah (penebus dosa) terhadap apa yang berlaku dalam majlis”.[2]




3) Daripada Abdullah bin Amr bin Al-As: Sesungguhnya baginda (SAW) telah berkata: “Suatu ucapan yang tidak diucapkan oleh seseorang apabila hendak bangun meninggalkan majlis sebanyak 3 kali melainkan dihapuskan dosa yang telah dilakukan dalamnya, dan tidak diucapkannya dalam suatu majlis yang baik dan majlis zikir melainkan ditutup dengan ucapan itu:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan Segala Puji BagiMu, tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan dan taubat daripada Engkau).[3]



4) Daripada Ibnu Umar berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW biasa menyebut sebelum meninggalkan suatu majlis sebanyak 100 kali:


رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الْغَفُوْرُ

(Ya Tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau adalah Maha Penerima Taubat dan Maha Pengampun).[4]

Huraian hadis:[5]

1- Yang dimaksudkan dengan ‘banyak salah dan silap’ ialah percakapan yang bercampur dengan maksud yang tidak jelas. Maksud yang didapati dalam hadis ini ialah percakapan yang tidak memberi manfaat untuk akhirat.

2- Disyariatkan untuk membaca doa ini setiap kali selepas selesai sesuatu majlis kerana ia boleh menghapuskan segala dosa yang telah dilakukan dalamnya. Akan tetapi, para ulama mengkhususkannya pada dosa kecil sahaja berdasarkan dalil yang didapati dari hadis-hadis yang lain.

3- Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa dengan doa ini sebagai pengajaran kepada umat baginda dan menambahkan pahala dan bukan kerana baginda telah melakukan suatu kesalahan dalam majlis.



Ulasan:

Sama ada untuk memanggil doa ini sebagai Tasbih Kaffarah atau Kaffarah Majlis tidaklah begitu penting bagi saya. Umat Islam di Malaysia ini pun sudah biasa memanggil doa ini sebagai Tasbih Kaffarah.



Namun demikian, masyarakat kita masih lagi belum menjadikan doa ini sebagai rutin dan amalan biasa apabila selesai atau menutup sesuatu majlis. Tidak seperti doa pembuka majlis sama ada dengan hanya membaca Basmalah, Surah Al-Fatihah atau doa-doa tertentu yang memang dimasukkan secara rasmi dalam agenda dan tentatif majlis.


Selain itu, kita juga perlu perluaskan amalan doa ini bukan sahaja dalam majlis-majlis rasmi atau mesyuarat yang diadakan di dalam suatu tempat yang tertutup tetapi juga di tempat-tempat yang terbuka seperti majlis perhimpunan dan sebagainya. Para pendidik juga boleh mengambil contoh perbuatan Nabi SAW ini untuk diaplikasikan apabila selesai suatu pengajaran atau majlis ilmu di dalam bilik kelas, dewan kuliah dan sebagainya. Biarlah majlis yang diadakan itu mendapat keampunan, keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT kerana kita telah memeliharanya dengan memulakan majlis dengan berdoa dan mengakhiri majlis juga dengan berdoa.


Adakah perlu membaca Surah Al-Asr juga?Adapun amalan membaca Surah Al-Asr sebelum mengakhiri suatu majlis mungkin diambil dari amalan para sahabat Nabi SAW ini:At-Thabrani telah menyebutkan daripada Ubaidillah bin Hafs berkata: “Dua orang sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa, mereka tidak pernah berpisah melainkan salah seorang membaca Surah Al-Asr sehingga akhirnya, kemudian mereka saling memberi salam antara satu sama lain”.[6]

Sekian, Wallahu a'lam.




[1] Direkodkan oleh Tarmizi (no. 3433), beliau berkata: Hadis Hasan Sahih.

[2] Direkodkan oleh Abu Daud (no. 4859) dan Al-Hakim Abu Abdillah dalam Al-Mustadrak daripada Aisyah RA, beliau berkata: Isnad Sahih.

[3] Direkodkan oleh Abu Daud (no. 4857).

[4] Direkodkan oleh Tarmizi (no. 3434).

[5] Lihat: Mustafa Al-Bugha dan lain-lain, Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadhus Salihin, 1/568-569, Beirut: Muassasah Risalah (1996).

[6] Direkodkan oleh Baihaqi daripada Abu Huzaifah. Saya menukilkan terus dari At-Tafsir Al-Munir karangan Dr Wahbah Az-Zuhaily tentang kelebihan Surah Al-Asr.

Sunday, March 01, 2009

Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Dinisbahkan kepada Rasulullah?

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (1417H) telah memberi komentar tentang kata-kata yang popular di kalangan masyarakat ini dengan menjelaskan[1]:“Bahawa kata-kata ini: ‘Menuntut ilmu dari buaian ke liang lahad’, atau yang disebut sebagai ‘Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad’, bukanlah Hadis Nabi SAW, tetapi ia merupakan kata-kata manusia, maka tidak harus untuk menisbahkannya kepada Rasulullah SAW sepertimana yang selalu orang katakan.

Ini adalah kerana tidak boleh menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah SAW melainkan hanya apa yang benar baginda ucapkan atau lakukan atau perakukan.Walaupun kata-kata ini betul dan benar maksudnya, tetapi ia tetap tidak diharuskan untuk menisbahkannya kepada Nabi SAW.Hadis palsu ini “Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad” sangat popular dan masyhur di kalangan manusia, akan tetapi adalah menghairankan bahawa kitab-kitab yang menghimpunkan ‘hadis-hadis yang masyhur’ tidak pernah menyebutkannya”.

[1] Lihat: Abu Ghuddah, Abdul Fattah (1417H), Qiimatu Az-Zaman ‘indal Ulama, m/s 29, Maktabah Al-Mathbu’aat Al-Islamiah (Cetakan Kesepuluh)
FREE PALESTINE

My Blog List