SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Wednesday, March 04, 2009

Nuzul Al-Quran ; Suatu Penghayatan

Bagi sebilangan besar umat Islam, Al-Quran telah menjadi suatu yang wajib dibaca setiap hari. Mereka akan memulakan kehidupan seharian dengan menangkap dahulu ‘pesan Tuhan’ sebelum melakukan sesuatu yang lainnya. Manusia nampaknya amat memerlukan wahyu untuk menyiram jiwa yang sentiasa haus dengan nilai-nilai luhur. Ayat-ayat Al-Quran, jika dibaca dengan bahasa hati, mampu membersih dan memberikan kesegaran kepada rohani, kerana jiwa, sama juga seperti iman, mempunyai banyak tingkatan dan tahap yang berbeza-beza. Ada yang jernih dan sangat putih bersih, manakala yang lain ada yang agak kotor dan kelam keadaannya.

Ada juga yang lebih teruk, jiwanya telah mati dan keras, sehingga tidak dapat lagi menangkap segala pesan kebaikan. Tompokan karat telah menembus masuk kedalam jiwanya, sehingga tidak ada lagi cahaya gemerlapan didalamnya. Maka ketika ini Al-Quran akan mengambil peranan bagi membersihkan segala karat kotoran itu. Berdasarkan fungsi itulah, Turunnya Al-Quran yang direka khusus untuk manusia sebenarnya merupakan satu peristiwa yang paling besar pernah berlaku di langit dan juga bumi. Dan sepanjang lebih 1427 tahun semenjak Al-Quran diturunkan, ia telah menghasilkan berbagai peristiwa hebat, dengan kehadirannya telah banyak mencorakkan kehidupan, dan juga pemikiran manusia.



Penurunan wahyu sangat memeranjatkan seluruh kehidupan di alam ini. Tahukah anda bagaimana suasana ketika wahyu mula dinyatakan Tuhan? Keadaannya cukup dasyat dan menggemparkan. Langit bergoncang kuat disebabkan ketakutan yang tidak pernah dirasakan sebelum itu. Para malaikat yang selama ini aman tenteram tiba-tiba memukul-mukulkan sayapnya, mungkin kerana terpengaruh dengan peristiwa luabiasa yang sedang terjadi. Penghuni langit pula lebih hebat keadaannya, ada yang pengsan, manakala yang lain terus sujud dalam keadaan menggigil, takut kepada yang Maha Esa. Yang pertama kali diberikan peluang mengangkat muka hanyalah Jibril, ketua malaikat. Nampaknya, wahyu telah menyebarkan satu kuasa yang amat hebat kepada mereka.

Ketika itu, Allah telah menunjukkan antara koleksi kehebatan kekuasaanNya dengan caraNya tersendiri, cara yang dianggap sangat misteri bagi makhlukNya. Penurunan wahyu yang dimulai dengan peristiwa yang sangat mengkagumkan ini sebenarnya amat penting untuk menyerlahkan kehebatan Al-Quran selaku sebuah kitab yang bakal menguasai seluruh dunia.

Anda juga sedia mengetahui, Rasulullah bukanlah manusia pertama menerima wahyu. Bahkan sebelum ini utusanNya yang lain pernah menerima perkara yang sama. Nabi Daud dengan Zaburnya, Nabi Musa dengan Tauratnya dan Nabi Isa dengan Injilnya. Masing-masing menerima wahyu berbentuk perintah tertentu untuk dilaksanakan, khusus untuk umat dan kaum masing-masing.

Maka pada kali ini, akan digambarkan serba-sedikit tentang cara wahyu diturunkan, keadaan Rasulullah ketika menerimanya, dan fakta mengenai Asbabun Nuzul secara sepintas lalu. Sebenarnya, penulisan tajuk ini, jika diperincikan, akan dipenuhi dengan teori ilmiah dan istilah yang sangat teknikal. Untuk lebih memahaminya dengan lebih mendalam, terdapat sejumlah koleksi buku-buku yang membincangkannya.


Cara-cara penurunan al-Quran adalah sebagaimana berikut;

1 . Ketika pertama kali Al-Quran diturunkan, ia dimulai dengan pengumpulan secara sekaligus. Allah dengan segala Maha KekuasaanNya, telah menurunkan, dan mengumpulkan keseluruhan Al-Quran di Luh Mahfuz, iaitu satu tempat yang amat mulia dan suci. Tempat di mana manusia sendiri tidak dapat membayangkan akan kehebatannya melalui akal fikiran. Ternyata ketika ini, Allah sejak awal lagi telah menunjukkan kemutlakan kebijaksanaanNya, dengan menentukan segala apa yang tercatat disitu akan benar-benar berlaku. Kepada kita, keyakinan akan kemuliaan Al-Quran di Luh Mahfuz dinyatakan begitu jelas sekali dalam FirmanNya yang bermaksud :

Bahkan ia adalah Al Qur’an yang tertinggi kemuliaannya, (lagi terpelihara dengan sebaik-baiknya) di Luh Mahfuz. (Surah Al-Buruj, ayat 21-22)

2 . Penurunan kedua ialah, ia diturunkan secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia, pada malam yang penuh dengan kemuliaan, iaitu Malam Lailatul Qadar di bulan Ramadan.


Nampaknya, penurunan Al-Quran yang pertama kali pada malam Lailatul Qadar sebenarnya lebih merupakan satu ‘pengumuman awal’ kepada semua penduduk langit akan kehebatan dan kemuliaan Nabi Muhammad. Ketika ini juga, segala penduduk langit menyedari, bahawa Allah telah meninggikan martabat penduduk dunia dengan turunnya Al-Quran yang begitu sangat mulia itu. Ia memang merupakan hadiah yang paling sempurna bakal dikurniakan kepada Baginda Rasulullah. Hadiah itu pula, diturunkan pada malam dan bulan yang teramat istimewa. seperti yang dicatatkan dalam maksud ayat dibawah ini :

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza – Surah Al- Baqarah, 185.

Sesungguhnya, kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah itu Lailatul Qadar. Ia lebih baik dari 1000 bulan. Surah Al-Qadar, 1-3.

3 . Ia kemudiannya diturunkan beransur-ansur kepada Rasulullah melalui perantaraan Malaikat Jibril. Selepas melalui 2 peristiwa hebat di atas, Al-Quran tidak diturunkan secara spontan begitu sahaja kepada Baginda Rasul. Ia diturunkan sedikit demi sedikit, ditandai dengan menjelmanya Malaikat Jibril dihadapan Rasulullah di Gua Hira’, tepatnya ketika Baginda berusia 40 tahun. Bagi kita semua, Ibnu Abbas menyatakan: Al-Quran itu diturunkan pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadan ke langit dunia secara sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur.

Perjalanan Al-Quran menemui manusia secara beransur-ansur tentunya mempunyai hikmah dan rahsia disebaliknya. Allah, selaku Tuhan yang memiliki keluasan ilmu yang cukup misteri dan mustahil untuk diterokai oleh manusia, telah mengaturkan segalanya dengan cukup sempurna menurut kehendakNya.

Dan Al Qur’an itu telah Kami turunkan secara beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian. Surah Al-Isra’, ayat 106.


Itu dalil Qurannya. Dan peristiwa ini berlangsung selama 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari, bermula dari 17 Ramadan Tahun 610 Masehi hinggalah wakyu terakhir tiba untuk melengkapkan Al-Quran pada 9 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah

No comments:

Post a Comment

Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan

FREE PALESTINE

My Blog List