Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada kesesatan golongan anti hadith ( GAH ). Di antara faktor paling menonjol ialah bahawa mereka mninggalkan petunjuk Sunnah. Bertolak daripada doktrin mereka bahawa "al-Qur'an telah lengkap" (kenyataan ini memang benar tetapi mereka silap dari segi praktisnya), mereka beranggapan boleh belajar sendiri, ambil saja mana-mana terjemahan (rata-rata mereka tak faham pun bahasa Arab), lalu mentafsirkan sendiri mengikut kefahaman mereka. Tindakan mereka ini secara terus menolak fungsi keRasulan, iaitu "mengajar/menerangkan" maksud isi kandungan kitab/al-Qur'an tersebut seperti firmanNya yang bermaksud: "(Kami utus mereka itu) dengan (membawa) keterangan dan kitab-kitab. Kami turunkan kepada engkau (Muhammad) peringatan (i.e al-Qur'an), supaya engkau TERANGKAN kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka, mudah-mudahan mereka memikirkannya" [an-Nahl, 16:44].
Sudah tentu para Rasul yang merupakan manusia terpilih bukan hanya berfungsi seperti 'robot', menyampaikan saja apa-apa yang diwahyukan tanpa ada penjelasan. Kalau demikian, mengapa pula perlunya Rasul sedangkan Allah berkuasa menurunkan terus kitab-kitab tersebut ? Mengapa Rasul mesti dipilih dari kalangan manusia sendiri, sedangkan jika malaikat yang diutuskan misalnya, tentu saja manusia lebih takut dan hormat?
Alasannya, seperti yang diterangkan oleh ayat di atas dan beberapa ayat lagi, untuk menerangkan maksud ayat-ayat yang diturunkan pula secara beransur-ansur itu kepada manusia dalam konteks PRAKTIKALnya, tunjuk-ajar daripada manusia contoh(i.e.Rasul itu sebagai MODEL, rujuk misalnya QS 33:21, 47:33) kepada manusia umum. Inilah konsep pendidikan yang benar di mana guru mestilah mengamalkan dulu apa yang diajarkannya sebelum ajaran mereka diikuti, bukannya konsep pendidikan sekular sekarang yang memisahkan antara apa yang diajar dengan apa yang ditunjukkan dengan perilaku pengajar (i.e "You follow what I taught you, do not do what I did !") yang nyata sekali mengelirukan dan gagal terutamanya dalam membentuk akhlak terpuji.
Konsep pendidikan ini telah diamalkan oleh Islam semenjak dari awal lagi, dan diperturunkan dari generasi ke generasi di mana as-sunnah diambilkira sebagai "alat" dan petunjuk utama dalam mempelajari dan memahami al-Qur'an seperti mafhum hadith: "Sebaik-baik hadis ialah Kitabullah(i.e al-Qur'an) dan sebaik-baik PETUNJUK adalah daripada Rasulullah. Setiap perkara baru (bida'ah) itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu (sudahnya) dalam neraka" [Sahih Bukhari].
Maka dalam konteks ini, golongan anti-hadis telah melakukan BIDA'AH yang haqiqi, yang sudah pasti membawa kesesatan apabila mereka membelakangkan as-sunnah. Perbuatan mereka adalah contoh penting untuk isu bida'ah kerana amalan mereka ini memang amalan baru, yang tidak pernah diamalkan oleh golongan sebelumnya dan ia jelas bertentangan dengan maksud hadis di atas.Ia bertepatan dengan takrif bida'ah sendiri iaitu: "Suatu amalan baru yang TIADA berpandukan petunjuk nas (sama ada secara terus atau tersirat)". Maka kesan dari perbuatan ini, mereka telah sesat jauh daripada kebenaran. Sehubungan dengan faktor ini, antara contoh kesilapan mereka dalam memahami al-Qur'an, ialah mereka menganggap:
i) Tidak boleh menulis apa-apa lagi berkenaan agama kecuali yang termaktub dalam al-Qur'an:
Antara hujjah mereka ialah ayat 2:79 yang bermaksud: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata: 'Ini dari sisi Allah!', ...". Begitu juga ayat 3:78, 9:31. Oleh kerana mereka tidak berpandukan as-sunnah, mereka gagal menanggapi KONTEKS ayat-ayat ini yang merujuk kepada tindak-tanduk para rahib dari kalangan ahli kitab yang telah meminda kitab Taurat, Zabur dan Injil dan mengatakan ia termasuk dalam ajaran kitab tersebut. Akibatnya, rosaklah kandungan sebenar kitab-kitab tersebut dengan isinya bercampur-baurantara isi asal dengan 'sumbangan' para rahib yang menjadikan kitab tersebut bukan lagi asli contohnya Bible sekarang yang tidak boleh dipakai lagi.
Manakala para ulamak Islam, tidak pernah berusaha untuk meminda al-Qur'an, apa yang mereka tulis adalah kitab-kitab yang mengandungi maksud dan faham yang diambil daripada al-Qur'an untuk memudahkan orang awam memahami isi al-Qur'an. Ia seumpama "memberi ulasan" kepada kitab Allah, berdasarkan pengkajian dan fahaman mereka yang bertahun-tahun mengkaji kitab tersebut,supaya masyarakat lebih mengerti terhadap maksud al-Qur'an. Mereka tidak pernah mendakwa kitab-kitab mereka sebagai alternatif atau saingan kepadaal-Qur'an. Isi kandungan al-Qur'an tetap kekal tanpa dicampuri atau ditokok-tambah, tidak seperti yang dibuat oleh para rahib ahli kitab. Konteks ayat-ayat tersebut menyentuh tentang usaha para rahib untuk memindadan menokok-tambah kitab Allah, sedangkan tiada seorangpun ulama yang dikaitkan oleh mereka berbuat demikian.
Maka kefahaman mereka terhadap ayat-ayat di atas adalah silap dan kesilapan begini mendorong mereka kepada salah-laku dan tanggapan yang salah terhadap para ulama, lantas mendorong mereka kepada kesesatan.
ii) Ayat 5:77, mereka faham larangan berlebihan dalam agama dalam konteks yang melampaui maksud ayat ini.
Bagi mereka segala apa perbuatan ibadat, kalau tidak ada suruhan khusus dalam al-Qur'an maka ia haram termasuklah amalan-amalan sunat wudhuk (e.g. berkumur-kumur, basuh hidung dll) yang tidak terkandung dalam arahan berwudhuk pada ayat 5:6. Maka jika kita perhatikan faham ini, banyak sekali amalan sunnah ditafsirkan sebagai HARAM oleh mereka padahal semua amalan itu adalah baik sekali untuk menyempurnakan lagi arahan al-Qur'an itu (tanpa memberatinya), alangkah sempitnya fahaman mereka. Padahal, kalau kita lihat terus ayat inipun kita boleh tahu konteksnya. Perhatikan maksudnya: "Katakanlah: Hai AHLI KITAB, janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agamamu SELAIN DARI KEBENARAN dan janganlah kamu turut hawa nafsu kaum yang sesat sebelum itu dan menyesatkan kebanyakan (manusia) dan mereka telah sesat dari jalan yang lurus" [al-Maaidah; 5:77].
Ayat ini bermula dengan arahan kepada Rasulullah ('Qul') supaya menyeru golongan ahli kitab supaya mereka tidak bersikap melampau dalam agama mereka dan tersesat seperti golongan TERDAHULU, dan mengajak mereka kembali kepada kebenaran. Golongan terdahulu di sini termasuklah para pengikut Nabi Musa yang berlebihan bertanya Nabi Musa (AS) dalam banyak hal sehingga menyusahkan [rujuk kisahnya pada ayat 67-71 tentang penyembelihan sapi dan ayat 108 sebagai teguran dari Allah, bersikap melampau sehingga melanggar perjanjian dengan Allah(5:13), dan sikap kecintaan dan pemujaan yang berlebihan kepada Nabi Isa(AS) sehingga sanggup meletakkan baginda sebagai 'anak Tuhan'(5:72)]. Inilah yang dimaksudkan sebagai sikap melampau di sini, iaitu keterlaluan dalam melakukan sesuatu sehingga melanggar batasan yang dibenarkan oleh syarak.
iii) Ayat 2:187, yang menyebutkan 'berpuasa sampai waktu malam'.
Mereka menganggap amalan sekarang yang berbuka pada waktu maghrib/senja telah mengingkari maksud ayat ini. Reaksi spontan saya apabila membaca komentar mereka ialah "Aik! Bila agaknya mereka ni berbuka?". Di sinilah antara contoh peranan sunnah menjelaskan bahawa batasan antara malam dan siang itu adalah pada ketika jatuhnya matahari, iaitu pada waktu magrib. Pada ketika ini berakhirlah siang dan bermulalah waktu malam, maka bolehlah berbuka.
Kenyataan sunnah ternyata benar akhirnya apabila dipersetujui oleh kajian ilmu falak/astronomi kerana pada waktu sianghari, sumbangan cahaya dimainkan oleh matahari, maka apabila matahari terbenam, tamatlah siang dan bermulalah waktu malam. Dengan ini juga, sunnah telah mengaitkan hakikat "malam" disini dengan menunjukkannya 'batas antara malam dan siang' dan mengaitkannya dengan banyak ayat lain misal ayat berikut yang bermaksud: "Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam, Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar, hingga waktu yang ditetapkan ..." [al-Faathir, 35:13].
Pendek kata memang peranan Rasul (i.e, as-sunnah) untuk menjelaskan banyak kenyataan di dalam al-Qur'an, bukan pula bermaksud al-Qur'an itu tidak lengkap tetapi manusia dengan kelemahannya mudah keliru seperti yang ditunjukkan oleh fahaman golongan anti-hadith ini. Sebab itulah juga banyak ayat-ayat al-Qur'an menyuruh kita "mentaati Rasul" dan mengambil Baginda sebagai model ikutan. Kenyataan-kenyataan ini merupaka 'clue'/petanda jelas supaya merujuk sunnah.
Dengan menolak kepentingan sunnah ini bukan sahaja menunjukkan keengkaran terhadap perintah Allah, bahkan menolak 'perkaitan'antara al-Qur'an dengan as-sunnah yang menyebabkan al-Qur'an itu lengkap. Menolak ayat-ayat ini bererti menolak sebahagian daripada maksud al-Qur'an itu sendiri, maka tentu sekali fahaman mereka tidak lengkap, bukannya al-Qur'an !
Nyata sekali di sini, oleh kerana golongan anti-hadith menolak as-sunnah, mereka dalam banyak ketika akan keliru dan meletakkan maksud ayat-ayat al-Qur'an bukan pada konteksnya, memahami ayat dalam kefahaman yang salah, meletakkan hukum tidak kena tempatnya, membaca al-Qur'an hanya melalui terjemahan. Apa yang saya maksudkan di sini ialah golongan yang CUMA membaca terjemahan al-Qur'an sahaja tetapi telah beranggapan bahawa mereka telahpun membaca al-Qur'an. Sehubungan dengan ini, saya tidak menyukai terjemahan al-Qur'an semata-mata tanpa disertai teks asal kerana ia boleh mengelirukan kita (oleh itu, buku "Bacaan" karya Othman Ali tidak dapat saya akui malahan patut dikeji pula kerana penterjemahnya sendiri pernah menyatakan bahawa beliau "tidak arif tentang bahasa Arab!"), seolah-olah terjemahan itu adalah "alternatif" kepada teks asal al-Qur'an padahal tiada satupun terjemahan yang boleh dianggap setaraf dengan al-Qur'an.
Ayat-ayat al-Qur'an adalah sangat unik, setiap hurufnya mempunyai makna tersendiri, unik dan susunan ayatnya tidak akan mampu ditandingi oleh manusia (rujuk misalnya cabaran Allah melalui ayat 23-24, surah al-Baqarah). Saya bawakan satu lagi contoh bagaimana siratan maksud terselit di dalam bahasa asal al-Qur'an. Kali ini, berkenaan dengan kekuasaan Allah iaitu keupayaan "kun fayakun' sepertimana maksud ayat kedua terakhir surah Yaasin:
"Hanya urusanNya, bila Ia menghendaki (mengadakan) sesuatu, Ia berkata kepadanya : 'Jadilah (engkau)!', lalu jadilah ia" [Yaasin; 36:82].
Bila kita merujuk teks asal, perkataan yang digunakan ialah 'kun' iaitu simpulan huruf 'kaf' dengan 'nun'. Apabila kita sebut sahaja huruf 'kaf' disini, dengan serentak, huruf 'nun' akan menurutinya (sebagaimana urutan abjad alif, ba,ta ) yang mengikut sesetengah tafsir menjadi petunjuk bahawa antara keistimewaan kekuasaan Allah ialah apabila Dia berkehendakkan (iradat) sesuatu berlaku, maka sesuatu itu akan berlaku tanpa ada sedikitpun selang masa! Itulah antara kelebihan Allah diatas makhlukNya, Dia bukan sahaja tidak memerlukan sesuatu untuk mencipta (lain halnya dengan manusia mencipta sesuatu daripada benda-benda yang sudahpun ada) malahan Allah juga tidak beruntukkan masa, bila berlaku iradat Allah terhadap sesuatu maka pada saat itu juga sesuatu itu berlaku.
Inilah antara maksud yang ditunjukkan secara tersirat di dalam perkataan 'kun' tersebut. Banyak lagi contoh lain yang menunjukkan bahawa terjemahan oleh manusia walaupun setinggi manapun ilmunya tidak akan dapat mencakupi kesemua maksud yang tersirat di dalam al-Qur'an. Maka tidak ada satupun terjemahan yang sempurna. Adapun terjemahan biasa yang terdapat di pasaran adalah dialu-alukan kerana ia disertakan dengan teks asal, demi untuk memudahkan sesiapa sahaja mengambil serba sedikit pengertian daripada ayat-ayat yang dibaca.
Walau bagaimanapun, untuk mendalami isi al-Qur'an seseorang itu perlulah mempelajari bahasa al-Qur'an itu sendiri iaitu bahasa Arab. Manakala buku-buku tafsir pula adalah patut dirujuk kerana ia adalah PANDUAN yang diberikan oleh para pentafsir yang sudah bertahun-tahun mengkaji al-Qur'an dan amat mahir dalam ilmu pengkajian al-Qur'an ini. Mereka menghabiskan usia dan tenaga mereka untuk mengkaji al-Qur'an demi untuk membantu ummat memahaminya sebaik mungkin. Maka, inilah yang dimaksudkan dengan rantaian murni ahli sunnah;
"Sebaik-baik hadis adalah al-Qur'an, sebaik-baik pembimbing (guru utama yang mengajarkan al-Qur'an) adalah RasuluLlah (SAW), kemudian tugas Rasul ini diwarisi oleh para ulama" .
No comments:
Post a Comment
Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan