SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Monday, June 29, 2009

Mudah-mudahan kita tergolong Mukmin yang Berjaya

Mukmin yang taat adalah mereka yang akan mendapat kemuliaan dan kasih sayang daripada Allah. Mereka adalah kelompok manusia yang dijanjikan akan tinggal buat selama-lamanya dalam syurga bernama Firdaus yang penuh dengan kenikmatan. Dalam al-Quran, Allah menyebutkan tujuh ciri atau kelompok mukmin berjaya atau beruntung yang mana akhirnya dianugerahkan dengan syurga Firdaus. Hal ini dinyatakan Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 1-11.
Tujuh ciri itu ialah:
1. Khusyuk dalam menunaikan solat. Sesungguhnya solat akan mampu dilaksanakan dengan khusyuk oleh seseorang mukmin, sesuai dengan kemantapan atau keteguhan iman yang dimilikinya. Pada dasarnya pengertian khusyuk di sini ialah bahawa seseorang itu dapat menghadirkan dirinya di dalam solat yang sedang dikerjakan. Khusuk boleh dicapai dengan beberpa cara antaranyamemahami apa yang dibaca dan dilakukannya dalam solatnya. Mengetahui makna ayat yang dibaca, di samping mengawal bilangan rakaat. Jadi, tidak sekadar mengerti syarat dan rukunnya saja. Dalam khusyuk itu juga harus ada unsur takut kepada Allah. Demikian mengikut Imam Al-Ghazali. Sembahyang yang dikerjakan dengan khusyuk adalah syarat pertama untuk menjadi mukmin berjaya dan dapat mewarisi syurga Firdaus. Tetapi berapa ramaikah kalangan kita yang menjaga kualiti khusuk dalam solat berbanding solat yang sebelumnya dilakukan.
2. Memelihara diri dari perbuatan yang tidak berfaedah. Seseorang yang benar-benar mukmin tidak akan membiarkan masa berlalu dengan tidak melakukan perkara berfaedah. Berfaedah juga bermaksud sesuatu yang tidak melanggar hak-hak syarak sekalipun ia dianggap berfaedah pada mata dunia semata-mata.
3. Menunaikan zakat yang difardhukan dan yang tidak difardhukan termasuk hibah dan sedekah. Sesungguhnya menunaikan zakat adalah kewajipan bagi setiap Muslim. Seorang Muslim sejati akan rela dengan ikhlas menunaikan kewajipan zakatnya tanpa wujudnya paksaan, lantaran sedar bahawa hartanya sudah memenuhi syarat untuk zakat. Wajib baginya untuk membayar zakat harta itu. Selain itu, dia sedar bahawa pada harta miliknya itu ada hak orang lain yang harus diberikan, terutama hak fakir miskin. Hartanya yang sebenar hanyalah harta yang tinggal selepas dikeluarkan zakatnya. Kiranya ia sudah mengeluarkan zakat masih boleh juga menginfaaqkan harta secara hadiah atau sedekah.
4. Memelihara kehormatan atau kemaluannya melainkan untuk interinya yang sah. Orang mukmin yang berjaya akan menghindarkan diri daripada melakukan penyimpangan dalam hal seksual dan tidak mendekati zina. Dia tidak akan berlaku serong dan hanya menyalurkan keinginan syahwa (persetubuhan) melalui jalan yang halal dengan pasangan sah baik lelaki mahupun perempuan.
5. Melaksanakan amanah yang ditanggungnya. Seseorang mukmin yang diberi kepercayaan akan menunaikannya dengan baik. Ini kerana kepercayaan itu adalah penghormatan paling berharga baginya.
6. Memenuhi janji sebagaimana yang diajarkan menurut Islam bahawa setiap janji mesti ditunaikan. Ini kerana janji itu ibarat hutang, lantaran ia perlu dibayar. Segala sesuatu yang dijanjikan perlu dipenuhi kerana yang demikian adalah ciri mukmin berjaya.
7. Memelihara solatSolat dalam pandangan mukmin sejati paling penting. Jadi, solat yang dilakukan mereka sentiasa cukup terpelihara, sehingga dapat dilaksanakan dengan begitu baik lagi sempurna. Waktu solat dijaga dengan baik. Solat pada awal waktu dan sentiasa berwaspada agar dapat solat tidak di luar waktu. Begitu juga dengan rukun dan pelbagai syarat lainnya.
Wallahu a'lam...

Saturday, June 27, 2009

Teruslah Berbuat baik pada Ibu dan Ayah kita

ISLAM mendidik umatnya supaya berterusan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa sekalipun mereka sudah tiada. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai. Pengorbanan ibu bapa dalam melayari bahtera rumah tangga amatlah besar. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anak sejak kecil sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak. Sehubungan itu, anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).



FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)



Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa. Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.



Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim).



Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”



Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).




Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam. Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.



Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)



Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim)




Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.



Kesimpulannya, anak yang menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia. Kestabilan dan kebahagiaan dalam keluarga adalah pemangkin utama ke arah mewujudkan masyarakat penyayang. Seterusnya masyarakat penyayang mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

Diedit semula dari karya Arbain Muhayat

Sunday, June 21, 2009

Mencari khusuk bersolat melalui doa iftitah


Doa iftitah merupakan sebahagian sunat Hai'ah dalam solat. Solat yang tiada sunat haiah sepertilah manusia yang tidak berjangut, tiada alis mata, tiada bula mata, tiada rambut dan sebagainya: Sabda Rasulullah SAW : "Tiadalah sempurna seorang manusia sehingga dia bertakbir, memuji Allah , menyanjungiNya dan dia membaca apa-apa (ayat) yang mudah daripada al-Quran".



Kita mesti membacanya dengan bertajwid, faham makna serta menghayatinya. jika membaca tanpa memahami apa yang dibaca, serupalah kita dengan burung kakak tua yang tidak faham apa yang diucapkannya.



Jika kita tidak menghayatinya hati akan lalai kepada perkara lain, kita mesti tumpukan kepada apa yang dibaca dan disebut oleh lidah. bila kita bertakbir, lidah menyebut allah Maha Besar, manakala hati pula mesti turut membesarkan Allah. Berdustalah jika pada ketika itu hati memandang kepada yang lain lebih besar daripada Allah atau membiarkan hawa nafsu menguasai jiwa. Jika berlaku juga begitu kita hendaklah segera bertaubat dan beristghfar mengharap ampunan Allah.



Begitulah juga semasa membaca doa iftitah, bila kita berkata, terjemahannya: "Aku menghadapkan wajahku kepada (Tuhan) yang menjadikan langit dan bumi"
Kita hendaklah sedar bahawa bukan wajah zahir yang dihadapkan kepada Allah kerana Allah itu tidak bertempat tetapi wajah batin (hati) mesti dihadapkan kepada Allah sahaja. ertinya hati tidak berpaling kepada perkara lain selain Allah. kita mesti memusatkan tujuan dan tumpuan kita kepada Allah semata-mata. sepatutnya kita merasa malu kepada Allah, kalau lidah berkata menghadap Allah tetapi hati kita mengingatkan benda selainNya.



Seterusnya apabila membaca: Maksudnya: "Dalam keadaan cenderung dan berserah"
Kita telah mengaku bahawa kita berserah diri kepada Allah, suka kepada kebaikan dan kesejahteraan. jika kita mengaku muslim, ertinya kaum muslim sekeliannya selamat daripada bencana lidah dan tangan kita. jika diluar sembahyang berlaku sebaliknya, jadilah kita seorang pendusta. waliyazubillah.



Begitulah juga kita berkata: "....Dan tiadalah aku daripada golongan orang-orang musyrikin"
Ketika kita faham di dalam hati bahawa kita bukan golongan musyrikin dan kita memelihara diri dari syirik tersembunyi. Ertinya hati berwaspada daripada memuja-muja manusia dan selain Allah, niat dan tumpuan hanya kepada Allah. Kita patut malu dan takut jadi syirik walau sedikit kerana kita telah mendakwa kita bukan golongan musyrik.




Seterusnya kita membuat pengakuan yang bermaksud: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah Tuhan seru sekelian alam"
Ketika ini hendaklah sedar bahawa kita telah berada di hadapan Tuhan. Kita telah mengaku sebagai hamba, tiada apa pada kita, segalanya kita buat untuk Allah dan mengharapkan keredhaanNya. kita sedar bahawa Allah menguasai hidup dan mati kita tidak sepatutnya kita buat sesuatu kerana kepentingan diri dan membelakangi Allah.




Seterusnya kita mengaku bahawa tiada sekutu bagi Allah dan kita adalah orang yang menyerah diri. Hati yang menghayati apa yang diucapkan akan merasa rendah diri apabila berhadapan dengan Allah dan menetapkan hati kepada Allah.



Semoga kita membaca doa iftitah dengan memahami dan menghayati serta mengkhusukkan solat kita.

Saturday, June 13, 2009

Sabar Menghadapi Ujian



Abdul Kadir bin Abdul Aziz bertanya kepada Imam As Syafiee r.a. “manakah yang lebih utama : sabar atau diuji atau diberi keteguhan hati?” Jawabnya, “ Diberi keteguhan hati adalah darjat nabi-nabi. Dan tidak ada keteguhan itu melainkan sesudah diuji. Apabila sudah bersabar maka teguhlah hati. Tidaklah engkau lihat bahawa Allah Taala menguji Nabi Ibrahim a.s. kemudian Ia memberikannya ketetapan hati dan menganugerahinya kerajaan, maka ketetapan hati itu adalah darjat yang paling utama.”

Syeikh Mustafa Sabri iaitu ulamak sewaktu pemerintahan Uthmaniah berkata:
“Barang siapa yang berasa aman dari cubaan Allah nescaya akan hina.”
Maryam Jameelah seorang islam yang dahulunya seorang wanita kafir Yahudi berkata:
“Menurut ajaran Islam hidup ini bukalah satu perjalanan yang penuh kesenangan akan tetapi ia adalah satu peperiksaan. Setiap minit kita diuji dan apa sahaja penderitaan dan bala yang menimpa kita bukanlah bencana yang mutlak akan tetapi hanya salah satu dari ujian tersebut. Allah SWT tidak menjadikan kita untuk bergembira dan bersuka ria akan tetapi untuk melihat kita sama ada berjaya atau gagal dalam peperiksaan ini yang mana keputusannya tidak kita ketahui hinggalah ke hari akhirat”.



Rasulullah pernah bersabda:
“Apabila Allah kasihkan seseorang, Allah mengenakan dengan suatu cubaan sehingga Allah mendengar rengekan permintaan yang bersungguh-sungguh.”
(Dari Musnad Firdaus oleh Dailami)



Berkata Abul Asy’ats ash Shan’aani r.a. bahawa Nabi saw bersabda:
Allah telah berfirman:
“Apabila Aku menguji salah seorang dari hamba-hamba Ku yang mukmin, lalu ia memuji Ku atas apa yang telah Aku ujinya, nescaya Aku akan perintahkan kepada Malaikat Ku agar ‘Kamu catatkan pahala-pahala dari amalannya, seperti yang biasa kamu catatkan sebelum ini’”.
(Riwayat Ahmad, Hakim dan Abu Nu’aim)





Berhubung ujian Allah, hayatilah firman Allah dalam surah-surah berikut bermula dengan surah Al Ankabut: 2-3:
2- Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
3- Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.





Al Baqarah: 155- Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.





Al Kahfi: 7- Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.






Al Kahfi: 31- Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.






Hud: 7- Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air. Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan demi sesungguhnya! ...





Al An’aam: 165- Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.





Perlulah diingat juga bahawa bukan semua ujian itu adalah pahit, getir dan memberatkan malahan Tuhan juga menguji hambanya dengan kemewahan dan kemuliaan serta kekuasaan dan sebenarnya ujian berbentuk ini adalah lebih berat sebagaimana Firman Allah:
Al Fajr: 15- (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!





Al Fajr:16- Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!





Al Anbiyaa’: 35- Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Allah berfirman lagi di dalam surah Al Baqarah: 214.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).





Ingatlah bahawa apabila seseorang tidak suka mendekatkan diri kepada Allah, maka akan diseret supaya ingat kepada Allah dengan musibah.
Dalam banyak hal, setiap ujian adalah juga merupakan bala / musibah sebagaimana yang dinyatakan Allah dalam surah Al Baqarah: 49.
Ertinya: Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
Bala bencana / musibah yang menimpa manusia pula adalah tidak lain tidak bukan berpunca dari kesilapan kita sebagaimana yang dinyatakan Allah dalam surah An Nisaak:111





Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.





Dan seperti yang Allah nyatakan di dalam surah Thaahaa: 124,
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.





Dan seperti di dalam surah Al An’fal: 25
Ertinya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.





Dan Allah menekankan lagi betapa setiap kesalahan di dunia akan di balas setimpal dengannya sebagaimana firman Allah swt berikut dalam surah Ghafir: 40-:
Ertinya: Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka dia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.



Dalam surah Yunus: 27: Ertinya:
“Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding / setimpal dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; ........”






Daripada ayat-ayat di atas jelas apabila sesuatu keperitan hidup,musibah,bala, bencana menimpa anak Adam, ia adalah bersebab kesilapan anak Adam itu sendiri dan Allah menjadikan pembalasan ini sebagai satu ujian yang bakal menjadikan kita umat manusia sama ada menjadi semakin baik, tidak berubah atau semakin jauh dari Allah.



Termasuk di dalam ujian dari Allah ialah sesuatu yang menggembirakan seperti kekuasaan, anak, isteri dan harta seperti yang Allah nyatakan dalam surah Al A’raaf: 168.
Dan Kami pecah-pecahkan mereka berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).
Dengan itu apabila diberikan Allah nikmat janganlah mudah bergembira kerana ada diantaranya yang Allah berikan tidak lain tidak bukan seakan-akan menaiki bangunan tinggi yang sangat menyeronokkan tetapi apabila tiba di puncak, hanya untuk dihumban ke bawah sebagaimana firman Allah dalam surah Al An’aam: 44. Ertinya
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).





Tidak akan lulus mengharungi ujian Allah ini melainkan dengan sabar. Dalam menangani kerenah manusia ini, Imam Hassan Al Banna mengajarkan:
“ Jadilah kamu seperti pokok, mereka melempar pokok dengan batu tetapi pokok melemparnya dengan buah”


Cuba sama-sama kita fikirkan mengapa Allah menurunkan bala penyakit Selesema babi hari ini?
Mengapa manusia ditimpakan ribut dan badai tsunami yang mematikan ramai jiwa serentak?
Ujian Allah akan datang tanpa memilih manusia yang baik dan yang tidak baik. Pastinya ujian Allah datang kerana tangan-tangan jahat manusia di atas muka bumi ini. Malahan ujian Allah juga untuk menguji siapakah yang lebih baik amalannya semasa di dunia ini dan sebesar-besar ujian untuk kita semua menjadi orang yang lebih baik di sisi Allah adalah untuk menjadikan diri ini lebih baik pada hari esok dan seterusnya.
Sekian untuk kali ini, wassalam wallahualam

diimport dan diedit dr laman Emjay

Friday, June 05, 2009

Tip Untuk Meningkatkan Darjah Kesahan Skor Ujian



1- Kawal aras kesukaran ujian dengan baik apabila membina sesuatu ujian. Adakalanya ujian menjadi terlalu senang atau terlalu susah. Ini menyebabkan skor yang diperoleh pelajar tidak tersebar meluas antara pelajar yang pandai, sederhana, dan lemah. Bermakna, sesuatu ujian itu tidak mendiskriminasikan calon dengan baik.


2- Kenalpasti konstruk yang ingin diuji. Konstruk yang diuji mestilah akur dengan format pentaksiran yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan.


3- Arahan perlu ditulis dengan jelas, iaitu bagaimana calon perlu memberi respon kepada tugasan.


4- Penggunaan perbendaharaan kata yang sesuai dengan umur dan sosio budaya seseorang pelajar.

5- Kenaplasti objektif pentaksiran dalam membina sesuatu ujian. Sekiranya guru ingin menguji kemahiran menganalisis maka jangan sesekali membina item menguji kefahaman untuk pelajar.

6- Pastikan cakupan konteks merangkumi apa yang telah dipelajari oleh pelajar.

7- Gunakan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) ketika memasang item dengan sebaik mungkin. JSU, selain dapat mengawal wajaran konstruk dan aras ujian ia juga dapat membantu menyeragamkan cakupan konteks dalam kes beberapa orang guru mengajar subjek yang sama.

Wednesday, June 03, 2009

Kepentingan Agama lebih dari Segalanya


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ آبَاءكُمْ وَإِخْوَانَكُمْ أَوْلِيَاء إَنِ اسْتَحَبُّواْ الْكُفْرَ عَلَى الإِيمَانِ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (٢٣)قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ (٢٤) (سورة التوبة)

O ye who believe, do not take your fathers and your parents love that it is blasphemy to believe in you, they are Itolhm harmdoers (23) Say: If your fathers and your sons and your brothers and your wives and Ashertkm, money and trade Aqtervtamoha you concerned and depressed housing Tradwnha I love you from Allah and His Messenger and jihad in the way of God is so Fterbesoa His command, and Allah does not guide the people heretics (24) (سورة التوبة) (Surat Repentance)

Terjemahan:

(23) Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (24) Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih baik kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) jihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik. (At-Taubah) 23-24)





Sebab Turun Ayat ini diriwayatkan bahawa Al-Kaliby berkata: Ketika Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) menyuruh para sahabat agar berhijrah ke Madinah, maka mereka pun menyampaikan berita tersebut kepada bapa-bapa, anak-anak dan isteri-isteri mereka. Sebahagian mereka menerima seruan tersebut dengan segera dan perasaan gembira, dan ada pula yang merasa keberatan meninggalkan keluarga tersayang, dan akhirnya mereka enggan berhijrah. Lalu Allah SWT menegur sikap mereka dengan menurunkan ayat ini.
Tafsiran Ayat seperti berikut; Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas kekafiran atas keimanan.
Maksudnya, "Hai orang-orang telah benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya, janganlah kamu menjadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu sebagai pemimpin kamu sehingga kamu sanggup menolong mereka memusuhi dan memerangi orang-orang beriman, dan sanggup mengintip rahasia orang-orang beriman, strategik dan taktik perang mereka untuk disampaikan kepada bapa-bapa dan saudara-maramu yang kafir itu."
Dalam ayat di atas Allah SWT khususkan menyebut bapa-bapa dan saudara-saudara kerana tidak ada kerabat yang lebih dekat daripada mereka. Namun demikian Allah SWT melarang menjadikan mereka pemimpin (orang-orang yang wajib dipatuhi) sekiranya mereka lebih mengutamakan kekafiran daripada iman. Ini sebagaimana larangan Allah dalam ayat yang lain:
“Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (mu); (Al-Maidah :51)
Ayat ini pula menjelaskan bahwa kerabat yang sebenarnya adalah kerabat atas dasar agama, bukanlah kerabat atas dasar nasab (keturunan). Namun demikian Ihsan dan Hibah (memberi sesuatu) kepada ibubapa dan saudara-mara yang masih kafir dikecualikan daripada “kepimpinan” di atas.
Ini berdasarkan riwayat Asmaa, katanya: “Ya Rasulallah, ibuku datang menemuiku karena sangat rindu kepadaku, sedangkan beliau seorang musyrikah (penyembah berhala), apakah saya layani dan hubungi dia. Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menjawab: Hubungilah ibumu itu”. [HR Bukhari] dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim
Maksudnya, barangsiapa yang menjadikan mereka sebagai pemimpinnya sedangkan mereka dalam keadaan demikian (kafir), maka orang tersebut termasuk orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri dan menzalimi golongannya karena tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mereka meletakkan wilayah (kepimpinan) pada tempat yang sepatutnya (berlepas diri dari mereka), meletakkan mawaddah (kasih sayang) pada tempat yang sepatutnya 'adaawah (permusuhan).
Dalam ayat berikut Allah SWT menjelaskan lapan perkara yang sangat besar pengaruhnya dalam kehidupan manusia sehingga banyak di antara mereka yang karena terlalu terpengaruh dengannya telah sanggup menggadai iman mereka kepada Allah dan Rasul serta Jihad pada jalan Allah.
Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih baik kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) jihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”
Maksudnya, sekiranya kamu lebih mencintai lapan perkara itu iaitu lebih mengutamakan ibubapa, anak-anak, adik-beradik, isteri-isteri, kaum kerabat, harta kekayaan, perniagaan dan tempat tinggal yang kamu sukai, daripada mencintai atau mentaati Allah dan RasulNya serta Jihad di jalanNya yang boleh membawa kamu kepada kebahagiaan yang abadi di akhirat, maka tunggu sajalah hukuman daripada Allah, apakah dalam bentuk azab yang segera di dunia ini ataupun azab yang ditangguhkan di akhirat nanti.
Mungkin lapan perkara di atas dapat kita ringkaskan dalam empat bentuk pengaruh:
1. Pengaruh Kekeluargaan (Ibubapa, Anak, Saudara, Isteri)
2. Pengaruh Harta Kekayaan yang diusahakan
3. Pengaruh Perniagaan yang dikhawatiri akan rugi
4. Pengaruh Tempat Tinggal yang selesa.
1. Pengaruh Kekeluargaan; Sudah menjadi fitrah atau sifat semulajadi setiap manusia mencintai keluarganya. Anak mencintai ibubapanya, ibu bapa cinta kepada anak-anaknya, suami isteri saling mencintai. Begitu juga adik-beradik dan kaum kerabat.
2. Pengaruh Harta Kekayaan yang diusahakan Setiap manusia mesti sayang kepada hartanya, terutama jika harta miliknya itu hasil jerih payah yang diusahakannya selama ini. Jadi adalah wajar kalau ia sangat menyayanginya.
3. Pengaruh Perniagaan yang dikuatiri akan rugi. Kebiasaannya harta kekayaan yang terkumpul adalah hasil daripada perniagaan karena ia merupakan salah satu sumber utama untuk mendapat kekayaan. Justeru itu kecenderungan manusia kepada dunia perniagaan dan selalu bimbang kalau-kalau perniagaannya ditimpa kerugian adalah suatu sifat yang wajar.
4. Pengaruh Tempat Tinggal yang selesa. Memiliki tempat tinggal yang baik lagi selesa adalah menjadi idaman setiap insan.
Nabi (sallallahu alaihi wasalam) pernah bersabda bahwa di antara kebahagiaan anak cucu Adam ialah isteri yang salihah dan tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang baik. (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad “Ihsan Dan Kebahagiaan (Al-Hadis)”.
Walaupun Islam mengakui bahwa mencintai lapan perkara di atas sudah menjadi fitrah dan sifat semulajadi setiap insan namun demikian Allah SWT menghendaki agar manusia hendaklah melebihkan cinta mereka kepadaNya dan RasulNya serta Jihad di jalanNya.
Maksudnya; Mereka mestilah sanggup berjuang demi memenuhi kehendak Allah dan RasulNya walaupun kadang-kadang mereka terpaksa mengorbankan lapan perkara di atas. maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik Maksudnya: Allah SWT memberi amaran keras kepada orang yang lebih mencintai lapan perkara di atas daripada mencintaiNya dan mencintai RasulNya serta Jihad pada jalanNya bahwa azab Allah akan ditimpakan ke atas mereka. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batasan balasanNya iaitu jika mereka mengabaikan hukum-hakamNya.
Bagaimana cara memperkuat Iman dan Jihad? Di antara langkah yang perlu diambil supaya kecintaan kita terhadap lapan perkara di atas jangan sampai mengatasi kecintaan kita kepada Allah dan RasulNya dan Jihad di jalanNya ialah kita mestilah memperbanyak zikir, fikir, tadabbur (menghayati) ayat-ayat Al-Quran dan iltizaam berpegang teguh dengan hukum-hakam agama. Insya Allah, jika langkah-langkah ini dilalui niscaya kita akan mendapat pertolongan Allah SWT.

diedit from Abu Ammar

Mukmin Sejati Ialah Mukmin Yang Kuat Rohani dan Jasmani


Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah, pada masing-masing itu ada kekuatan. Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu. Mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan lemah. Jika sesuatu menimpa kamu maka jangan kamu kata: kalau aku buat begini tentu akan jadi begini. Tetapi ucapkanlah Allah telah menentukan dan Dia telah lakukan apa yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya `kalau’ itu membuka peluang syaitan bertindak." (Hadis riwayat Muslim )



Mukmin yang kuat lebih disukai dan lebih baik daripada mukmin yang lemah. Kekuatan boleh diterjemahkan bermacam-macam; kuat badan, kuat ekonomi, kuat kedudukan, kuat dalaman dan lain-lain yang dapat diperbandingkan dengan yang lain. Kekuatan boleh dibuktikan dengan sendiri atau secara bersama-sama.

Menurut sunah Allah, seorang menjadi kuat, ditentukan oleh faktor penunjang:

1-Kuat badan ditunjangi oleh bentuk fizikal yang kuat.

2- Kuat ekonomi ditunjangi oleh harta yang diperolehi dengan usaha.

3- Kuat kedudukan ditunjangi oleh kelebihan yang dimiliki, ilmu dan akhlak

4- Kuat dalaman ditunjangi iman dan kepercayaan kepada diri sendiri.


Yang harus dijaga setelah seorang mukmin menjadi kuat, ialah jangan sekali-kali takabur, sombong, bongkak. Sebab harus diingat segala yang baik itu ada yang "lebih baik" ada pula yang paling baik. Bagi seseorang mukmin, yang paling sukar ialah membentuk hati, Di sini ramai manusia yang mudah tergelincir daripada mendapat keikhlasan dan keredhaan Allah s.w.t

Daripada hadith di atas, terdapat dua pecahan antara suruhan dan larangan Rasulullah s.a.w yang perlu kita perhatikan. Kita fahami ada tiga suruhan untuk kita laksanakan.

Pertama: Iman merupakan pusat kebahagiaan dunia dan akhirat manakala dijelaskan dan dibuktikan dengan amal soleh.

Sebagaimana ditegaskan oleh Allah dalam firmannya: "Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan" (An-Nahl:97)
Kedua: Sentiasa merebut peluang di dalam mencari segala sesuatu yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat bertunjangkan syariat Islam.

Ketiga: Sentiasa mengharapkan pertolongan Allah s.w.t di dalam setiap usaha dan pekerjaan yang dilakukan

Rasulullah saw. menjelaskan, "...apabila kamu minta pertolongan, maka mintalah pertolongan kepada Allah. Dan ketahuilah seandainya suatu umat berkumpul untuk mencari suatu kemanfaatan bagimu, nescaya mereka tidak dapat memberi manfaat kecuali sesuatu yang telah dicatat oleh Allah untukmu dan seandainya suatu umat berkumpul untuk menimpakan suatu mudharat atasmu, nescaya mereka tidak dapat menimpakan mudharat kecuali yang telah Allah catat atasmu". (Hadith riwayat Tarmizi).

Terdapat pula dua larangan yang diminta kita jauhi untuk menjadi mukmin yang sempurna;

Pertama: Melarang kita lemah atau malas dalam mencapai sesuatu cita-cita.
Setiap perkerjaan wajib disertakan dengan usaha yang tinggi dan bertawakkal, berdoa kepada Allah s.w.t agar dimudahkan didalam segala urusan dan diberikan kejayaan dalam mencapai cita-cita.

Kedua: Apabila kita tertimpa suatu musibah, kita dilarang untuk mengucapkan pengandaian (seandainya atau kalau). Kerana ungkapan ini akan membuka pintu-pintu hasutan syaitan. Dengan ungkapan tersebut, seolah-olah kita menidakkan diri dari takdir Allah s.w.t.



Secara keseluruhan, kesimpulannya hadis di atas menganjurkan agar orang beriman tidak berhenti berjuang, amar ma'ruf, nahi mungkar dan bersabar apabila ditimpa sesuatu bencana. Jadilah mukmin yang kuat mudahan kita akan tergolong dikalangan hambanya yang lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah s.w.t.

Tuesday, June 02, 2009

Bezanya antara Mukmin dan Fasik




Dalam potongan ayat surah al-Sajdah ( 18-20 ) di atas Allah SWT memulakan firman-Nya dengan ungkapan pertanyaan:
Maka apakah orang yang beriman seperti orang yang fasik (kafir)?…!
Lalu dijawabNya:
Mereka pasti tidak sama…!
Seterusnya dijelaskan tentang perbezaan tempat kembali masing-masing di akhirat kelak, karena perbezaan cara dan sikap hidup mereka semasa di dunia.
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman…”
Orang beriman adalah orang yang mempercayai dan membenarkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW, dengan hati nurani, mengungkapkan dengan lidah dan menyatakan pada amal perbuatan. Sedangkan amal soleh adalah segala amal perbuatan yang baik yang diperintahkan Allah SWT kepada RasulNya, dikerjakan karena mencari redha Allah SWT.





Orang-orang yang berdasarkan cara hidup dan kriteria beginilah yang dijanjikan Allah SWT akan dimasukkan ke dalam syurga, menerima segala kemuliaan, penghormatan, kesenangan dan layanan seperti tetamu agung yang diperlakukan dengan sangat istimewa:
“Sebagai pahala terhadap apa yang telah mereka kerjakan…”







Jadi mereka meraihnya, karena mereka beriman dan beramal soleh semasa hidup di dunia.
Di sini Allah SWT menguraikan persoalan hidup kita dunia dan akhirat. Segala nasib kita bukanlah berakhir di sini, tetapi di akhirat. Amal perbuatan kitalah sebagai faktor penentu…
“Dan adapun orang-orang yang fasik (kafir)…”






Yakni; orang-orang yang menyimpang atau keluar dari garis petunjuk Allah SWT dan RasulNya SAW, setelah jelas bagi mereka, baik kerana mengejar keuntungan duniawi, ataupun kerana mengikuti panggilan iblis, syaitan dan hawa nafsu…
“Maka tempat mereka adalah neraka…”
Tempat yang sangat mengerikan dengan segala penderitaan dan siksaan.








Selanjutnya digambarkan bagaimana mereka berusaha membebaskan diri dari siksaan itu, tetapi tidak pernah berhasil.
“Setiap kali mereka hendak ke luar daripadanya, mereka dikembalikan (lagi) ke dalamnya…”
Mereka senantiasa berusaha keluar dari neraka, namun setiap kali mereka mencapai pinggiran neraka itu, mereka segera dilemparkan ke dalamNya.
“Dan dikatakan kepada mereka: “Rasakanlah siksa neraka yang dahulu kamu mendustakannya.”








Kefasikan muncul dari hati yang mendustakan ajaran Allah SWT dan Rasul SAW… Yang menganggap manusia bebas berbuat sesuka hati tanpa terikat dengan panduan Ilahi. Lalu, menyimpulkan bahwa manusia hidup di sini dan nasibnya berakhir.







Bila kita membaca firman Allah pada ayat lain, nescaya kita temui penjelasan tentang watak orang-orang fasik yang sangat menonjol, antara lain:

“…Memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerusakan di muka bumi…” (Al-Baqarah: 27)







Allah SWT melarang kita memecah belahkan ajaran Islam dengan segala ruang lingkupnya (akidah, syari’ah, ibadah, akhlak, dan lain-lain)… Tetapi orang-orang fasik mengongkong Islam sebaris sistem kepercayaan, atau ibadah ritual, atau budi pekerti saja, sementara syari’at Islam mereka kesampingkan. Sistem yang mengatur amalan seharian mereka, hanya mereka landaskan kepada hukum positif ciptaan otak manusia belaka, karena menganggap bahwa; hukum buatan manusia lebih baik dari hukum Allah…








Allah SWT menyuruh kita agar membina persatuan ummat secara universal, tanpa dibatasi oleh bangsa, ras (warna kulit), bahasa dan sebagainya. Sedangkan orang-orang fasik memecah belah Islam berdasarkan nilai-nilai di atas, di samping membenamkan nilai kamanusiaan universal ke dalam penindasan dan kekejaman…




Allah SWT memerintahkan agar kita menghubungkan tali kekeluargaan. Namun orang-orang fasik memutuskan tali kekeluargaan demi keuntungan duniawi, tujuan politik, kepentingan ekonomi dan lain sebagainya…
Akidah tauhid yang menjadi dasar keselamatan hidup, mereka robohkan, mereka campurkankan dengan ajaran syirik…




Budi pekerti ummat mereka hancurkan dengan menyebarkan kemaksiatan dan kemungkaran, seperti menyebarkan filem-filem cabul, minuman keras, memuji pergaulan bebas dan lain-lain, sehingga ummat lupa kepada Allah dan lupa kepada diri sendiri.
Jadi perbuatan seperti itulah yang menyebabkan orang-orang fasik dimasukkan ke dalam neraka, sebagai balasan atas amal perbuatan mereka yang menyimpang dari ajaran agama semasa hidup di dunia ini.Wallahu a'lam
FREE PALESTINE

My Blog List