Mukmin yang taat adalah mereka yang akan mendapat kemuliaan dan kasih sayang daripada Allah. Mereka adalah kelompok manusia yang dijanjikan akan tinggal buat selama-lamanya dalam syurga bernama Firdaus yang penuh dengan kenikmatan. Dalam al-Quran, Allah menyebutkan tujuh ciri atau kelompok mukmin berjaya atau beruntung yang mana akhirnya dianugerahkan dengan syurga Firdaus. Hal ini dinyatakan Allah dalam surah al-Mukminun, ayat 1-11.
Tujuh ciri itu ialah:
1. Khusyuk dalam menunaikan solat. Sesungguhnya solat akan mampu dilaksanakan dengan khusyuk oleh seseorang mukmin, sesuai dengan kemantapan atau keteguhan iman yang dimilikinya. Pada dasarnya pengertian khusyuk di sini ialah bahawa seseorang itu dapat menghadirkan dirinya di dalam solat yang sedang dikerjakan. Khusuk boleh dicapai dengan beberpa cara antaranyamemahami apa yang dibaca dan dilakukannya dalam solatnya. Mengetahui makna ayat yang dibaca, di samping mengawal bilangan rakaat. Jadi, tidak sekadar mengerti syarat dan rukunnya saja. Dalam khusyuk itu juga harus ada unsur takut kepada Allah. Demikian mengikut Imam Al-Ghazali. Sembahyang yang dikerjakan dengan khusyuk adalah syarat pertama untuk menjadi mukmin berjaya dan dapat mewarisi syurga Firdaus. Tetapi berapa ramaikah kalangan kita yang menjaga kualiti khusuk dalam solat berbanding solat yang sebelumnya dilakukan.
2. Memelihara diri dari perbuatan yang tidak berfaedah. Seseorang yang benar-benar mukmin tidak akan membiarkan masa berlalu dengan tidak melakukan perkara berfaedah. Berfaedah juga bermaksud sesuatu yang tidak melanggar hak-hak syarak sekalipun ia dianggap berfaedah pada mata dunia semata-mata.
3. Menunaikan zakat yang difardhukan dan yang tidak difardhukan termasuk hibah dan sedekah. Sesungguhnya menunaikan zakat adalah kewajipan bagi setiap Muslim. Seorang Muslim sejati akan rela dengan ikhlas menunaikan kewajipan zakatnya tanpa wujudnya paksaan, lantaran sedar bahawa hartanya sudah memenuhi syarat untuk zakat. Wajib baginya untuk membayar zakat harta itu. Selain itu, dia sedar bahawa pada harta miliknya itu ada hak orang lain yang harus diberikan, terutama hak fakir miskin. Hartanya yang sebenar hanyalah harta yang tinggal selepas dikeluarkan zakatnya. Kiranya ia sudah mengeluarkan zakat masih boleh juga menginfaaqkan harta secara hadiah atau sedekah.
4. Memelihara kehormatan atau kemaluannya melainkan untuk interinya yang sah. Orang mukmin yang berjaya akan menghindarkan diri daripada melakukan penyimpangan dalam hal seksual dan tidak mendekati zina. Dia tidak akan berlaku serong dan hanya menyalurkan keinginan syahwa (persetubuhan) melalui jalan yang halal dengan pasangan sah baik lelaki mahupun perempuan.
5. Melaksanakan amanah yang ditanggungnya. Seseorang mukmin yang diberi kepercayaan akan menunaikannya dengan baik. Ini kerana kepercayaan itu adalah penghormatan paling berharga baginya.
6. Memenuhi janji sebagaimana yang diajarkan menurut Islam bahawa setiap janji mesti ditunaikan. Ini kerana janji itu ibarat hutang, lantaran ia perlu dibayar. Segala sesuatu yang dijanjikan perlu dipenuhi kerana yang demikian adalah ciri mukmin berjaya.
7. Memelihara solatSolat dalam pandangan mukmin sejati paling penting. Jadi, solat yang dilakukan mereka sentiasa cukup terpelihara, sehingga dapat dilaksanakan dengan begitu baik lagi sempurna. Waktu solat dijaga dengan baik. Solat pada awal waktu dan sentiasa berwaspada agar dapat solat tidak di luar waktu. Begitu juga dengan rukun dan pelbagai syarat lainnya.
Wallahu a'lam...
No comments:
Post a Comment
Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan