Abdul Kadir bin Abdul Aziz bertanya kepada Imam As Syafiee r.a. “manakah yang lebih utama : sabar atau diuji atau diberi keteguhan hati?” Jawabnya, “ Diberi keteguhan hati adalah darjat nabi-nabi. Dan tidak ada keteguhan itu melainkan sesudah diuji. Apabila sudah bersabar maka teguhlah hati. Tidaklah engkau lihat bahawa Allah Taala menguji Nabi Ibrahim a.s. kemudian Ia memberikannya ketetapan hati dan menganugerahinya kerajaan, maka ketetapan hati itu adalah darjat yang paling utama.”
Syeikh Mustafa Sabri iaitu ulamak sewaktu pemerintahan Uthmaniah berkata:
“Barang siapa yang berasa aman dari cubaan Allah nescaya akan hina.”
Maryam Jameelah seorang islam yang dahulunya seorang wanita kafir Yahudi berkata:
“Menurut ajaran Islam hidup ini bukalah satu perjalanan yang penuh kesenangan akan tetapi ia adalah satu peperiksaan. Setiap minit kita diuji dan apa sahaja penderitaan dan bala yang menimpa kita bukanlah bencana yang mutlak akan tetapi hanya salah satu dari ujian tersebut. Allah SWT tidak menjadikan kita untuk bergembira dan bersuka ria akan tetapi untuk melihat kita sama ada berjaya atau gagal dalam peperiksaan ini yang mana keputusannya tidak kita ketahui hinggalah ke hari akhirat”.
Rasulullah pernah bersabda:
“Apabila Allah kasihkan seseorang, Allah mengenakan dengan suatu cubaan sehingga Allah mendengar rengekan permintaan yang bersungguh-sungguh.”
(Dari Musnad Firdaus oleh Dailami)
Berkata Abul Asy’ats ash Shan’aani r.a. bahawa Nabi saw bersabda:
Allah telah berfirman:
“Apabila Aku menguji salah seorang dari hamba-hamba Ku yang mukmin, lalu ia memuji Ku atas apa yang telah Aku ujinya, nescaya Aku akan perintahkan kepada Malaikat Ku agar ‘Kamu catatkan pahala-pahala dari amalannya, seperti yang biasa kamu catatkan sebelum ini’”.
(Riwayat Ahmad, Hakim dan Abu Nu’aim)
Berhubung ujian Allah, hayatilah firman Allah dalam surah-surah berikut bermula dengan surah Al Ankabut: 2-3:
2- Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
3- Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Al Baqarah: 155- Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Al Kahfi: 7- Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
Al Kahfi: 31- Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.
Hud: 7- Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air. Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan demi sesungguhnya! ...
Al An’aam: 165- Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Perlulah diingat juga bahawa bukan semua ujian itu adalah pahit, getir dan memberatkan malahan Tuhan juga menguji hambanya dengan kemewahan dan kemuliaan serta kekuasaan dan sebenarnya ujian berbentuk ini adalah lebih berat sebagaimana Firman Allah:
Al Fajr: 15- (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!
Al Fajr:16- Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!
Al Anbiyaa’: 35- Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
Allah berfirman lagi di dalam surah Al Baqarah: 214.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Ingatlah bahawa apabila seseorang tidak suka mendekatkan diri kepada Allah, maka akan diseret supaya ingat kepada Allah dengan musibah.
Dalam banyak hal, setiap ujian adalah juga merupakan bala / musibah sebagaimana yang dinyatakan Allah dalam surah Al Baqarah: 49.
Ertinya: Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
Bala bencana / musibah yang menimpa manusia pula adalah tidak lain tidak bukan berpunca dari kesilapan kita sebagaimana yang dinyatakan Allah dalam surah An Nisaak:111
Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan seperti yang Allah nyatakan di dalam surah Thaahaa: 124,
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.
Dan seperti di dalam surah Al An’fal: 25
Ertinya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.
Dan Allah menekankan lagi betapa setiap kesalahan di dunia akan di balas setimpal dengannya sebagaimana firman Allah swt berikut dalam surah Ghafir: 40-:
Ertinya: Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka dia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.
Dalam surah Yunus: 27: Ertinya:
“Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding / setimpal dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; ........”
Daripada ayat-ayat di atas jelas apabila sesuatu keperitan hidup,musibah,bala, bencana menimpa anak Adam, ia adalah bersebab kesilapan anak Adam itu sendiri dan Allah menjadikan pembalasan ini sebagai satu ujian yang bakal menjadikan kita umat manusia sama ada menjadi semakin baik, tidak berubah atau semakin jauh dari Allah.
Termasuk di dalam ujian dari Allah ialah sesuatu yang menggembirakan seperti kekuasaan, anak, isteri dan harta seperti yang Allah nyatakan dalam surah Al A’raaf: 168.
Dan Kami pecah-pecahkan mereka berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).
Dengan itu apabila diberikan Allah nikmat janganlah mudah bergembira kerana ada diantaranya yang Allah berikan tidak lain tidak bukan seakan-akan menaiki bangunan tinggi yang sangat menyeronokkan tetapi apabila tiba di puncak, hanya untuk dihumban ke bawah sebagaimana firman Allah dalam surah Al An’aam: 44. Ertinya
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).
Tidak akan lulus mengharungi ujian Allah ini melainkan dengan sabar. Dalam menangani kerenah manusia ini, Imam Hassan Al Banna mengajarkan:
“ Jadilah kamu seperti pokok, mereka melempar pokok dengan batu tetapi pokok melemparnya dengan buah”
Cuba sama-sama kita fikirkan mengapa Allah menurunkan bala penyakit Selesema babi hari ini?
Mengapa manusia ditimpakan ribut dan badai tsunami yang mematikan ramai jiwa serentak?
Ujian Allah akan datang tanpa memilih manusia yang baik dan yang tidak baik. Pastinya ujian Allah datang kerana tangan-tangan jahat manusia di atas muka bumi ini. Malahan ujian Allah juga untuk menguji siapakah yang lebih baik amalannya semasa di dunia ini dan sebesar-besar ujian untuk kita semua menjadi orang yang lebih baik di sisi Allah adalah untuk menjadikan diri ini lebih baik pada hari esok dan seterusnya.
Sekian untuk kali ini, wassalam wallahualam
diimport dan diedit dr laman Emjay
No comments:
Post a Comment
Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan