SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Tuesday, January 27, 2009

Asbabul Nuzul; Satu Ilmu Memahami Tafsir Al-Quran


Mungkin sebilangan kita tertanya-tanya, adakah ayat-ayat Al-Quran yang turun beransur-ansur itu turun begitu sahaja tanpa sebab atau peristiwa tertentu? Sebenarnya, sebahagian ayat Al-Quran akan melalui beberapa peristiwa atau sebab untuk menjadikannya sah dan sesuai ketika diturunkan. Walaupun sebahagian besar dari ayat Al-Quran diturunkan secara umum, iaitu tanpa sebarang sebab atau peristiwa, tetapi ada juga yang mengalami sebab-sebab khusus ketika penurunannya.






Dalam kehidupan para sahabat bersama Rasulullah, ia telah merakamkan beberapa peristiwa penting, bahkan ada diantara peristiwa itu memerlukan penjelasan khusus dari Allah untuk menjelaskannya. Ada juga diantara mereka bertanya kepada Rasulullah tentang hukum-hakam Islam, maka Allah menurunkan wahyuNya sebagai jawapan. Peristiwa-peristiwa seperti inilah yang dikenali sebagai Asbabun Nuzul, atau kata mudahnya bermaksud sebab-sebab penurunan ayat Al-Quran.







MENGAPA ANDA PERLU MENGETAHUINYA?






Supaya kita lebih mudah memahami tafsiran ayat Al-Quran dengan tepat maka di sini dibawakan satu contoh supaya kita lebih jelas mengetahuinya. Kita akan memahaminya melalui firman Allah ini :







Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah …. Surah Al-Baqarah, 115






Sekali imbas, ayat ini mengharuskan kita mengadap ke mana-mana arah ketika hendak solat. Jika anda memahaminya tanpa berpandukan Asbabun Nuzul, anda tentu akan tersilap besar. Solat anda bakal tidak akan diterima, kerana salah satu dari syarat sah solat ialah mengadap kiblat.






Ternyata setelah memahaminya melalui Asbabun Nuzul, nampaknya ayat ini hanyalah diturunkan kepada mereka yang bermusafir. Mungkin didalam perjalanannya, mereka tidak mengetahui arah kiblat yang tepat, dan terpaksa berijtihad sendiri untuk menentukannya. Maka dalam hal ini, ke mana juga arah mereka, ia dikira sebagai arah kiblat, dan solatnya diterima. Ringkasnya, ayat ini tidak bersifat umum, tetapi hukumnya hanya khusus diaplikasikan pada situasi mereka yang tidak mengetahui arah kiblat ketika sedang bermusafir.








ANTARA CONTOH MUDAH MENGENAI ASBABUN NUZUL :







Dalam Surah Al-Masad yang dimulai dengan ‘Tabbat Yadaa Abii Lahabiw Watabb’ sebenarnya mengandungi kecaman dan kemarahan Allah yang tidak terhingga terhadap Abu Lahab, sehinggakan, dia menjadi satu-satunya manusia yang dijamin masuk neraka! Dan jaminan ini pula diketahui ketika dia masih hidup! Sangat malang, tragis dan merana sekali hidupnya. Dikecam didunia, tidak diterima lagi taubatnya, dan ‘comfirm’ masuk neraka di akhirat kelak. Mari kita perhalusi Asbabul Nuzul bagaimana Abu Lahab mendapat penghinaan yang tidak terhingga ini sebagaimana kisahnya :









Pada satu hari yang tenang, Rasulullah telah menerima wahyu yang membawa perintah yang cukup mulia, iaitu arahan untuk menyebarkan Islam secara terang-terangan. Jika sebelum ini, ia disebarkan secara senyap-senyap, nampaknya ayat 214 dari surah As-Syuara’ yang bermaksud ‘Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat’ ini telah memberikan mesej jelas : Perkenalkan ajaran kebenaran itu ke seluruh pelosok dunia ! Dan ia dimulai dengan sanak saudara, ipar duai serta kerabat terdekat Rasulullah dahulu.







Ketika ini, Rasulullah dengan wajah yang berseri-seri pergi memanjat Bukit Safa untuk membuat satu pengumuman penting buat kaumnya. Bagi mereka yang pernah menunaikan haji atau umrah di Makkah, anda tentu mengetahui letaknya bukit yang pernah dipijak tanahnya oleh kaki Rasulullah yang mulia. Setelah sampai ke puncaknya yang tidak begitu tinggi itu, Rasul pun memulakan ucapannya, ditujukan khas kepada kaum kerabatnya yang sedang berkumpul beramai-ramai di hadapan Kaabah, tidak jauh dari situ.







‘Wahai kaumku sekelian!’ teriak Rasulullah. Kaumnya yang sedang dipenuhi dengan perasaan ingin tahu itu terus mendekati Baginda. Ketika itu, Rasulullah memang memiliki tarikan kuat umpama ‘magnet’ kepada mereka. Memang hidupnya begitu, umpama magnet kebenaran yang begitu kuat dan berkuasa, sehingga gelaran ‘Al-Amin’ yang membawa maksud ‘yang paling dipercayai’ disandang oleh Baginda.







Menyedari taktik Baginda sudah mengena, Rasulullah meneruskan lagi “bagaimana pendapatmu semua jika aku memberitahu kamu bahawa terdapat sepasukan musuh berkuda yang ingin menyerangmu disebalik bukit ini, percayakah kamu terhadap kata-kataku ini?”








Bagi penduduk Mekah yang memang mengenali hati budi Baginda, mereka tanpa ragu-ragu lagi menjawab ‘kami memang tidak pernah mendapati kamu berdusta’. Kepercayaan mereka itu terus disambut dengan seruan Nabi ‘aku memperingatkan kepada kamu akan azab yang pedih’. Ternyata, Rasulullah mampu menguasai suasana hari itu hanya dengan beberapa patah perkataannya.








Tetapi, kegembiraan itu tidak lama berkekalan. Di saat sebahagian besar yang lain sedang mula terbuka hati kepada ajakan itu, Abu Lahab, seorang pemuka Quraisy, ketua ‘gangster’ besar Mekah telah melakukan perkara yang menukarkan suasana ceria kepada tegang. Abu Lahab bukan tidak menyedari kebenaran Nabi Muhammad itu, tetapi memang menjadi lumrah hidup, apabila emosi dan kesombongan mengambil tempat, manusia yang rasional mudah sahaja menjadi emosional. Ternyata, Abu Lahab yang sejak dahulu amat tidak menyukai Rasulullah menunjukkan tanda kemarahannya yang begitu membara. “Celakalah engkau, apakah engkau mengumpulkan kami hanya untuk urusan ini? Nabi Muhammad nyata terdiam. Diamnya bukanlah bermaksud ketakutan, tetapi pada waktu itu juga turunnya ayat untuk membalas kembali kutukan Abu Lahab. Bagi kita semua, Allah telah mewahyukan kepada Rasul jawapan kepada celaan Abu Lahab. Itulah surah Al-Masad yang bermaksud :








Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan isterinya, pembawa kayu api. Di lehernya ada sejenis tali dari tali yang dipintal. (Surah Al-Masad, ayat 1-5)









BAGAIMANA CARA UNTUK MENGETAHUI KESELURUHAN ASBABUN NUZUL?








Ia banyak dinyatakan dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Bahkan terdapat sebilangan ulama yang mengarang kitab-kitab khusus untuk mengumpulkan Asbabul Nuzul sahaja. Antara yang selalu menjadi rujukan ialah :






1 : Asbabul Nuzul, karangan Al-Wahidi (M 427H)






2 : Asbabul Nuzul karangan Ibnu Hajar Al-Asqolani (M 852H)






3 : Lubab Al-Manqul Fi Asbab An-Nuzul, karangan Imam As-Suyuti (M 911H)





Untuk menambahkan keceriaan anda bagi memahami Asbabun Nuzul ini, dinyatakan, kitab berbahasa arab ini, terutamanya kitab yang ketiga sudah ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Kini, kita hanya perlu mendapatkannya di kedai berhampiran. Dan mudah-mudahan, dengan memahami Asbabun Nuzul, kita akan lebih mudah memahami kandungan Al-Quran Al-Karim. Di samping itu kita boleh menerangkan secara ringkas sewaktu pengajaran terutama apabila terdapat ayat yang mempunyai sebab nuzul tentang peri pentingnya ilmu berkaitan dalam mentafsir dan memahami ayat keseluruhannya. wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment

Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan

My Blog List