SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Sunday, February 08, 2009

Hakim VS Doktor........Kita sokong Siapa...?


  • Sedar atau tidak, apabila kita berperanan sebagai pentaksir, kita mungkin pada masa yang sama telah berperanan sebagai seorang hakim atau mungkin juga kita menjadi seorang doktor. Umum tahu bahawa tugas hakim itu sinonim dengan kerjanya menjatuhkan hukuman. Manakala merawat pesakit pula tugas seorang doktor.

  • Bukanlah menjadi tugas seorang hakim untuk memikirkan apa yang akan terjadi kepada seseorang yang dihakiminya. Apa akan jadi selepas hukuman dijatuhkan. Bukan juga tugas seorang hakim untuk bertanya khabar tentang apa telah terjadi kepada seseorang selepas hukuman dikenakan akibat seseorang itu telah didapati bersalah melanggar batas undang-undang. Bukan salah pada seseorang hakim jika itu semua tidak dipedulikan. Ini kerana tugas seorang hakim ialah menghakimi dan menjatuhkan hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang.

  • Akan tetapi lain ceritanya dengan seorang doktor. Lazimnya, SKT doktor ialah merawat pesakit sehingga sembuh. Menerima kunjungan pesakit dengan hati terbuka, bertanya khabar pesakit, menyelusuri latar belakang pesakit, menyelidiki setiap urat saraf dan tulang-temulang pesakit, menyentuh dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Itulah baru dikatakan seorang doktor yang benar-benar beriltizam ingin merawat pesakit yang datang menemuinya. Tidak cukup dengan itu, selepas proses dignostik masalah pesakit, jenis sakitnya diketahui, maka disediakan pula senarai ubat-ubatan untuk dimakan atau untuk disapu. Katanya makan/ guna ikut jadual dan kalau tidak sembuh, sila datang lagi. Diberi ingatan pula itu dan ini bagi memastikan pesakit tahu apa perlu dilakukan agar cepat sembuh dan kualiti hidup bertambah baik.

  • Amat menarik jika diteliti dua profesion di atas, hakim dan doktor. Namun apa kaitannya kedua profesion di atas dengan guru yang bergelar pentaksir? Memang ada, kerana pentaksir boleh ditafsirkan sebagai hakim dan boleh jua sebagai doktor.

  • Begini, bayangkan kalau kita ini (pentaksir) ibarat doktor, kita membiarkan sahaja pesakit yang datang kepada kita untuk mendapatkan rawatan, “zalim” kan? Apalagi jika tiada sebarang ubat yang diberikan kepada pesakit yang menderita dan amat memerlukan penawar daripada kita. (yang menyembuhkan Allah Yang Maha Kuasa).

  • Malanglah kalau kita juga ibarat hakim. Memberikan skor atau markah sahaja kepada anak murid kita bagaikan hukuman bagi mereka. Maka jadilah kita pentaksir ibarat doktor yang baik. Mentaksir anak-anak murid kita di sekolah dengan niat untuk mengetahui kelemahan diri mereka. Setelah itu kita dengan sedaya mungkin memberi taklim/tarbiah/ta’dib agar mereka dapat mencapai penguasaan yang lebih baik. Jadilah mereka murid yang tahu kelemahan diri, cuba memperbaikinya dan pada masa yang sama kita membantu.
  • Mungkin ada pentaksir mengatakan bahawa masa dan tenaga terlalu terhad untuk melakukan itu semua. Tidak mengapa, itu memang realiti guru di sekolah sekarang. Tetapi yang dirisaukan ialah sebelum melakukannya –walaupun sedikit- betulkan prinsip diri kita dulu, selama ini kita sebagai pentaksir, adakah kita berperanan sebagai seorang hakim atau seorang doktor.? Fikir-fikir dan renung-renungkanlah!

Nukilan: Wan Din (sahabat mypqs), 6 Jan 08, 1.25 pagi.



1 comment:

Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan

FREE PALESTINE

My Blog List