Sedar atau tidak, sebenarnya terdapat secalit pertembungan antara golongan yang pro salaf dengan pro khalaf di Malaysia hari ini. Ada yang melihat pertembungan ini sebagai negatif dan mungkin boleh merosakkan keharmonian masyarakat Islam khasnya. Namun secara positif kita kena berlapang dada bahawa perselisihan ini menunjukkan betapa syumulnya Islam untuk menerima pendapat sesama Islam pada hal-hal yang boleh diperselisihkan. Jangan sampai nantinya ia merosakkan persefahaman sesama kita. Siapakah salaf dan siapakah khalaf?
Terdapat beberapa definisi terhadap dua istilah ini. Secara mudah, salaf ialah generasi awal Islam manakala khalaf ialah generasi yang terkemudian. Golongan pro salaf di Malaysia biasanya mendokong fahaman tidak bermazhab, sentiasa merujuk kepada Quran dan sunnah, sentiasa menyebut kehebatan Syeikh Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Mereka juga merujuk kepada Syeikh Albani, ulama-ulama di Saudi dan sebagainya.
Manakala golongan pro khalaf biasanya mengikut mazhab yang empat khasnya mazhab Syafii di Malaysia, tidak terlalu merujuk kepada Ibn Taimiyyah dan ulama yang sealiran dengannya. Akhirnya berlaku pertembungan ilmu dan membawa kepada penyakit yang lain.Hakikatnya para ulama tersebut tidak menganjurkan demikian. Mereka menganjurkan persaudaraan Islam. Walaupun terdapat perbezaan pandangan, semua itu hanya kerana kefahaman ijtihad yang berbeza sahaja tetapi masih merujuk kepada Quran dan sunnah. Cuma dikatakan bahawa manhaj Syeikh Albani agak keras sedikit hingga sesiapa yang membaca karya-karya beliau akan mudah menuduh ulama ini salah, silap dan sebagainya. Adakah salah mengikut manhaj salaf? Dan adakah salah mengikut manhaj khalaf? Jika mengikuti manhaj keduanya tidak salah, kenapa perlu ada pertembungan?
Gambaran pertembungan ini sebenarnya bukanlah di kalangan para ulama muktabar tetapi mungkin hanya di kalangan pengikut sahaja. Antara faktornya mungkin kerana kematangan ilmu yang belum sampai waktunya. Muslim yang matang ilmu akan mengikut Quran dan sunnah. Ijtihad para ulama adalah kefahaman yang baik. Muslim begini tidak akan fanatik kepada mana-mana ulama tetapi setiap pendapat diterima berdasarkan dalil dan hujah. Imam Ibn Taimiyyah seorang ulama yang hebat tetapi bukanlah syarat seorang ulama hebat bahawa beliau tidak pernah salah dalam ijtihad. Muslim begini tidak akan membelakang ulama mazhab kerana ulama mazhab adalah generasi salaf. Ada kemungkinan Golongan Salaf dikatakan banyak menyatakan amalan masyarakat adalah bidaah sebalikya khalaf tidak begitu. Apa puncanya?
Kemungkinan punca persoalan ini ialah kerana kefahaman yang berbeza bagi kedua-dua aliran tentang konsep sunnah dan bidaah. Ironinya pro salaf meluaskan makna bidaah dan menyempitkan makna sunnah. Sebaliknya pro khalaf meluaskan makna sunnah dan menyempitkan makna sunnah. Apa yang jelasnya perselisihan antara salaf dan khalaf di Malaysia wajar dilihat dalam kerangka syariah yang luas. Kita mesti bersatu dan berlapang dada untuk mengharmonikan antara dua aliran ini. Islam adalah agama yang Allah redhai. Gelaran ‘muslim’ adalah nama yang disebut dalam Al-Quran malah juga Al-Sunnah. Apa jua yang menjadi pokok perselisihan, kita masih lagi sebagai muslim. Marilah kita bersatu atas perkara yang disepakati, dan bertolak ansurlah dalam perkara yang dikhilafi.
No comments:
Post a Comment
Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan