SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Monday, February 02, 2009

PERBEZAAN ANTARA HADITH DENGAN HADITH QUDSI

Dalam kitab-kitab hadith didapati hadith Qudsi. Ulama' hadith mengatakan bahawa hadith Qudsi itu: ialah perkataan Nabi saw yang disebut dengan mengatakan Allah bertitah , disandarkan perkataan itu kepada Allah dan diriwayatkan daripadanya. Kesimpulannya Hadith Qudsi: ialah titah Allah yang disampaikan kepada Nabi saw di dalam mimpi atau dengan jalan ilham, lalu Nabi saw menerangkan apa yang disampaikan itu kepada umatnya dengan ibarat atau susunan perkataannya sendiri serta menyandarkan kepada Allah; sedang hadith-hadith yang lain tidak demikian itu. Hadith Qudsi itu dinamakan juga Hadith Ilahi atau Hadith Rabbani. Dan pernah pula dibezakan Hadith Qudsi dengan yang lainnya; iaitu segala hadith yang bersangkut dengan kebersihan atau kesucian zat Allah dan sifat-sifat kebesaran dan kemuliaanNya. [Kitab al-Dar al-Nadid min Majmu'ah al-Hafid]
Contoh Hadith Qudsi itu, Rasulullah saw bersabda: "Firman Allah Ta'ala: Tiap-tiap amal anak Adam untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Aku akan memberi balasan dengannya. Dan puasa itu perisai, maka apabila seorang kamu berpuasa janganlah ia memaki-maki, mencarut-carut dan janganlah dia menghiruk-pikukkan; maka jika dia dimaki oleh seorang atau hendak dibunuhnya, hendaklah ia katakan: aku ini berpuasa." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim) Rasulullah saw bersabda: "Firman Allah Ta'ala: Aku menurut persangkaan hambaKu dan Aku bersamanya di mana saja ia sebut (ingat) akan daku." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
ISTILAH-ISTILAH YANG DIGUNAKAN DALAM 'ILMU MUSTHALAH HADITH
Di antara istilah-istilah yang digunakan itu ialah:
1. Sanad: iaitu jalan yang menyampaikan kepada hadith.
2. Isnad: iaitu menyebutkan hadith itu kepada orang yang mengatakannya. Sanad dan isnad hampir sama ertinya; keduanya adalah penting untuk menentukan nilaian hadith. 'Abdullah bin Mubarak berkata: "Isnad adalah dari urusan agama, dan kalaulah tidak kerana isnad, nescaya berkatalah orang yang mau apa yang ia mau berkata."
3. Musannid: iaitu orang yang meriwayatkan hadith dengan isnadnya.
4 Musnad: iaitu kitab yang dikumpulkan hadith di dalamnya, yang diriwayatkan dari seorang sahabat atau lebih.
5. Matan: iaitu hadith nabi (s.a.w) yang di akhir sanad.
6. Riwayat: iaitu memindahkan hadith dari seorang kepada seorang yang lain, dan orang yang memindahkan disebut rawi.
7. Istikhraj dan Ikhraj: iaitu mengambil sesuatu hadith dari sesuatu kitab, dan mencari sanad yang lain dari sanad penyusun kitab itu, atau menerangkan bahawa hadith itu dipindahkan oleh penyusun dari kitab yang lain; umpamanya dikatakan: Akhrajah Al-Bukhari, ertinya: mengeluarkan hadith itu oleh Imam Bukhari; maksudnya ada disebut di dalam Bukhari dan ia memindahkannya ke dalam kitabnya.
8. Al-Muhaddis: iaitu orang yang banyak menghafaz hadith serta mengetahui sifat-sifat orang yang meriwayatkan tentang 'adil dan kecacatannya.
9. Al-Hafiz: iaitu orang yang menghafaz sebanyak 100,000 hadith dengan isnadnya.
10. Al-Hujjah: iaitu orang yang menghafaz sebanyak 300,000 hadith dengan isnadnya.
11. Al-Hakim: iaitu orang yang meliputi 'ilmunya dengan urusannya hadith.

No comments:

Post a Comment

Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan

FREE PALESTINE

My Blog List