SELAMAT MAJU JAYA DAN SUKSES

Saturday, May 31, 2008

Jangan bimbang miskin kerana bersedekah


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Bersedekah membantu sesama manusia adalah amalan mulia dan ia tidak akan menyebabkan kita menjadi miskin. – Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------
Al-Maghaghi berkata, selepas Allah menggalakkan pada ayat terdahulu berkenaan infak dan menerangkan kelebihan berinfak dan juga kepada ummah yang saling tolong menolong serta bertakaful antara golongan yang kuat dan lemah.

Sayyid Qutub berkata: “Keselarasan dapat dilihat dengan jelas pada kenyataan penamat ini dari segi keumuman dan kesyumulan nas itu sama ada di permulaan ayat atau pada akhirnya seolah-olah kenyataan penamat ini merupakan nada akhir yang meliputi segala-galanya walaupun pendek”.

Firman Allah: Orang yang menafkahkan hartanya (ke jalan Allah).

Ibn Kathir berkata: Pujian ini daripada Allah kepada yang bersedekah pada jalan-Nya untuk mencari keredaan dalam semua waktu sama ada malam atau siang. Begitu juga tersembunyi atau nyata sehingga menafkahkan kepada keluarga termasuk dalam hal ini.

Al-Sya’rawi berkata: Masalah infak terbahagi dua sama ada secara jelas atau sembunyi dan dari segi masanya pula malam dan siang.

Mengikut Imam al-Maghaghi, ayat ini diturunkan kepada Abu Bakar al-Siddiq yang bersedekah sebanyak 40,000 dinar dan 10,000 dinar pada waktu malam, 10,000 pada waktu siang, 10,000 secara sembunyi dan 10,000 secara terang-terangan.

Sayyid Qutub berkata: Demikianlah ia jelaskan secara umum meliputi segala jenis hartanya.

Hamka berkata hati mereka terbuka terus, dan pintu rumah mereka terbuka, dan peti simpanan mereka pun terbuka. Malam atau siang. Didahulukan di dalam ayat ini menyebut malam daripada siang; kerana ada orang yang kesusahan tengah malam mengetuk pintu rumahnya, ataupun dia sendiri pun teringat membantu orang yang susah, sehingga matanya tidak mahu tidur, malam hari pun dia berjalan juga untuk menghantarkan perbuatannya. Sedangkan malam dia begitu. Apatah lagi pada siang hari. Dan dia pun memberikan secara rahsia kepada yang patut menerimanya, ataupun secara terang-terangan kerana patut terang-terang, namun jiwanya ialah jiwa yang selalu ingin memberi, sebab jiwa itu telah tergembleng oleh iman.

“Sikapnya yang demikian disambut oleh Tuhan dengan janji Allah pasti benar, bahawa dia akan diberi pahala, ganjaran dunia dan akhirat, terutama di akhirat. Dan dikuatkan Tuhan semangatnya,” kata Hamka.

Firman Allah: Di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan.

Al- Imam Nasafi berkata: Sama ada bersedekah dalam semua waktu dan keadaan bagi menggalakkan kebaikan apabila keperluan berlaku hendaklah ditunaikan tanpa mengira waktu dan keadaan.

Sayyid Qutub berkata: Ia merangkumi segala waktu dan segala keadaan.

Firman Allah: Maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya.

Al-Imam Baghawi menaqalkan riwayat daripada mujahid daripada Ibn Abbas katanya: Ayat ini diturunkan kepada Ali hanya yang mempunyai 4 dirham tidak yang lain, beliau telah bersedekah 1 dirham waktu malam, 1 dirham waktu siang, 1 dirham secara terang dan 1 dirham secara sembunyi.

Ibn Jauzi berkata, ayat ini turun kepada mereka yang mengikat kuda mereka pada jalan Allah, inilah riwayat Ibn Abbas.

Sayyid Qutub berkata: “Demikianlah ia jelaskan secara umum bahawa mereka akan mendapat harta yang berlipat-ganda, keberkatan umur, balasan di akhirat dan keredaan Allah”.

Firman Allah: Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Sayyid Qutub berkata: “Yakni tiada apa-apa kebimbangan dari sesuatu yang boleh menakutkan mereka dan tiada apa-apa yang dukacita dari sesuatu yang boleh mendukacitakan mereka sama ada di dunia atau di akhirat. Itulah keselarasan yang terdapat dalam kata penamat perlembagaan sedekah yang lurus, yang menyarankan keumuman dan kesyumulan”.

Walau bagaimanapun, Islam tidak menegakkan kehidupan pemeluknya di atas pemberian sedekah. Ini kerana seluruh sistem Islam adalah ditegakkan pertamanya di atas dasar kemudahan kerja dan rezeki kepada setiap orang yang mampu mencari makan dan di atas dasar pengagihan kekayaan yang baik di antara para pemeluknya, iaitu mengagihkan kekayaan itu berdasarkan pertimbangan yang benar dan adil di antara usaha dan ganjaran.

Namun, terdapat keadaan yang terkecuali kerana sebab yang khas dan keadaan inilah yang diatasi dengan sedekah. Kadang-kadang dalam bentuk zakat yang wajib dipungut oleh kerajaan Islam yang melaksanakan syariat Allah semuanya. Inilah satu-satunya kerajaan yang berhak memungut zakat itu.

Ia merupakan salah satu sumber yang penting dari sumber-sumber kewangan negara bagi kerajaan Islam, dan kadang-kadang pula dalam bentuk sedekah sukarela yang tidak terbatas yang diberikan secara langsung oleh orang-orang yang mampu kepada orang yang tidak mampu dengan memelihara peradaban-peradaban yang telah diterangkan sebelum ini. Juga memelihara sifat menjaga diri dan segan meminta para penerima sedekah yang telah digambarkan dengan jelas oleh ayat ini.

Sifat ini telah diasuh oleh Islam di dalam jiwa para penganutnya dan membuat seseorang daripada mereka merasa segan untuk meminta-minta pada orang lain walaupun ia mempunyai harta yang terlalu sedikit untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Hamka berkata: “Kerana hatinya yang lapang lantaran iman, dunia pun lapang di depannya. Di dalam dia tidak takut akan miskin kerana dermawan, sebab tiap-tiap yang dibelanjakannya itulah merupakan keyakinannya yang sebenarnya kekayaannya. Yang masih belum dibelanjakan, belumlah tentu jadi kekayaan. Dan dia tidak akan berdukacita, sebab Tuhan berdaulat dalam hatinya, dan pintu syurga Jannatun-Na’im selalu terbuka, menunggu kedatangannya.”

Al-Hasil berkata: Tidaklah dapat berkumpul dalam hati seorang mukmin di antara iman dengan bakhil. Dan bakhil adalah alamat yang sangat nyata daripada kosongnya iman. Sebab itu maka didikan iman daripada al-Quran yang kita terima langsung tidaklah dapat dipenuhi kitab-kitab yang lain.

post semula dr sumber akhbar utusan malaysia

No comments:

Post a Comment

Kalau baik sebarkan kalau keji dan buruk buangkan jauh-jauh jangan amalkan

FREE PALESTINE

My Blog List